Pengikut Blog Panglima

30 November 2012

Kelebihan Dan Khasiat Biji Bunga Matahari (Kuaci)






Biji bunga matahari (kuaci) merupakan salah satu sumber vitamin E yang sangat baik. 60 gram biji bunga matahari tanpa kulit memenuhi keperluan tubuh bagi mendapat vitamin E setiap hari



Kelebihan vitamin E :

Antioksidan

Pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular

Sangat berguna dalam rawatan "premenstrual syndrome"

Memelihara pembekuan darah yang normal

Mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan

Mengurangkan tekanan darah

Membantu dalam pencegahan penyakit katarak

Mengendurkan otot kaki dari kekejangan

Meningkatkan pengeluaran air mani

Menguatkan dinding kapilari

Menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat

Mencegah anemia

Mencegah "retrolental fibroplasia", sejenis gejala mata yang boleh Menjangkiti bayi pramatang

Mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok

Memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer.





http://cahayapurnama.com/kelebihan-dan-khasiat-biji-bunga-matahari-kuaci/










Panglima : sepanjang pengalaman memang rasa mengantuk semasa memandu hilang makan kuaci ini...






Rasa letih juga hilang dengan makan kuaci.






Bolehlah dikongsi perkara baik ini dengan kawan media maya yang mungkin mengetahui.










Sent from Samsung Galaxy Note

Sidang Media Naib2 Presiden UMNO #PAU2012 Bidas Kegagalan Kerajaan Pakatan

Sumber Kosmo Jumaat 30.11.2012

Tun Mahathir Puji Ucapan Presiden Umno @NajibRazak Semalam

sumber Kosmo Jumaat 30.11.2012

Sidang Media Naib2 Presiden UMNO #PAU2012 Bidas Kegagalan Kerajaan Pakatan

Sumber Kosmo Jumaat 30.11.2012

Surat Bar Council Tidak Benar Pemerhati Ini Tanda Demokrasi dan Integriti?

Berikut sedikit bukti betapa 'demokrasinya' Majlis Peguam yang disebut banyak pihak sebagai pro pembangkang.

Seperti juga Pembangkang yang sering menunjukkan ketelusan namun merekalah yang sering mengamalkan 'ketirisan'  maka surat ini menimbulkan persepsi bahawa Majlia Peguam cakap tidak serupa bikin.

Mari kita tunjukkan bukti ini semoga semua akan sedar perkara sebenar.

Tq.

29 November 2012

Ucapan Setiausaha Agung UMNO @TengkuAdnanReal Melaporkan #PAU2012 cc @NajibRazak




Laporan Setiausaha Agung UMNO

BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
• Saudara dan Saudari Pengacara
• Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Berhormat Datuk Mohamed Aziz, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Datin Sri Paduka Rosmah Mansor
• Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman
• Yang Berhormat Naib-Naib Presiden UMNO dan Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta barisan Exconya
• Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Bendahari UMNO
• Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO
• Yang Berhormat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat
• Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO
• Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Presiden Parti-parti komponen Barisan Nasional
• Yang Berbahagia Presiden Parti dan NGO serta Friend’s of Barisan Nasional
• Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
• Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi
• Yang Berbahagia Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-datuk dan para jemputan khas yang dihormati
• Delegasi parti-parti luar negara dan wakil-wakil kedutaan asing serta wakil duta negara-negara jemputan
• Wakil dan pemerhati kelab-kelab UMNO Luar Negara
• Para media massa, Sidang Perwakilan dan para pemerhati yang saya hormati sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA
1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah dan kurnia Allah SWT kita dapat bersama-sama berkumpul dan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO serta memenuhi perundangan dari Akta Pertubuhan.
2. Bersyukurlah juga kerana parti kita terus dirahmati-Nya dan dikekalkan bersama-sama Barisan Nasional untuk menjadi tunjang menerajui bumi bertuah ini. Semoga tanah air tercinta ini akan terus sejahtera tanpa sebarang malapetaka dengan kita terus dikurniakan kebijaksanaan dan kewarasan akal fikiran dalam melestariakan keamanan bukan saja di tanah air sendiri tetapi dalam membantu saudara seagama dengan kita dan juga negara-negara yang sedang membangun.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
3. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa segala persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2012 berlangsung dengan lancar. Gerakan untuk menjayakan persidangan terbesar bangsa Melayu ini telah bermula dari akar umbi iaitu di peringkat cawangan dan bahagian termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Ini adalah selaras dengan apa yang digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan.
4. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian, keseluruhan cawangan yang layak mengadakan persidangan tahunannya telah pun menyempurnakan amanah parti ini dengan jayanya, begitu juga mesyuarat bahagian yang berakhir pada 16 September lalu.
5. Kesungguhan bagi menjayakan persidangan ini seiring dengan asas dan tujuan UMNO ditubuhkan iaitu sebagai sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Inilah ikrar janji ahli-ahli parti dalam memastikan Perhimpunan Agung UMNO 2012 berlangsung dengan jayanya.
6. Dilaporkan bahawa jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan ini ialah seramai 2,718 orang.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
7. Transformasi dilakukan bagi melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan parti. Lantas, kepimpinan tertinggi UMNO telah bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan berkaitan soal pendaftaran ahli baru iaitu mana-mana permohonan yang diterima oleh ibu pejabat tanpa tanda tangan Jawatankuasa Cawangan akan dikembalikan kepada Bahagian yang kemudian akan diserahkan semula kepada cawangan terbabit. Namun demikian, sekiranya dalam tempoh dua bulan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak cawangan maka keahlian baru itu akan diterima secara automatik.
8. Bukan itu saja, kesungguhan kepimpinan tertinggi parti memastikan setiap gerak kerja membawa hasil positif maka Jawatankuasa Khas dibuat bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli yang melakukan sabotaj ke atas parti serta calon Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang. Ini adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO. Untuk tujuan tersebut, setiap bahagian juga boleh memberi laporan terus kepada Jawatankuasa Khas di Ibu Pejabat atau secara dalam talian bagi memastikan pelaksanaan dapat dilakukan dengan lancar.
9. Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Disiplin turut digerakkan lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum iaitu untuk menangani salah laku dan displin ahli sekaligus bersikap lebih proaktif. Ini adalah bagi memastikan UMNO tidak menerima kesan buruk lantaran daripada kepincangan segelintir anggota yang melakukan tingkah bertentangan dengan peraturan parti.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,
10. Sebagaimana cogan kata parti, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, ibu pejabat UMNO telah melaksanakan gerak kerja berterusan dengan usaha untuk memastikan semua yang berlangsung dari peringkat kepimpinan tertinggi dapat diserap oleh ahli-ahli parti di akar umbi dan masyarakat seluruhnya. Dalam usaha memanifestasikan keseluruhan jentera parti, pelbagai program, kursus, penerangan dan latihan dilaksana termasuklah bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri khususnya membabitkan simulasi pilihan raya selain Pusat Daerah Mengundi diativasikan.
11. Sememangnya Pilihan Raya Umum 2008 menjadi satu pengajaran, amat pahit untuk dikenang tetapi itulah pelajaran paling berharga untuk setiap ahli parti agar terus bekerja tanpa lalai kerana natijahnya agama, bangsa dan negara menjadi bahana.
12. Dalam menyorot kembali apa yang telah berlaku sepanjang penggal ini, kepimpinan tertinggi parti melaksanakan transformasi. Kematangan perlu diaplikasi dengan memperbaiki kesilapan, mengurai kekusutan, belajar dari kesilapan dengan berani mengakuinya biarpun ternyata pahit tetapi atas nama kebenaran maka kealpaan lalu menjadi tauladan. Kepimpinan tertinggi parti enggan bersikap angkuh, tidak segan bertanya, tidak malu belajar, mohon dilontar idea lantas suara hati rakyat diselami.
13. Gerakan turun padang direalitikan dengan jalinan bersama masyarakat tanpa mengira peringkat usia dan latar kedudukan dibuat. Ahli UMNO bergerak aktif dengan semangat ‘bersatu kita bersatu’ lantas ulang tahun UMNO ke-66 Mei lalu menjadi bukti perjuangan tidak pernah padam. Ia telah mencetus satu sejarah apabila Sang Saka Bangsa diarak dari Utara, Selatan, Pantai Timur dan melintasi laut China Selatan menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil setelah melalui larian selama 11 hari. Kemuncaknya, acara sambutan gilang gemilang berlangsung dengan lebih 100,000 ahli UMNO menyatakan ikrar setia untuk memperteguh parti agar ia terus diwarisi oleh generasi akan datang. Janganlah kita hanya menang sorak tapi bangsa tergadai kerana semangat ini perlu terus diaplikasikan untuk Pilihan Raya akan datang.
14. Berlandaskan asas perjuangan yang teguh dengan semangat anggotanya yang terus berkobar, gerakan serampang dua mata dibuat dengan proses untuk menambahkan keahlian parti sealiran dengan pendaftaran pengundi di semua peringkat cawangan, bahagian dan negeri.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Hadirin Sekalian
15. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 28 November 2012, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,386,274 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,056. Negeri Sabah mencatatkan bilangan ahli teramai iaitu 505,852 orang manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Silam, Sabah sementara keahlian cawangan teramai ialah Kampung Tinosa Jaya/Libaran dengan jumalh ahlinya 1,783 orang.
16. Tirai persidangan UMNO 2012 kali ini dihiasi dengan pelbagai program sebagaimana Wacana, Himpunan dan Konvensyen Kepimpinan. Bersemarak UMNO mekar melakar indah dengan ahli-ahlinya bergerak sealiran memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra menjayakan agenda dalam pelbagai cara. Menyusul kemudiannya, pada 26 dan 27 November, Forum Antarabangsa memenuhi acara dengan tema ‘Conflict And Conciliation In The People’s Politics – Looking Back or Looking Forward’. Hasilnya pelbagai idea dapat dikongsi dengan kupasan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara serta bertukar-tukar pendapat dalam suasana yang lebih selesa.
17. Keteguhan UMNO sebagai sebuah parti politik yang mempunyai struktur kukuh disempurnakan dengan jalinan parti-parti politik asing yang secara tidak langsung dapat mempertingkatkan keupayaan dan pencapaian sama ada di dalam atau di luar negara.
18. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 57 orang mewakili 24 parti melibatkan 21 buah negara. Dengan ini, kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa:
i. H.E STEPHEN KALONZO MUSYOKA, THE VICE PRESIDENT OF THE WIPER DEMOCRATIC MOVEMENT- KENYA BERSAMA ANGGOTA DELEGASINYA.
ii. AZERBAIJAN – NEW AZERBAIJAN PARTY
iii. CAMBODIA – CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY
iv. CAMBODIA – FUNCINPEC PARTY
v. PEOPLE’S REPUBLIC OF CHINA – COMMUNIST PARTY OF CHINA
vi. REPUBLIC OF CUBA – CUBAN COMMUNIST PARTY
vii. INDONESIA – PARTAI DEMOKRAT
viii. INDONESIA – PDI PERJUANGAN
ix. ISLAMIC REPUBLIC OF IRAN – ISLAMIC LABOUR PARTY
x. IRAQ – AL-DAWA PARTY
xi. KURDISTAN – KURDISTAN DEMOCRATIC PARTY
xii. DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA – WORKERS’ PARTY OF KOREA
xiii. LAOS – LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY
xiv. MADAGASCAR – MAMAFISOA PARTY
xv. NIGER – NIGERIEN PARTY FOR DEMOCRACY AND SOCIALISM
xvi. PHILIPPINES – MORO ISLAMIC LIBERATION FRONT- MILF
xvii. SINGAPORE – PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU SINGAPURA (PKMS)
xviii. SINGAPORE – PEOPLE’S ACTION PARTY
xix. SRI LANKA – SRI LANKA MUSLIM CONGRESS PARTY – SLMC
xx. SUDAN – NATIONAL CONGRESS PARTY
xxi. VIETNAM – COMMUNIST PARTY OF VIETNAM
xxii. UKRAINE – PARTY OF REGIONS OF UKRAINE
xxiii. STATE OF QATAR
xxiv. PALESTINE – HAMAS
xxv. PALESTINE – AL-FATAH
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,
19. Penglibatan golongan muda tidak pernah dinafikan apatah lagi mereka yang berada di seberang laut kerana tentunya sokongan terhadap UMNO akan terus subur. Sebanyak 67 perwakilan daripada 72 Kelab UMNO Luar Negara dan Badan Perhubungan UMNO Luar Negara turut hadir dalam perhimpunan Agung ini. Perwakilan ini telah pun selesai berkursus yang membabitkan semua wakil-wakil pelajar dalam dan luar negara selain turut serta dalam Forum Antarabangsa.
20. Perhimpunan kita ini bukan hanya mendapat perhatian dari ahli-ahli UMNO tetapi ia juga diikuti oleh semua pihak dengan liputan luas membabitkan media massa dalam dan luar negara. Sukacita saya maklumkan bahawa sebanyak 102 agensi media cetak dan elektronik, terdiri daripada 96 media tempatan dan 16 buah media antarabangsa, yang melibatkan sejumlah 1,782 orang kru membuat liputan dalam Perhimpunan Agung ini. Inilah bukti bahawa UMNO menjadi tumpuan bukan saja di tanah air sendiri tetapi juga dipersada antarabangsa.
21. Sehubungan itu, saya ingin menyeru para perwakilan sekalian termasuklah diri saya sendiri, dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi untuk eratkan genggaman tangan bagi bergerak sederap untuk mengharungi perang besar dalam pilihan raya nanti. Padukan setia janji, sematkan cinta di hati dan mohon ikhlaskan diri dengan ikrar berpadu, bersatu melawan seteru dengan mengutamakan kepentingan parti berbanding agenda peribadi. Janganlah hendaknya parti ini hanya bersemarak gemilang dalam lipatan sejarah yang kemudiannya akan hilang bersama lenyapnya bangsa Melayu. Hanya UMNO teras bangsa Melayu untuk agama dan negara.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
22. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2012.
23. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2012.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



Ucapan Ketua Puteri @Rosnah_ARS #PAU2012 Yang Berapi Bak Lelaki !!!


“Juang” – Rosnah



1. Saya suka untuk memulakan ucapan ini, dengan memetik kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung yang lalu. Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan.
2. Kita sudah memahami wadah, wasilah dan hikmah yang kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya, untuk kita sama-sama meneroka tentang apa itu JUANG dan setiap jalur makna yang terangkum di dalam rohnya.
3. Angka 28. Tahukah anda Surah ke 28, adalah Surah Al-Qasas menceritakan peristiwa lahirnya Nabi Musa a.s sehingga baginda menentang kekejaman Firaun. Ini kisah juang. Pada tanggal 28 Februari, Tun Mahathir dengan semangatnya menggagaskan Wawasan 2020 ke arah memacu negara maju. Ini kisah juang. Dan pada tanggal 28 Julai juga saksi apabila berkibarnya panji UMNO buat pertama kali di angkasaraya. Ini juga kisah juang. Dan hari ini, 28 November 2012 sebuah lagi kisah juang akan kita lakar bersama.
JUANG , WANITA DAN POLITIK
Sidang perwakilan sekalian,
4. Juang. Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang adalah pengembaraan meneruskan survival hidup sehabis daya. Juang adalah semangat keramat manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana di bumi Tuhan mencari makna kehidupan.
5. Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita berbeza.
6. Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita, baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada fitrah semulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.
7. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan.
Dengan juang kita menggerakkan idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata.
Politik dan perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan. Politik itu perjuangan dan perjuangan itu politik. Di situ akan lahir makna kesucian dalam berjuang.
8. Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama, sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia hanya satu, perjuangan.
Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar penghilang duka, dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan tunjang kepada perjuangan lelaki.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
9. Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi, ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji. Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau suami dikurung dalam jeriji besi.
Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka usaha memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya.
Sebab itu di sebalik kegigihan keenam-enam Perdana Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan dilupa pada wanita-wanita ini.
Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin Paduka Seri Rosmah.
Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.
10. Politik pula jika diimani maknanya, bukan soal kuasa dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi politik ialah perlumbaan prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan meroboh kebatilan. Kerana itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang terkecuali darinya.
11. Ada orang yang takut dan gentar berjuang kerana menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada orang yang enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan mereka tidak akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan hanyalah semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.
12. Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya yang sejati, setiap dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal tanggungjawab, survival dan fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia, tiada seorang pun terkecuali darinya.
Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai khalifah di muka bumi Allah.
Sidang perwakilan sekalian,
13. Jika kita selak lembaran sejarah bagaimana keterlibatan wanita dalam peperangan dunia memberi erti yang besar dalam perubahan tamadun manusia. Disebalik kelembutan Maharani Fu Hao memimpin bala tentera Dinasti Shang dalam satu siri peperangan setelah berperang beratus tahun telah berjaya menewaskan dan menawan kawasan Yi, Qiang dan Ba, mencipta sejarah menyatukan rakyat Cina buat pertama kali. Kehebatan wanita Aceh, Cut Nyak Dhien dan Cut Nyak Meutia menentang Belanda pada hujung kurun ke-20 berjaya menyatukan hati-hati anak bangsa. Bagi mereka had dan berbeza gender bukanlah satu halangan untuk kehadapan memimpin bala tentera berjuang bukan untuk mereka tetapi buat rakyat jelata.
14. Tetapi percayalah, juang bukan milik saya seorang.
Juang bukan milik anda seorang.
Ia juga bukan hanya milik pemimpin yang mempunyai kuasa.
Tetapi juang ialah milik kita semua, ia milik semua rakyat ia adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang masih bernyawa. Inilah tanggungjawab yang akan ditanya Tuhan selepas kematian.
SEBUAH KEBANGKITAN
15. Warna sejarah bangsa sudah banyak mengajar dan mencorakkan kita. Hitam, kita pernah melalui zaman kegelapan dalam cengkaman penjajahan. Putih, warna kesucian. Zaman gemilang Melayu menakhoda nama di pentas dunia. Merah, warna keberanian. Dari jerih payah kita menentang penjajahan. Dan biru perpaduan. Di asas ini kita bersatu dan membina kemakmuran dan kebahagian.
16. Dari kepelbagaian warna inilah, akar bangsa mengakar pucuk negara menjalar. Dari warna-warni inilah kita mendekati makna juang yang sebenar. Dan jika diimbau dalam sejarah, sebahagian besar dari warna-warni dicatan oleh tangan-tangan wanita yang cekal dan kental.
17. Setelah sekian lama, sejak zaman berzaman WANITA adalah lambang kesucian, sejak kecil anak-anak Melayu jiwanya ditenun budi semangatnya disulam maruah. Benar, wanita itu kelembutan. Benar, wanita itu kesucian. Benar, wanita itu kesopanan. Tetapi yang lebih benar dalam suci, lembut dan sopan, wanita menggegar menongkah zaman.
18. Namun siapa sangka, dalam sejarah manusia yang panjang, ada detik wanita bangkit berjuang. Kita mengenang bijaksana Tun Fatimah sehingga menjadikan penjajah lebih hina daripada binatang. Kita angkat kesucian Sumaiyah kerana iman sampai nyawa tergadai. Kita agungkan kehebatan Khadijah sehingga Islam tersebar serata alam.
Wanita, di ceruk bumi manapun kita dilahirkan, sucinya kita sehingga menggegar langit dan tanah ciptaan Tuhan.
19. Ini semua kisah ketokohan sejarah pemimpin wanita di pentas dunia. UMNO, juga menyimpan sejarah yang hampir sama. 1947, lahirnya sayap Wanita dalam UMNO. Yang dikenali sebagai Kaum Ibu dan akhirnya menjadi Wanita UMNO. Kerana kelantangan, keberanian dan terampilnya Wanita UMNO akhirnya parti ini percaya perlu ada sayap wanita muda. Maka 2001, lahirlah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Kedua-dua sayap wanita ini adalah manifestasi terbaik perjalanan politik yang cekal.
20. Hari ini jumlah keahlian Puteri mencecah 395 482. Dengan jumlah ini, kita punya kekuatan untuk menggerakkan jentera parti. Jumlah ini juga menjadi petanda betapa Puteri kekal relevan sebagai medium perjuangan wanita-wanita muda. Malah 365 882 ahli Puteri telah berdaftar sebagai pengundi dan saya percaya ini mampu memberi sumbangan besar dalam pilihan raya nanti. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas kejayaan menganjurkan Himpunan Wanita Muda Negara 2012. Kita berjaya menghimpunkan lebih 14 000 wanita muda dari pelbagai latar belakang. Ini membawa petanda betapa wanita muda sudah mula mendekati kita.
Sidang perwakilan sekalian,
21. Perjuangan mempertahankan kesucian ialah asas sebuah ketamadunan. Zaman akan terus berubah, manusia akan terus berkembang tetapi kesucian perjuangan ialah idealisme yang dipegang sampai bila-bila. Kerana itu yang membezakan UMNO dan parti-parti lain di Malaysia ialah kita tertubuh kerana prinsip dan asas juang yang jelas pada bangsa.
UMNO bukan tertubuh kerana memenuhi perjuangan peribadi, bukan tertubuh kerana rasa hasad dan dengki.
Bukan tertubuh sebagai parti yang memendam dendam meliar. Akhirnya yang rosak dan binasa adalah rakyat dan seluruh rasa percaya mereka.
22. Soalan-soalan berkenaan ketidakyakinan manusia sekeliling masih tetap berkumandang. Tetapi, dengan yakin dan percaya, bangun dan suarakan kepada mereka, walau jiwa mentah tapi akal dan semangat kita tak mudah menyerah. Kita katakan kembali warna merah jambu yang dipakai ialah campuran merah warna pejuang dan putih kesucian diri. Kita asak kepada yang bertanya bahawa perjuangan ialah milik semua. Kita buktikan dengan usaha yang tidak pernah putus membantu perjuangan parti. Kita tinggalkan mesej kepada masyarakat bahawa yang diperjuangkan Puteri ialah sebuah kesucian juang dan kita ialah bala tenteranya. Dengan baju kurung di badan, kita pelihara kesucian bangsa dan agama. Telekung dan selendang di kepala, kita angkat maruah dan jati diri seorang perwirawati. Manis suara dan santun tindak ialah senjata taruhan Puteri. Kehormatan akal dan jiwa jadi matlamat.
Perjuangan, buat kita semua Puteri-puteri bangsa ialah kesucian yang nyawa jadi taruhan.
23. Dalam kebangkitan sebuah juang, tindakan ialah teras yang menjadi tunjang. Kita boleh punya cita-cita, kita boleh punya angan-angan, tetapi yang lebih penting kuasa yang ada pada tindakan. Kerana itu dalam wadah politik baru, suara bukan lagi satu kuasa selagi mana tindakan tidak membuktikan apa-apa. Tamsilan dari maksud inilah, maka asas perjuangan Puteri seharusnya bergerak atas tindakan lebih dari sekadar cita-cita dan angan-angan.
24. Saya suka mengajak anda untuk menghayati satu kisah perjuang wanita yang tulen yang percaya pada kuasa bertindak. Helen Keller, adalah seorang pemimpin wanita di Amerika yang buta dan pekak. Dan dalam survivalnya untuk bercakap beliau akhirnya menjadi pemidato terkemuka di dunia yang menggerakkan perjuangan hak-hak wanita.
Kalau anda pernah menonton video ucapannya, anda pasti akan terfikir bagaimana dengan segala kekurangan wanita ini berjuang untuk mencapai sesuatu di dalam hidupnya.
Dan hari ini kata-katanya telah merangsang dan mengubah dunia. Satu kata-katanya yang sehingga hari ini telah merangsang semangat juang dan setia kawan jutaan manusia “working with a friend in the dark, is better then working alone in the light”.
25. Sejarah perjuangan wanita muda telah lama bermula. Mereka telah secara langsung menentang Malayan Union pada 1946 yang mengancam bangsa dan negara. Walhal, wanita sebelum zaman itu, tidak pernah terlibat dalam politik, bagi mereka dunia seorang wanita adalah isi rumah, suami dan anak-anak. Namun, segalanya berubah.
Apabila semangat juang menentang Malayan Union membuka mata semua.
Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah Sidek antara figura yang menjadi perintis penglibatan wanita muda di jalan politik.
50 tahun yang lalu, nama-nama seperti ini telah menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka untuk menegakkan perjuangan hak bangsa dan negara. Ini memberikan kepada kita satu petanda dalam sejarah perjuangan politik, wanita muda pernah merakam nama.
Hinggalah tanggal 9 April 2001, tertubuhlah Puteri UMNO sebagai pentas perjuangan terbaik untuk wanita muda menyumbang kudrat dan idea, memperkasa politik negara.
26. Pundak kita mungkin lemah kudratnya. Pundak kita mungkin dianggap remeh. Tetapi di pundak inilah, perjuangan menemukan rentaknya. Pergerakan Puteri UMNO perlu belajar menjadi pundak yang lebih kuat.
Selama sebelas tahun kita sudah buktikan kemampuan kita menyokong perjuangan parti. Kita perlu bekerja lebih keras untuk masa depan parti kerana agama, bangsa dan negara.
Siap siaga hadapi segalanya.
MENEKUNI REALITI
Sidang perwakilan sekalian,
27. Politik adalah perkataan yang menjadi halwa telinga di mana-mana sahaja kaki manusia berdiri. Politik yang berasal daripada kalimah Greek iaitu ‘politikos’, membawa maksud daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Politik membabitkan persoalan menguruskan kelompok manusia yang terdedah dengan pengaruh tempat dan masa. Dalam politik, untuk mengikat manusia yang cenderung berubah ini bagi terus menyokong sebuah aspirasi, hanya kepercayaan yang menjadi kuncinya.
28. Hakikatnya, kepercayaan rakyat boleh dibeli, tapi bagaimana? Kita boleh memilih untuk membeli kepercayaan rakyat dengan wang, janji atau dengan pengorbanan.
Dengan wang, kepercayaan akan hilang apabila wang habis dibelanjakan. Dengan janji, kepercayaan akan lunyai apabila janji tidak tertunai. Namun dengan bakti dan pengorbanan, kepercayaan dalam jiwa rakyat akan kekal tersemat walau digoncang kuat. Meyakini hakikat ini, Puteri tidak berpeluk tubuh, berdiam diri dan goyang kaki.
18 program berkala tetap telah dilaksanakan meliputi sekecil-kecil aspek hinggalah yang paling besar. Program Puteri merangkumi aspek sosial seperti, B2R; Program Banteras Ragut Dan Rogol, Life is Precious; kempen kesedaran pembuangan bayi hinggalah Program Sinar Kasih; Program yang memberikan rawatan percuma untuk golongan emas.
Program-program lain termasuklah Projek Puteri Prihatin, Ziarah Kasih, Program Back To School dan yang terbaru Program Barber on Wheel.
29. Berdekad lamanya, UMNO secara umumnya dan Puteri secara khususnya cekal meredah desa, menjelajah kota, turun ke lapangan rakyat bagi menabur jasa. Selama 66 tahun, rakyat menganugerahkan kepercayaan untuk parti keramat ini terus memerintah sebagai balasan setiap nikmat kebajikan, keamanan dan kemajuan yang mereka nikmati.
Namun malang menimpa bumi bertuah, saat petualang menggerakkan strategi paling kotor dan busuk, mereka meniupkan roh fitnah dan memberikannya nyawa untuk menghancurkan bangsa.
Secara diam dan perlahan, fitnah menjadi santapan harian, membunuh rasa percaya rakyat pada kerajaan.
30. Adakah mereka lupa firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat ke-25. Maksudnya,
“Dan jagalah diri kamu daripada berlaku dosa yang membawa kepada bencana fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umumnya) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya.”
31. Makna fitnah melangkaui kesaksian palsu seperti yang lazimnya dihadam oleh masyarakat. Fitnah juga hadir sebagai ujian kemewahan dan kesenangan. Dalam kalangan kita, apabila diuji dengan harta dan kekayaan, lihatlah betapa ramai yang tewas hingga tersungkur di medan juang, tidak kurang juga yang menanti masa dikuburkan sia-sia? Di mana letaknya kita? Tepuk dada, tanyalah nawaitu perjuangan, tanyalah iltizam tindakan. Kisah Firaun, Haman, Qorun dan Bal’am seharusnya menyedarkan kita, betapa pangkat dan harta adalah satu fitnah dalam bentuk ujian kemewahan, yang bisa membunuh pejuang dan membinasakan perjuangan.
32. Nabi sendiri pernah memberikan amaran dalam sabdanya, yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi.
“Tidaklah 2 ekor serigala yang kelaparan dilepaskan kepada seekor kambing, lebih merosakkan daripada kerakusan seseorang dalam mengejar harta dan pangkat merosakkan agamanya,”
33. Apa yang turut mengerikan, sebenarnya kacau-bilau, huru-hara, dan ketidaktenteraman yang melanda sarwajagat juga adalah fitnah. Allah berfirman dalam kitab Al-Quran, Surah An-Nisa’ ayat 83.
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”
Sidang perwakilan sekalian,
34. Tanggal 3 November 2012, ketenangan yang selama ini berdamping erat dengan jiwa rakyat direntap tiba-tiba.
Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih agama di bawah prinsip kebebasan beragama, di sebuah forum bertajuk, “Islamic state? Which vision? Whose responsibility”. Beliau menjawab satu soalan dalam forum itu dengan menyebut,
“there should be no compulsion in any religion including Islam. How can anyone say (freedom of religion) only apply to the non-Muslim, it has to be applied equally.”
35. Pemimpin wanita beragama Islam ini dengan sewenang-wenangnya memetik ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi; Maksudnya;
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ”
36. Pemimpin PKR ini jelas terkeliru, ‘asbabunnuzul’ atau sebab turun ayat ini adalah kerana seorang Ansar, Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf yang bertanya kepada Rasulullah tentang keinginannya memaksa dua orang anaknya penganut ajaran Nasrani untuk memeluk Islam. Ayat ini memberi mesej jelas, kita tidak boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agama suci ini. Tetapi ayat ini tidak sesekali membenarkan dan mengizinkan orang Islam untuk murtad, keluar dari Islam, menyamaratakan agama ini dengan yang lain dan sekaligus memperlekehkan kebenaran agamanya
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
37. Telitilah dengan daya fikir yang paling tajam, sebaran ideologi pluralisme ini bukan sahaja mengancam aqidah umat Islam, bahkan dengan sengaja menyanggah dan mencabar Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2), yang meletakkan antara definisi Melayu mestilah seseorang yang beragama Islam. Lebih menghairankan kita, kenyataan ini juga jelas bertentangan dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Adakah mereka lupa? Antara bahagian yang terkandung di bawah hukum hudud adalah hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad? Inilah akibatnya, apabila seekor kerbau punya tiga gembala. Dua orang bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah. Ketahuilah, ini satu alamat dan petanda sebuah malapetaka.
38. Kerana sudah terlukis di lantai sirah, akibat fitnah, tamadun dan pemerintahan ternama di dunia menderita taqdir yang hina. Angkara fitnah Mendeliar dan Kitul, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir dan laksamana Melaka di zamannya. Angkara fitnah, empayar Moghul yang didirikan Babur pada tahun 1526 jatuh tersungkur. Angkara fitnah, khalifah Uthman Ibnu Affan digulingkan, tamadun Islam rebah, punah dan musnah. Angkara fitnah, manusia berbunuhan tanpa rasa bersalah. Angkara fitnah, sejarah dunia dipalit warna permusuhan dan darah. Soalnya, inikah yang kita mahu biarkan membarah dalam kalangan marhaen kita?
39. Angguklah dan katakan ya pada sebuah hakikat, politik bersadur fitnah di akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil, kerana fitnah sudahpun lahir seawal zaman Qabil dan Habil.
Mendepani situasi mencabar ini, marilah kita laung dan zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata seperti yang dididik agama. Pertama ilmu, kedua kebijaksanaan dan ketiga adalah sabar. Ketiga-tiga pendekatan ini harus beradaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan.
Sidang perwakilan sekalian,
40. Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis tohmah dan fitnah pembangkang. Fitnah yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat akan ditentang habis-habisan. Tetapi, Puteri dengan berani akan katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta.
Ini jalan kita.
41. Pembangkang secara terang-terangan cuba membentuk persepsi buruk dengan membuat pelbagai tuduhan palsu.
Mereka gigih berusaha untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa UMNO dan BN yang memerintah negara, adalah parti yang tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga kebajikan rakyat.
Mereka bermati-matian menolak tema Sambutan Kemerdekaan Negara ke-55, ‘Janji Ditepati’ yang telah BN laksanakan.
Kerana apa hadirin sekalian? Kerana mereka tahu apa yang kita kata, kita kota. Apa yang kita janji, kita tepati.
Sedangkan mereka mengabaikan tanggungjawab, mungkir janji yang dibuat dan khianati kepercayaan rakyat.
42. Kita ambil contoh negeri yang paling mereka bangga-banggakan kononnya paling berjaya melipatgandakan pendapatan, iaitu negeri Selangor. Dalam manifesto 2008, mereka tabur seribu satu janji untuk rakyat negeri ini.
Janjikan elaun bulanan untuk ibu tunggal, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak muda mendirikan rumahtangga, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak kecil ke pusat asuhan, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan pendidikan prasekolah, tapi tidak ditunaikan. Kalau di negeri Selangorpun mereka gagal mengotakan apa yang mereka janji, adakah kita yakin mereka akan tunaikan janji untuk negara jika diberi kuasa? Jawapannya pasti tidak.
43. Jangan kita gadaikan negara untuk mereka mengecap kuasa, akhirnya rakyat yang jadi mangsa. Katakan pada mereka, cukuplah sekali, rakyat tak akan ditipu lagi! Tidak seperti mereka, UMNO akan terus membela rakyat. Asas perjuangan kita pada huruf Alif, Ba dan Ta akan kita pertahankan. Alif untuk agama. Ba untuk bangsa, dan Ta untuk tanah air. Ini sumpah setia dan janji kita. Islam akan dimartabat, Melayu akan diangkat dan negara akan didaulat.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
44. UMNO bukan seperti PAS yang berpakaian agama untuk menghalalkan segala-galanya demi memuaskan nafsu politik. Sirah telah mengajar kita, Nabi junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah S.A.W. tidak pernah menghina sesiapa. Nabi tidak pernah mendoakan keburukan dan kemusnahan walaupun pernah dizalimi Yahudi, sebaliknya mendoakan kesejahteraan dan hidayah buat yang memusuhinya. Inilah sunnah sebenar yang wajar diikuti.
Sayang sekali sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam, dengan menjerit mendoakan kemusnahan sesama umat Islam. Demi politik, segala keterlanjuran mereka, difatwakan sebagai benar dan kononnya itulah ajaran agama. Itu kaedah perjuangan mereka, itu bukan cara kita.
RESAM CABARAN
45. Ketahuilah, sejarah bukan sekadar susunan aksara yang hanya perlu untuk dilafaz, ia juga bukan sekadar susunan kata yang hanya perlu untuk dihafaz. Sebaliknya, setiap kisah sejarah yang dibaca, perlu untuk kita hadam nilainya, perlu untuk kita faham maksudnya. Ia perlu ditafsir dengan hati dan minda yang terbuka bagi membina masa depan yang lebih baik dari sebelumnya.
46. Kefahaman berhubung kisah dan sejarah silam ini merupakan sesuatu yang fundamental untuk kita jadikan tauladan dan sempadan. Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali”
Seharusnya intipati hadis ini perlu untuk kita terapkan dalam diri, perlu kita sematkan dalam hati dan sanubari setiap ahli gerakan. Tsunami politik pada PRU ke-12 memberi mesej yang jelas untuk kita sama-sama merealisasikan sebuah transformasi perjuangan secara besar-besaran. Jangan biarkan ular lidah bercabang, hidung belang terus mengapur rakyat dengan janji temberang.
Sahabat Pakatan Rakyat dia boleh kelentong tetapi dengan rakyat jangan nak bohong.
Rakyat adalah aspirasi Puteri. Janji perlu ditepati, bukan hanya tahu bertelingkah merebut jawatan Perdana Menteri.
47. Selaras dengan slogan transformasi tampuk pemerintahan Dato’ Sri Presiden, formula baru perlu wujud dalam setiap gerakan yang diatur. Sebelum siap-siaga berperang tempur. Asas utama dalam perjuangan yang murni ini perlu ditunjangi dengan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi. Kesetiaan ini bukan bersifat sembrono.
Kesetiaan yang kita mahukan dari setiap ahli adalah kesetiaan yang bertunjangkan ilmu dan agama. Bukan kesetiaan Pak Turut yang hanya tahu mengikut perintah yang dituntut. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk perbuatan demi kepentingan parti yang kita sayangi.
48. Mari kita ambil iktibar dari beberapa kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng kepada perjuangan sepertimana yang disebut dalam kitab dan sirah. Contohnya wanita bernama Nusaibah binti Kaab yang begitu setia mempertahan dan melindungi Rasulullah. S.A.W. dalam peperangan Uhud. Peristiwa lebih 14 kurun ini, sudah pasti menjadi pengajaran penting kepada kita, bahawasanya Puteri mampu dan sanggup berkorban hatta menggadai nyawa sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada panji yang telah kita bawa. ‘Semangat Nusaibah’ mesti membara dalam diri setiap ahli puteri hari ini.
49. Kesetiaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti dipadukan, kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ia menjadi tenaga yang mampu menerjah dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita Puteri tidak pernah dan perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan parti tetap kita teruskan. Puteri sedia berkorban apa saja demi agama, bangsa dan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
50. Kombinasi yang perlu hadir bersama kesetiaan ini adalah kebijaksanaan dalam melaksanakan perjuangan. Metod perjuangan perlu selari dengan peredaran zaman. Kita semua sedar dan tahu, PAS dan PKR, dua parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan dendam. Sebab itu perjuangan mereka didasari fitnah dan hasad dengki.
Mengajak rakyat berhimpun mendoakan kebinasaan manusia seagama, menuduh slogan 1Malaysia yang jelas murni idea dari Yahudi, mengajak rakyat sertai demonstrasi dan lakukan kerosakan, itu semua cara perjuangan mereka yang jelas terpesong dari adab susila manusia! Perjuangan yang sama sekali ditolak rakyat kita! UMNO tidak lahir atas dasar kecewa, dengki, dendam, benci dan berjuang untuk tujuan peribadi.
51. Tetapi UMNO tertubuh atas rasa tanggungjawab kita membela bangsa. UMNO adalah parti tulen dan parti sejati orang Melayu. Jangan kita hancurkan empayar yang telah kita bina ini dengan fitnah. Perjuangan kita perlu selari dengan keperluan rakyat. Yang rakyat inginkan adalah kebajikan mereka dijaga bukan fitnah sebagai halwa telinga.
Sebagai penggerak, Puteri harus bijak dalam mendekati rakyat. Rakyat perlukan suara mereka didengari, bukan mendengar caci-maki. Contoh terbaik yang boleh dipraktikkan adalah sepertimana kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sikap kepimpinan yang fleksibel membuatkan para sahabat sentiasa berasa senang untuk mendampingi baginda baik untuk mengadu masalah mahupun mendapat penjelasan berhubung sesuatu hukum.
Contoh kepimpinan beginilah yang seharusnya kita teladani.
Mobiliti dan akauntabiliti sentiasa ada bagi memastikan setiap aduan didengari, bukan hanya sekadar pandai menabur janji.
52. Tugas Puteri hari ini bukan lagi sebagai sisipan, tetapi pemain utama di dalam arus perdana. Masyarakat perlu mempunyai persepsi yang matang dalam politik untuk memastikan survival perjuangan masa depan terus terbela.
Inilah tugas penting yang harus dipikul Puteri. Mendidik rakyat supaya matang dalam mentafsir senario politik negara. ‘Action Plan’ yang jitu telah diperkenalkan Dato’ Sri Presiden.
Pelbagai platform telah disediakan melalui program transformasi kerajaan untuk membolehkan aspirasi ini dicapai.
Kita semua menjadi saksi keberjayaan program yang telah dijalankan. Daripada GTP hingga ETP, daripada NKRA hingga NKEA, daripada RTP hingga PPP semua dilaksanakan bagi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan kelangsungan wadah perjuangan.
53. Sebagai jentera, Puteri seharusnya bertindak sebagai pemberi maklumat berhubung segala usaha dan kejayaan program yang telah dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.
Saya percaya, dengan adanya usaha ini, ia secara automatik akan memberikan satu persepsi baru kepada masyarakat berhubung keseriusan kerajaan dalam membantu rakyat. Inilah kematangan yang kita perlukan. Menilai kejayaan perlaksanaan, bukan banyak mana janji yang telah ditaburkan.
PRU13
Sidang perwakilan sekalian,
54. Peperangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, pastinya akan menjadi peperangan pilihan raya yang paling sengit dan mencabar dalam sejarah demokrasi di malaysia.
Kemenangan tipis pada PRU yang lalu, serangan-serangan provokatif para petualang, ditambah pula dengan strategi-strategi populis menjadi senjata yang menopang, pastinya menzahirkan pilihan raya kali ini sebagai medan tempur sejarah yang tidak boleh dipandang mudah.
55. Pengalaman PRU12 ini adalah contoh yang paling ketara dan paling dekat di jiwa. Bukti jika kita terlalu leka dan selesa dengan kedudukan yang kita ada, semuanya bias hancur dan hilang sekelip mata sesingkat awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Itulah nilai sebuah kejatuhan.
56. Azimat dari kisah ini, jawapannya satu, kita harus kembali pada asas perjuangan. Asas yang dipasak dengan semangat dibenam dengan hakikat betapa yang menghimpunkan kita dalam garis perjuangan ini adalah asas yang membuatkan kita dipercayai dan dihormati. Asas yang melahirkan kita Pergerakan Puteri dalam parti yang kita sayangi.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
57. Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri. Bisa sahaja menjadi badai atau bayu yang membelai. Saat ini, jika kita masih berpeluk tubuh kita berdosa pada parti.
Jika segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari, kita berdosa pada parti. Jika kita tidak berpangkat, tidak berjawatan, tidak berkedudukan, kita biarkan hanya mereka yang mendapat mandat sahaja yang menyusun aturan, kita berdosa pada parti. Jika kita pura-pura di depan bikin kerja tapi di belakang bikin cerita, kita berdosa pada parti.
Di saat saudara kita berjuang, kita canang kononnya mereka petualang, kita berdosa pada parti. Jika kita dendam tak bertepi cemburu membita tuli, kita berdosa kepada parti. Dari sekian dosa yang yang kita lakar tanpa sedar, kitalah pengkhianat dan petualang sebenar.
58. Jadilah seperti Sumayyah, tanpa pangkat pun masih tegar mempertahankan agama. Jadilah seperti Mashitah, kezaliman Firaun tidak pernah melunturkan iman di dada.
Jadilah Khalid al-Walid, dari apa jua pangkat dan kedudukan, hidup matinya untuk pasukan.
59. Hari ini kita berdiri kerana sayangnya kita pada agama.
Sayangnya kita pada negara.
Dan sayangnya kita pada M E L A Y U.
Bangsa.
Perjuangan yang bukan bermaharkan harta dan berdulangkan kuasa. Perjuangan seikat lidi yang perlu bertahan sesama sendiri agar tidak mudah dipatahkan oleh sesiapa.
60. Hari ini Puteri bukan lagi hulubalang biasa. Puteri harus bangun sebagai pahlawan, Puteri harus bangun sebagai perwira Puteri harus bangun sebagai laksamana yang ternama. Sesungguhnya, Puteri yakin dan percaya bahawa peperangan kali ini bukan soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Ingat. Kekalahan pilihan raya ini bukan sekadar membawa maksud kalahnya parti kita. Tetapi kekalahan ini, akan menjadikan asbab matinya seluruh perjuangan dan kita pasti akan dikuburkan pada pusara yang tidak akan lagi dikenang. Jika kita gagal, maka segala perit jerih kita membela rakyat dan membina negara selama ini akan bernoktah di sini.
61. Sesungguhnya Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka, akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara, pemimpin itu perlu dihormati, andai ada salah secara hemah teguran diberi. Kayakan jiwa kita dengan keikhlasan dalam berjuang.
62. Sesungguhnya detik dan ketika ucapan ini ditutur, Puteri telah bersiap-siaga untuk turun bertempur. Sepatutnya juga, ketika ucapan ini ditutur, sikap sudah kemas dilentur. Nilai-nilai positif ini sepatutnya sudah sebati dalam jiwa, sudah tersemat di minda, sudah menjadi budaya yang tidak akan terpisah selamanya. Kerana kini, kita sudah berada di fasa untuk bertindak, yang sekarang masih perlahan bergerak.
63. Andai kita rebah di medan perang, itu satu malapetaka yang cukup malang. Rebahnya kita bukan dek kuatnya lawan, tapi kerana lalai dan leka dalam meniti arus perjuangan. Jika ditakdirkan ini berlaku, jawapan apa untuk kita berikan kepada anak cucu kita semua? Tatkala kita sedang berkuasa, apa yang kita lakukan? Tatkala amanah diberi kepada kita, apa kita laksanakan? Tatkala kita diberi kepercayaan, kita bacul dan khianat.
64. Jangan kita izinkan dalam ukiran sejarah pada zaman hadapan, Puteri tumbang kerana kita leka, Puteri tumbang kerana kita alpa, Puteri tumbang kerana kita terlalu selesa, Puteri tumbang kerana kita kejar kuasa.
65. Biarlah dalam nukilan yang dibaca anak cucu kita, Puteri bangkit demi bangsa, Puteri berjuang pertahankan agama, Puteri berkorban kerana cintakan Negara. Puteri benar-benar jelmaan Nusaibah, berjiwa besar dan tidak sesekali gentar. Andai dibunuh sekalipun, Puteri mati dengan bangga.
66. Kepada para Puteri, ayuh kita sama-sama berdiri teguh di atas satu azam perjuangan yang kukuh. Ingatlah, betapa lahirnya Puteri bukan untuk dimanja, bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa lahirnya Puteri adalah untuk berjuang sama merasai perit jerih membela nasib rakyat dan bangsa. Degup jantung Puteri adalah degup jantung rakyat, jiwa Puteri adalah jiwa rakyat dan hidup mati Puteri adalah untuk menabur bakti kepada seluruh rakyat.
67. Marilah bersama-sama kita berdiri. Kita berikrar dan bersetia. Parti ini adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu. Parti ini lahir dari darah, keringat dan kudrat pejuang terdahulu.
68. Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.
69. Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk dan mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan petualang.
70. Kita akan ketepi soal peribadi, kita akan ketepikan sikap yang merosakkan parti. Kita akan tanam dan kapankan rasa dengki dan iri hati.
71. Puteri berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan, mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi memastikan kita menang dalam pilihan raya yang akan datang. Puteri akan lakukan apa jua demi bangsa, agama dan negara.
72. Maka akhirnya dalam politik bukan semuanya tentang untung sabut timbul untung batu tenggelam, juga bukan rezeki secupak takkan jadi segantang. Tapi politik semuanya tentang berpantang maut sebelum ajal, membujur lalu melintang patah. Dengan seluruh tekad dan keringat.
Seluruh jiwa dan raga kita. Hanya untuk parti. Kita akan terus percaya di saat sakit, jerih dan perih, Puteri berdiri bukan kerana takdir, tetapi kerana seruan juang pada agama bangsa dan negara. Hingga sekiranya ditanya. Sebagai pejuang, sanggupkah kita membayar perjuangan dengan nyawa kita sendiri? Katakan bahawa kita sanggup. Katakan kita mahu, kita mampu, kitalah pejuang-pejuang itu! Selamat berjuang untuk semua yang bersidang.
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO 2012
UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA.

Ucapan Ketua Pemuda UMNO @Khairykj Hebat Dengan Gurindam Hamzah Fansuri Mula Ucap !!!

“Antara Dua Masa Depan” – Khairy


1. Hamzah Fansuri pernah bergurindam, kepada orang muda ditinggalkan pesan:
“Wahai muda kenali diri mu
Ia lah perahu tamsil tubuh mu
Tiada lah berapa lama hidup mu
Ke akhirat jua kekal diam mu
Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahu mu jua kerjakan
Itu lah jalan membetuli insan”
Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus berkhidmat di atas wahana perjuangan UMNO, yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 66. Ulangtahun kelahiran yang telah menjadi saksi penglibatan Pemuda UMNO berlari megah, merentasi 191 bahagian, seantero 13 buah negeri, untuk mengibarkan Sang Saka Bangsa di cakerawala negara. Sang Saka Bangsa – suatu nama keramat yang telah dizahirkan oleh Pergerakan kita sendiri.
2. Sebagai sayap paling penting dalam parti, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat orang Melayu tetapi juga seluruh watan, bermula dari era kolonial hingga ke kala arus permodenan mutakhir. Bukan sekadar menjadi pemerhati bisu atau pengikut tuli, namun sebagai pembawa obor perubahan, merintis jalan menuju kecemerlangan. Sirah kemerdekaan merakamkan bahawa Pergerakan kitalah yang telah membawa usul pada tahun 1955, agar tarikh kemerdekaan disegerakan dan dibuat pada tanggal keramat 31 Ogos 1957. Bahkan Pemuda jugalah perintis awal bagi semangat nasionalisme sejagat serta pengisian kemerdekaan yang inklusif dan sebenar, dengan cadangan agar slogan kemerdekaan ditukar dari “Hidup Melayu” kepada “Merdeka” pada tahun 1951. Natijahnya, dari dulu, kini dan selamanya, maqasid dan manhaj perjuangan Pemuda tidak pernah sirna dari memastikan UMNO kekal relevan.
3. Di atas landasan kesinambungan ini, Pemuda UMNO sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan Pemuda, kita telah menggalas amanah sebagai kumpulan pendesak – sejajar dengan tuntutan era pra dan pasca penjajahan – yang akhirnya menyumbang ke arah kemerdekaan negara, dan seterusnya pembentukan Malaysia. Demi masa dan peralihan zaman, dan bersesuaian pula dengan konteks Model Baru Politik, kini Pemuda UMNO telah diberi nafas baru, penjenamaan semula dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam menangani isu generasi muda. Kita percaya, untuk menjuarai suara dan aspirasi pelapis bangsa, Pemuda haruslah mampu menawarkan wadah penyelesaian kepada mereka – bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, terpekik terlolong menjaja retorik.
4. Penghijrahan tasawwur atau worldview baru yang saya tekankan tahun lepas adalah manifestasi kematangan perjuangan pertubuhan kita. Kita harus kekalkan keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara hikmah sejarah dan potensi pembaharuan bukan semata untuk seiring dengan zaman, tetapi juga demi agama yang menuntut kemuliaan dalam kepimpinan. Justeru, agenda pendekatan islah politik ini menuntut kita untuk sentiasa berubah, agar peranan politik UMNO terus berada di batasan paling mutakhir.
5. Berbekal semangat juang tanpa sempadan, kita tidak hanya sekadar mengetengahkan peri-penting UMNO di mata orang muda. Tetapi selaku juara anak muda, Pemuda juga pencetus utama kepada UMNO untuk mencerminkan hasrat generasi baru yang menitikberatkan hak asasi manusia, ketelusan tadbir urus dan kebebasan bersuara. Disamping pendekatan dan penjenamaan baru ini, Pemuda tetap memelihara tradisi dan legasi parti keramat UMNO.UMNO kaya dengan warisan tersendiri – tiada satu pun organisasi lain dalam negara ini yang setaraf dengan UMNO dalam soal sejarah dan sumbangan kepada tanahair. Tradisi ini terus kekal terpelihara di bawah teraju dan kepimpinan Pemuda UMNO. Sayugialah pepatah Melayu: gayung bersambut kata berjawab, yang lama kita kelek, yang baharu kita junjung.
6. Apa yang tidak mampu disangkal lagi, adalah peranan Pemuda sebagai pemangkin dalam memugarkan sebuah kerajaaan yang mesra aspirasi anak-anak muda. Jika dahulu fungsi Pemuda sekadar kumpulan pendesak, kini kita telah menjalani proses transisi yang lebih menjurus kepada politik khidmat bakti dan politik islah. Sejajar dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan sarwajagat yang terbuka dalam mengiktiraf anak-anak muda, dengan pelbagai inisiatif khusus yang sesuai dengan jiwa mereka. Pendekatan lapuk berbaur autoritatif, yang cenderung kepada mengarah kelompok bawahan, dan berasaskan program hiburan picisan semata, sudah tidak boleh diaplikasikan lagi – kerana kesemua ini berorientasikan pendekatan memperkecil dan meminggirkan bakat serta potensi orang muda.
7. Segala ini bertitiktolak dari penubuhan Makmal Generasi Muda atau BN Youth Lab yang dirangka khusus untuk mendalami naluri anak muda Malaysia. Sekalipun inisiatif ini sudah berusia lebih tiga tahun, namun ia program perintis Pemuda yang telah meneroka dan membuahkan program-program mesra orang muda, dari orang muda. Kita telah membawa satu pengislahan politik dari gerakan rambang penuh teka-teki, kepada mekanisme kontemporari berasaskan kajian dan buah fikiran kumpulan sasar. Makmal Generasi Muda juga telah mengangkat suara Pemuda UMNO dari sekadar pendesak politik kepada penjana cadangan bernas dalam perencanaan dasar negara. Lanjutan dari itu, pelbagai saranan telah dirumus merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, transformasi undang-undang melalui pemansuhan ISA serta rombakan AUKU, sekaligus pelbagai dasar dan program bagi penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan kawalan harga barang.
8. Sekali lagi sejarah tercatat semasa pembentangan Belanjawan 2011, apabila beberapa prakarsa Pemuda telah disebut dan diberi pengiktirafan seperti Skim Rumah Pertamaku, penubuhan Dana Belia 1Malaysia, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara ke arah penetapan gaji minimum dan juga pelbagai peruntukan dana serta skim latihan kemahiran. Bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya –segala inisiatif belanjawan yang mesra orang muda ini adalah rantaian dari suara dan gerak kerja Pemuda, yang telah menjadi ibarat payung besar di tengah padang, tempat bernaung dari panas, tempat bernaung dari hujan untuk anak-anak muda.
9. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak sampai melayang. Setiap zarah nikmat yang dikecapi tidak ditawarkan gratis, melainkan di atas perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak dari pucuk pimpinan, kerajaan dan juga Pemuda. Hasil keringat dan pendekatan Pemudalah, hari ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) kian mesra generasi muda. Justeru, hakikat tidak terkhilaf lagi, suara dan peranan Pemuda didengari dan diiktiraf oleh parti dan kerajaan.
10. Selagi kita masih berkalam sebagai wakalah golongan muda, kerajaan tetap mengangkat suara dan menyelami masalah mereka. Contoh paling mutakhir adalah pengisian Belanjawan 2013 – belanjawan getir paling mesra orang muda setakat ini. Belanjawan yang mencakupi aspek dan isu generasi muda seperti perumahan, pekerjaan, latihan, skim bantuan keusahawanan, kos sara hidup, baucar buku, diskaun PTPTN, penjagaan anak-anak, bantuan BR1M 2.0, hatta untuk membeli telefon pun akan diberi rebat!
11. Lantaran itu, Pemuda bersyukur kerana YAB Presiden Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bukan sahaja seorang yang begitu menjiwai agenda islah politik, tetapi juga aspirasi anak-anak muda. Pemuda mengucapkan syabas kepadaYAB Presiden di atas sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada program kesukarelawanan orang muda 1Malaysia for Youth (1M4U). Ini kerana aspek kesukarelawanan adalah salah satu cabang yang telah dipelopori dan dicetuskan oleh Pemuda, melalui inisiatif Dana Belia 1Malaysia.
12. Alhamdulillah, berkat dan hasil usaha gigih kita telah menjadi impetus kepada gelombang sokongan orang muda kepada BN. Ini bukan hebah kosong memuji diri, tapi sudah terbukti berkali-kali. Kalau dahulu, kita berjaya memancing kembali sokongan pengundi muda pulang ke dakapan BN, semasa siri pilihanraya kecil beberapa tahun lepas, hari ini bukti datang dalam bentuk pilihanraya kampus pula. 18 daripada 20 pilihanraya kampus dimenangi oleh golongan yang menyokong BN. Semua kejayaan ini timbul kerana agenda kita agenda orang muda, perjuangan kita perjuangan anak muda. Tanpa syak lagi, BN Pilihan Orang Muda.
Para perwakilan sekalian,
13. Menyusuri kembali rentetan khidmat empat tahun lalu, kita telah berjaya mengubah pemikiran dan tanggapan umum melalui pelbagai idea dan inisiatif mesra orang muda, yang telah diangkat menjadi dasar dan program kerajaan. Memegang ijtihad yang sama, saya mahu Pemuda UMNO terus merasuk semangat ke dalam minda anak-anak muda, menawarkan kepimpinan intelektual, di samping kita terus mengukuhkan peranan sebagai ejen penyelesaian dan pencetus idea kepada kerajaan, agar generasi akan datang terus mendapat manfaat. Kita ini kalau kurang berfikir rajin membangkang, sampai bila-bila pun di baris belakang.
14. Menjunjung tanggungjawab sebagai ejen pencetus idea, saya kemukakan cadangan pertama tahun ini. Pemuda sentiasa mengambil berat aspek latihan dan penghakupayaan di kalangan generasi muda. Kita sering mengambil langkah wahid dalam membantu graduan dan orang muda untuk mendapatkan pekerjaan. Tidak terhenti setakat itu, kita turut membantu mereka yang dikekang masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan isu penghakupayaan amat penting dalam pembangunan modal insan, Pemuda berpendapat kerajaan harus melipat gandakan usaha dalam aspek ini. Malah, Pemuda proaktif mencerminkan dedikasi ini melalui Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) dan Biasiswa Pendidikan Pemuda (BNYES). Inisiatif-inisiatif ini akan kami teruskan lagi supaya menjadi legasi kepada generasi kepimpinan dalam Pemuda, insya-Allah.
15. Pemuda juga menyambut baik program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), yang dirangka khusus untuk mempertingkat keupayaan graduan kita mendapatkan pekerjaan, dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga firma-firma swasta. Lantaran itu, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan agar agenda latihan dipikul oleh semua, dengan mensyaratkan sebarang projek dan kontrak kerajaan, hanya diberikan kepada syarikat yang mempunyai program latihan industri untuk anak-anak muda tempatan. Melalui pendekatan ini, tanggungjawab melatih orang muda tidak lagi menjadi tanggungan eksklusif kerajaan, tetapi turut dikongsi oleh pihak swasta yang mendapat manfaat dari projek dan kontrak awam. Pada masa yang sama, ia membuka peluang kerjadan memberi prospek yang lebih cerah, kepada golongan muda untuk mencari pendedahan dalam industri.
16. Cadangan kami yang kedua merangkumi isu kebanjiran buruh asing dalam negara. Setakat Ogos tahun lalu sahaja, dianggarkan ada 2.3 juta orang pekerja asing di Malaysia, tidak termasuk mereka yang datang tanpa izin. Pemuda tidak menyangkal kebergantungan kita kepada buruh asing, terutamanya dalam sektor-sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan. Namun pada masa yang sama, Pemuda serius dalam mengkaji tren pengaliran masuk pekerja asing ke dalam sektor lain, lebih-lebih lagi sektor perkhidmatan. Perkara ini genting kerana kita hendaklah memastikan struktur dan komposisi buruh selari dengan hasrat merombak ekonomi negara – dari berteraskan persaingan kos kepada ekonomi yang berlandaskan inovasi dan nilai tambah yang tinggi. Pemuda sedar bahawa kos seorang pekerja asing adalah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Maka, Pemuda mengusulkan agar syarikat-syarikat yang menjana pekerjaan untuk warga muda tempatan, diberi pelepasan cukai atau geran, agar mereka tidak dikekang masalah kewangan untuk beroperasi.
17. Beralih pula kepada cadangan Pemuda yang ketiga. Selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), saya kerap melihat syarikat-syarikat tempatan berjaya menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, sehingga setanding dengan pesaing-pesaing mereka dari luar negara. Malangnya, syarikat-syarikat ini gagal memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada kerajaan, kerana kerajaan masih bergantung kepada produk dari luar negara. Pemuda simpatetik dengan musibah yang menimpa syarikat-syarikat ini, dan berharap kerajaan dapat membuka peluang kepada usahawan-usahawan tempatan, dengan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan yang bukan saja berkualiti, tetapi juga menepati piawaian serta syarat-syarat tender yang dikenakan. Semua sedia maklum bahawa pasaran Malaysia adalah sangat kecil dan syarikat tempatan perlu ke luar untuk berjaya. Tetapi untuk diterima di luar, kita perlu jadi juara di gelanggang sendiri dahulu. Kalau kita lihat, negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, mereka amat mengutamakan hasil tempatan melalui polisi kerajaan dan akhirnya, jenama mereka dapat kick-start yang cukup untuk berjaya di peringkat global. Oleh itu, Pemuda mengesyorkan Kerajaan melaksanakan kempen “Buy Malaysia First” atau “Beli Barangan Malaysia”, supaya usahawan tempatan dapat diberi keutamaan. Pemuda bukan mengkritik, sekadar mengingatkan. Jangan anak di pangkuan kita lepaskan, kera di hutan kita susukan.
18. Seterusnya kami ingin memberi cadangan tentang agama, khususnya tentang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam. Agama kita mewajibkan kebajikan dan bantu-membantu antara satu sama lain. Tapi apa yang terjadi hari ini, pengagihan wang zakat tidak menyeluruh dan tak sampai kepada golongan yang memerlukan. Bila kita dengar mereka ini dibantu orang lain, dari agama lain atau isu murtad berleluasa dalam kalangan asnaf, kita melenting marah. Hakikatnya ini salah kita juga. Jadi Pemuda mencadangkan agar kerajaan memperluaskan usaha mencari asnaf di setiap peringkat, agar bantuan zakat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Tiada alasan untuk golongan ini tidak mendapat bantuan dari sudut agama, kerana agama telah mengajar bahawa kemiskinan menyuluh jalan kekufuran.
19. Seterusnya, Pemuda mengusulkan prakarsa kelima untuk mengembangkan lagi kelompok Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, terutamanya di kalangan usahawan dan profesional muda. Walaupun pendekatan masa kini lebih berpaksikan prinsip ketelusan dan pasaran, ini tidak bermakna kita mengetepikan matlamat untuk menghasilkan komuniti Bumiputera, yang ekonominya lebih berdaya tahan. Pemuda akan terus lantang bersuara demi memastikan medan persaingan yang adil, dan hasrat penstrukturan masyarakat terbentuk dengan jayanya. Pemuda juga berharap kerajaan akan menjana peluang lebih luas kepada golongan muda Bumiputera, bagi menjawat tampuk penting dalam soal pengurusan atau penggubalan dasar. Selama ini, bila timbul kekosongan jawatan lembaga pengarah GLC, peluang sering diberikan kepada pesara politik dan kerajaan. Amalan ini wajar disemak semula, mustahil tiada langsung profesional muda Melayu dalam dewan ini, mahupun di luar sana yang berkebolehan. Kami bukan menidakkan kebijaksanaan serta sumbangan pesara politik dan kerajaan, tetapi jenguk-jenguklah jua golongan muda. Kami yakin semangat dan idea baru orang muda dapat memberi nilai tambah kepada pengurusan sesebuah agensi atau GLC.
20. Satu lagi masalah yang ditanggung oleh orang muda, adalah apabila mereka terjerat dalam hutang, dan akhirnya diisytiharkan muflis dalam usia muda. Dari kira-kira 120 ribu kes kebangkrapan sepanjang tahun 2005 hingga 2012, 32 peratus daripadanya melibatkan golongan muda. Anak-anak muda ini gagal untuk meneruskan hidup dek bebanan kebangkrapan dan disenarai hitamkan. Nak berniaga tak boleh, nak beli rumah pun tak boleh, semuanya hancur dalam stigma seorang yang bangkrap. Pemuda menyeru kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada golongan ini. Hari ini, undang-undang kebangkrapan persis hukuman mati mandatori untuk golongan bangkrap, ramai yang terkial-kial cuba keluar dari prosedur ketat, tapi gagal. Pemuda menyarankan supaya kerajaan melihat semula kepada mereka yang bangkrap, bebaskan mereka dari hukuman mati ekonomi yang bakal memburukkan lagi hidup mereka. Jadikan prosedur perlepasan kebangkrapan lebih mudah. Kita kurangkan tempoh masa untuk si bankrap memohon perlepasan, sejajar dengan trend di negara-negara lain. Kita juga harus membantu orang muda dengan memberi pendidikan tentang pengurusan kewangan. Dan dalam kes-kes tertentu, bayaran cukai boleh ditangguh dan bantuan kewangan diberi kepada usahawan untuk mengelakkan kebangkrapan. Janganlah disebabkan bangkrap, masa depan mereka hancur. Pemuda menyeru kerajaan membantu golongan muda dalam kesempitan kewangan.
21. Cadangan ketujuh menyentuh soal atap di atas kepala rakyat. Pemuda mengalu-alukan langkah kerajaan menambah baik Skim Rumah Pertamaku serta peruntukan dana 500 juta ringgit untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Namun, ada dua isu yang ingin Pemuda bangkitkan. Pertama, unit rumah PR1MA tidak cukup dan kedua, tentang sistem cabutan ballot. Anggaran menunjukkan bahawa hampir 50 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana masih belum memiliki rumah di Lembah Klang. Hanya terdapat 9 ribu unit rumah kosong di negeri Selangor dan Kuala Lumpur berbanding dengan 370 ribu isi rumah yang masih mencari kediaman. Keduanya, dalam kita meraikan pemilihan berdasarkan sistem cabutan ballot yang dilaksanakan oleh PR1MA, Pemuda juga meminta agar kuota khas disediakan buat keluarga muda dalam semua projek perumahan PR1MA untuk memastikan kelompok ini tidak terlepas peluang.
22. Dalam menjadi pendokong suara rakyat, cadangan Pemuda yang kelapan adalah tentang penstrukturan semula bantuan kebajikan. Ini kerana jumlah bantuan yang diberi perlu lebih logik untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik ini. Sebagai contoh, bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar hanya 300 ringgit sebulan. Cubalah kita bayangkan, 300 ringgit itu tak cukup untuk beli lampin pesakit, apatah lagi untuk menanggung kos ubat, tambang ulang-alik ke hospital dan makan-minum si penjaga orang sakit. Sehubungan dengan itu, Pemuda mendesak agar kerajaan dapat merombak semula dasar kebajikan, dari segi jumlah yang diberi dan kelayakkan pemohon, agar niat kita dalam memberi pertolongan benar-benar tercapai.
23. Cadangan kesembilan pula, Pemuda menggesa agar YAB Perdana Menteri tetap istiqamah, dalam meneruskan program transformasi politik beliau. Selain daripada isu-isu ekonomi, transformasi politik amat penting bagi orang muda di mana jua. Mereka dahagakan langkah untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan demokratik – iaitu satu usaha yang diteruskan oleh YAB Perdana Menteri, bermula dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Tetapi kita tidak boleh berhenti di situ sahaja, UMNO dan BN adalah parti sebenar yang memperjuangkan tadbir urus yang sempurna dan menentang rasuah. Parti yang melindungi hak asasi manusia dan menjuarai agenda masyarakat sivil. Ini adalah hakikat politik masa kini. Walaupun dulu kita fikir kita tak mampu hidup aman tanpa ISA, tapi kini kita berjaya membuktikan sebaliknya. Justeru, Pemuda mendesak kerajaan untuk meneruskan lagi transformasi politik ini, agar generasi muda tidak perlu mencari reformasi politik di gelanggang lain. Kita mahukan apabila orang muda berfikir tentang perubahan, mereka yakin BN lah pilihan muktamad. BN lah parti yang berjuang untuk integriti, ketelusan, kebebasan dan keadilan dari dahulu, kini dan selamanya.
24. Cadangan kesepuluh merupakan satu initiatif khas Pemuda UMNO yang bakal membawa berita baik kepada ribuan orang muda. Hasil kajian Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO (SHEB), ada kira-kira 200 ribu lebih penunggang motosikal, khususnya di kalangan orang muda yang tidak mempunyai lesen. Mungkin mereka tidak ada lesen kerana kecuaian sendiri, atau mungkin kos untuk mendapat lesen terlalu tinggi. Ramai di kalangan mereka sudah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menunggang tanpa lesen dan mereka tidak mampu mendapat pembiayaan guaman. Ada juga yang hidup ketakutan kerana waran tangkap sudah keluar. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita kena terima hakikat bahawa ramai yang mengalami nasib ini sebab tidak mampu membayar kos mendapatkan lesen memandu. Atas kesedaran ini, saya ingin mengumumkan satu initiatif terbaru Pemuda UMNO yang bernama Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang telah dijalankan secara perintis di Pekan. Pemuda akan bekerjasama dengan JPJ, PDRM dan agensi-agensi lain untuk menawarkan kursus lesen motosikal pada harga 199 ringgit, yakni 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Kami juga akan minta supaya Kerajaan menaja sebahagian dari pemohon BL1M yang datang dari keluarga pendapatan rendah agar mereka dapat lesen dengan percuma. Kami juga dalam proses berunding supaya mereka yang sudah kena tindakan mahkamah mendapat keampunan jika melalui BL1M dan mereka terlepas dari kebimbangan dipenjarakan. Ini hadiah istimewa bagi golongan orang muda yang tersepit, khas dari Pemuda UMNO.
Para perwakilan sekalian,
25. Tidak dapat dinafikan, Pemuda memainkan peranan penting sebagai pelapis pucuk pimpinan parti induk kita. Yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di barisan paling hadapan kepimpinanan nasional pada hari ini, saya berani nyatakan, bahawa sebilangan besar daripada mereka telah diacu, dikelok dan diasah dari tampuk Pemuda UMNO. Apa tidaknya, YAB Presiden pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO. YAB Timbalan Presiden pula pernah menganggotai Exco Pemuda UMNO. Dua daripada tiga Naib Presiden UMNO hari ini bekas Ketua Pemuda pusat, dan seorang lagi bekas Ketua Pemuda negeri. Malah, ketua pembangkang pun bekas Ketua Pemuda Malaysia! Tercemar sedikit legasi kita, tapi tak apa, kita manusia tidak sunyi dari melakukan kesilapan.
26. Kita menginsafi warisan ini, namun bak pesan Hamzah Fansuri dalam syair Perahu – muda dan gagah kita tak kekal lama, ia hanya pinjaman semata. Karier dan perjuangan kita dalam Pemuda UMNO juga begitu, punya tahap waktu, bak kata orang putih, ada ‘shelf life’. Tapi muda sekali biar bererti. Jangan kita noktahkan perjuangan dan khidmat bakti di paras satu, dua, atau tiga penggal cuma. Kita mesti mengatur strategi di luar norma biasa untuk melahirkan pemimpin dan generasi pelapis paling getir, untuk menyambung legasi pergerakan ini – para pelapis yang punya semangat setala Jebat, gagah bak Megat Seri Rama.
27. Jika diperhalusi lembaran sejarah, perkara mencari pelapis ini mesti dipupuk dari awal lagi – pantang dibuat semberono. Sejajar dengan harapan kita untuk melahirkan pelapis bermutu, Pemuda tidak pernah kenal erti lelah, siang atau kelam, dalam usaha untuk meningkatkan keahlian parti. Dan kita sebenarnya sudah lama mendepani sayap-sayap lain, mahupun parti induk sendiri, dalam meneroka dan menambah bilangan ahli baru. Dalam lebih kurang 43 bulan saya memegang jawatan Ketua Pemuda, tiada satu bulan pun di mana Pemuda tidak mendahului sayap lain dan parti induk dalam soal penambahan ahli. Angka tidak pernah menipu. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa Pemuda merupakan gerbang pintu masuk utama parti UMNO – khususnya dalam kalangan golongan muda. Tapi jangan kita tersilap – muda tidak bermakna jahil, kuantiti tidak menjamin kualiti. Usaha dan tanggungjawab kita tidak terhenti setakat mengambil nama dan mendaftar ahli, cabaran seterusnya datang untuk melahirkan generasi pelapis yang celik lanskap politik, cekap menjana idea baru dan mampu menyelusupkan hasrat generasi kontemporari, kepada badan Pemuda UMNO itu sendiri.
28. Menelusuri langgam generasi muda masa sekarang, kita telah menganjurkan program yang cocok dengan jiwa mereka, seperti Sukarelawan Pemuda BN atau BN Youth Volunteers (BNYV) dan BN Youth Kampus (BNYK), yang kita baru lancarkan semalam. Waima BNYV itu amat dekat di hati saya, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah bukti penjenamaan semula Pemuda UMNO, kerana bukan calang-calang sambutan yang diterima. Di atas antelas BNYV, seramai lebih kurang 10 ribu orang muda, sudah mula menjiwai kelarai perjuangan BN. Apa yang lebih manis, untuk kita taulan seperjuangan, anak-anak muda dalam BNYV dan BNYK berprofil bukan sembarangan. Mereka individu muda bersahsiah, suka bertanya, punya visi dan misi tersendiri. Berkonotasi dengan keperibadian seperti ini, mereka bakal menjulang iktikad dan falsafah parti kita. Mereka tidak betah membeli omongan kosong dan sandiwara ampuh pihak pembangkang. Jika dulu kita fikir kita tidak akan mampu menawan hati gologan muda, yang sangat kritikal dengan perjuangan kita, tapi hari ini jelas penjenamaan semula Pemuda yang menjurus kepada politik khidmat bakti, telah berjaya menawan kelompok ini.
29. Mungkin sebelum ini mereka berasa segan atau janggal untuk mendekati parti kita yang kaya dengan tradisi dan protokol tersendiri. Kini melalui BNYV dan BNYK, kita sudah mengubah nuansa pendekatan menjadi lebih terbuka, pragmatis dan inklusif untuk merapatkan barisan kita di aula generasi baru. Meskipun tidak berhasrat untuk menggantikan peranan bahagian dan cawangan UMNO, ia merupakan harfiah kreatif kita untuk memupuk modal insan yang lebih berkualiti dan berpotensi. Mudah-mudahan jika diizinkan Tuhan, adik-adik kita ini bakal jadi pelapis pimpinan Pemuda UMNO, lantaran meneruskan kesinambungan legasi untuk generasi akan datang.
30. Walau lorong perjuangan dan pengorbanan sudah jauh diteroka, kita tidak pernah alpa bahawa perangkaan politik kita memerlukan perancangan yang lebih syumul. Maka, saya dan kepimpinan pusat akan kekal berusaha mengenal pasti bakat-bakat segar dari dalam dan luar organisasi kita ini, untuk kita bimbing dan asuh menjadi harapan masa depan bila zaman Pemuda kita tamat kelak. Baik cawangan Pemuda mahupun kampus universiti, kami akan terus turun padang mencari individu berpotensi tinggi!
31. Jika kini fokus utama kita adalah PRU13, selepas pilihan raya kelak kita wajar melipat ganda usaha untuk mengasah bakat-bakat pemimpin yang baru. Dalam konteks hasrat ini, alang-alang kita berfikrah atas nama latihan dan pendidikan, Pemuda sedar bahawa pengisian kurikulum politik perlu selari dengan cabaran dan lanskap politik masa sekarang. Apa dangkalnya kita mencari seribu bakal pemimpin hari esok, seandainya hari ini mereka masih diasuh dengan pengisian politik jumud. Acapkali sudah saya menyentuh soal transformasi yang bergolak dalam kancah politik tanahair, kerana memang jelas, betapa minda dan kehendak generasi muda amat berbeza dengan generasi terdahulu. Demi membantu latihan generasi pelapis ini, saya mengumumkan hasrat kita membina satu akademi khusus untuk Pemuda UMNO, yang bakal diberi nama sempena Ketua Pemuda yang pertama, Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI). Saya impikan penubuhan akademi ini di Sabah, negeri yang mana walaupun bongsu dari segi penubuhan UMNO, tetapi telah menjadi antara kubu kuat parti kita. Ini untuk menjadi legasi kita dalam membina kepimpinan masa akan datang.
Para perwakilan sekalian,
32. Di samping kita memikirkan soal kepimpinan masa depan, wajar juga kita menginsafi tanggungjawab kita selaku pemimpin muda hari ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat ke-54:
Yang membawa maksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu, Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Pengajaran yang dapat disingkap dalam ayat tersebut, masa muda hanya tiba sekali seumur hidup. Ia satu fasa kehidupan yang cukup penting dalam menjana kepimpinan. Perjalanan masih panjang, destinasi sudah jelas dipandang. Sungguhpun masih banyak yang perlu dipelajari, kita juga akui, rata-rata Pemuda sudah pun bersandar pada landasan yang kukuh dengan kekuatan dan jatidiri. Sewaktu umur ini, Pemuda dalam situasi terbaik untuk menerokai idea-idea baru, lantas memperbaharui model kepimpinan dan politik generasi sebelum ini. Zaman muda adalah zaman keemasan yang mengurniakan peluang-peluang yang tidak datang sebelum datangnya muda, dan ia takkan datang lagi selepas perahu muda ini berlalu pergi.
33. Berpegang kepada tasawwur ini, kita insaf bahawa Allah SWT telah mengatur takdir dan ujian untuk setiap daripada kita. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-286:
Bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
34. Dalam usaha kita untuk mengambil peluang zaman muda, sekaligus menzahirkan sebaik keupayaan kita, kita juga harus sedar bahawa kapasiti kepimpinan setiap insan, pasti berbeza. Tidak dapat tidak, dalam mana-mana arena politik sekalipun, sudah pasti ramai yang memendam cita-cita mendaki puncak kepimpinan. Dalam pendakian ini, janganlah pula kita terlalu ghairah mengejar puncak, sehingga kita alpa dengan pahala kebajikan. Maha Pencipta tidak mewajibkan setiap seorang daripada kita untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat, apatah lagi pemimpin tertinggi negara. Sebaliknya, Islam mengajar kita bersatu, berlumba-lumba membuat kebaikan, selaku pemegang obor amanah Allah SWT.
35. Maka, jika kita berpegang kepada perjuangan berlandaskan amanah, kita takkan dengki, takkan rakus, dalam mengejar jawatan di muka bumi. Jauh lebih mulia, jika kita semua berjuang ikhlas atas asas kemampuan dan fitrah kurniaan Allah SWT. Ini yang menjadi kunci kejayaan sesuatu perjuangan murni – bukannya mahu berebut jadi ketua, wakil atau kepala. Dalam konteks parti dan pergerakan kita pun, kekuatan bukan terletak di bahu pemimpin teratas semata-mata. Sebaliknya, tulang belakang terbina dari sumsum kegigihan panglima-panglima muda di segenap peringkat – masing-masing dengan kelebihan dan senjata tersendiri. Berkat doa, istiqamah serta usaha yang ikhlas, insya-Allah, ajaran Islam memberi kita pedoman untuk mengacu aspirasi model kepimpinan berlandaskan keinsafan. Melaksanakan khidmat dan tanggungjawab demi kebajikan semua, dan bukan untuk memuaskan nafsu serakah semata.
Para perwakilan sekalian,
36. Di samping kita menyumbang keringat berdasarkan kekuatan unik masing-masing, kita juga sedar bahawa ada di antara kita, yang sesuai diketengahkan selaku pemimpin di persada politik negara. Selari dengan niat kita menggunakan kelebihan zaman muda dalam menerajui kepimpinan baru, kita bersuara kerana percaya era Pemuda telah tiba. Pola politik mutakhir ini memancarkan petanda yang jelas. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa generasi mudalah kuasa penentu terbesar dalam politik negara. Tahun lepas di dewan yang mulia ini, saya menyentuh soal peralihan generasi berlandaskan perubahan pemikiran golongan muda. Lewat ini, soal peralihan generasi ini tampak semakin mustahak. Dalam asimilasi kita bersama geng muda di peringkat akar umbi, semakin jelas aspirasi mereka yang dahagakan kepimpinan serasi dengan congakan dan sudut pandang mereka.
37. Sebagai orang muda sendiri, sememangnya kita berada dalam kedudukan terbaik untuk benar-benar mencerminkan hasrat dan jiwa mereka. Kita yang paling dekat dengan orang muda, kita yang bergaul dengan mereka. Kita yang berada di barisan hadapan memperjuangkan kebajikan anak muda, tidak kira walau di Parlimen, di belakang tabir, di depan tabir, di mana sahaja – demi memastikan setiap dasar Kerajaan adalah dasar yang mesra orang muda.
38. Pemuda tidak mendesak apa-apa untuk kepentingan sendiri, jauh sekali untuk meminta-minta buat pemuas nafsu haloba. Namun, atas realiti politik masa kini, kita berhasrat agar peralihan generasi ini bukan setakat di atas kertas sahaja. Jika realiti politik menunjukkan bahawa orang muda adalah segmen pengundi baru terbesar, bukankah munasabah sekiranya mereka mahukan wakil-wakil dari rakan sebaya mereka juga? Seafdalnya, biarlah peralihan generasi berlaku di peringkat parti, yang mencerminkan lebih ramai calon-calon Pemuda diberi peluang, pada pilihanraya akan datang.
39. Dan saya yakin, berbekalkan kesedaran dan usaha komited Pemuda, ramai antara kita memang sudah bersedia untuk memikul cabaran selaku calon pilihanraya. Waima begitu, kesetiaan kami tak pernah goyah terhadap keputusan muktamad YAB Presiden. Kami sekadar menzahirkan hasrat kami yang membuak kerana cintakan negara, membuak kerana percaya masa kami telah tiba. Segala apa yang kami usahakan adalah atas dasar kerja, tanggungjawab dan cinta kami terhadap UMNO.
Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh perkasa belaka
Badan dan kudrat sila taruhkan
Ke Kota Tinggi membeli suasa
Suasa di ikat bersama rotan
Giliran kita sudah tiba
Kini masa orang muda ke depan
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Kami pemuda sudah bersedia
Pantang berundur mengalah jangan!
Para perwakilan yang dihormati,
40. Kini masanya sudah tiba, ini Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir, sebelum kita tempuh pilihanraya paling sengit dalam sejarah. Sekarang terbentang di depan mata, tersurat di susuk minda; dua pilihan untuk rakyat demi menentukan yang mana hak, yang mana batil; siapa layak, siapa kecundang untuk memegang tampuk pentadbiran. Antara dua pilihan masa depan, yang akan ditentukan pada piliharaya akan datang. Dan apabila kita cakap tentang pilihan, jangan tepuk dada tanya selera, itu cara lama. Kita orang bijaksana harus tepuk minda tanya hati, sebelum jari memangkah kertas undi.
41. Pilihan masa depan pertama tawaran pihak lawan, manisnya bukan kepalang. Janji populis puak Pakatan tak kenal sempadan. Masa depan yang berasaskan semuanya percuma – atau hampir percuma sungguh merdu di telinga, tapi hakikat nyata berbeza. Bermula dari penurunan harga minyak sekiranya esok mereka berkuasa, penghapusan PTPTN dengan segera, pelupusan tol jalanraya tidak semena, penurunan harga kereta, hatta pendidikan pun akan diberi semua percuma. Segalanya tampak indah bila kita hidup dalam utopia ciptaan Anwar Ibrahim. Tapi perlu diingat, tiada yang percuma dalam dunia, janji beliau bisa membankrapkan negara. Kos bagi janji mereka mencecah lebih 200 bilion ringgit dalam tahun pertama sahaja. Untuk pembangkang, samaada negara bankrap atau tidak, samaada kewangan diurusbaik atau sebaliknya, langsung tak ambil pusing, yang penting mereka hanya mahu merampas tampuk kuasa.
42. Ujian pertama bagi sebarang janji adalah penghalusannya. Dalam hal ini, untuk hebahan semua, jumlah peruntukan bagi belanjawan Kerajaan Persekutuan 2012 adalah sebanyak 232.8 bilion ringgit. Daripada jumlah tadi, janji-janji pilihanraya pembangkang sahaja, hampir mencecah 90 peratus daripada belanjawan tahunan kerajaan. Jadi jika kesemua janji mereka dipenuhi dalam tahun pertama memerintah, akibatnya,kerajaan tidak akan punya cukup wang untuk membayar gaji guru, doktor, jururawat, polis dan tentera, apatah lagi membina jalan, sekolah, hospital atau menyediakan bantuan kebajikan. Jika ini berlaku kesemua perkhidmatan penting akan terhenti dan negara akan gagal berfungsi. Jika pembangkang memutuskan untuk meminjam lebih banyak wang untuk membiayai janji-janji mereka, defisit kerajaan akan membengkak, hutang pula kian mencanak.
43. Inilah gambaran sebenar masa depan yang dilakar oleh pembangkang – gelap dan kabur dengan bayangan janji tak bertulang. Apa yang pasti, sekiranya mereka teruskan juga taburan janji mereka – negara akan bankrap dan lemas dalam hutang. Atau mungkin inilah niat mereka yang sebenar, untuk menunaikan hajat Ketua Umum yang terbantut – mengemudi negara ke lembah kehancuran sebelum diselamatkan oleh gerombolan rakan-rakannya di IMF.
44. Rakyat sudah lama cerdik lagi arif, dan kita sedia maklum bahawa pembangkang itu saudagar mimpi. Dari utara ke selatan, dari Semenanjung ke pulau Borneo, tak kenal letih, terkinja-terkinja menjaja retorik. Namun masa depan bersama kami, kemudinya berlainan. Malaysia bersama BN tidak akan ditimpa bala ekonomi seperti Greece, rakyat tidak akan terpenjara di bawah beban hutang yang mencengkam,kita tidak akan memporak-perandakan kestabilan ekonomi, bukan macam pakatan pembangkang, silap haribulan terpaksa melutut minta pinjam wang dari IMF.
45. Kalau pun bukan isu bangkrap yang jadi perhitungan, apakah sanggup kita memperjudikan nasib negara di tangan pembangkang yang tak pernah punyai rekod mentadbir negara. Ya, kita akui mereka kini mentadbir beberapa negeri, tapi kalau kita baca Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini, haru-biru ceritanya.
46. Di Selangor misalnya, apa jadi dengan Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (TAWAS) yang dicanang, digendang, gegak gempita seantero negeri? Janji untuk beri simpanan tetap 100 ringgit untuk setiap anak Selangor, ditempelak keras dalam Laporan Audit. Apa tidaknya, harapan nak ringankan beban keluarga punah berderai. Dalam 61 ribu permohonan, hanya 36 peratus sahaja diluluskan. Kalau ikut KPI saya, itu sudah gagal betul namanya. Ternyata, Tawas sudah tewas!
47. Itu belum kita jengok masalah di UNISEL. Tidak payah saya berhujah panjang, cukup sekadar mengingatkan Pakatan bahawa mengikut Laporan Audit 2008, UNISEL merekodkan keuntungan 5.97 juta ringgit, hasil warisan pentadbiran BN. Namun, selang dua tahun sahaja, segala keuntungan hangus dek kerakusan dan ketidakupayaan pembangkang – dari untung terkumpul hampir 6 juta ringgit, menjunam rugi 47.3 juta ringgit pada tahun 2010. Saya cadangkan, sebelum berjanji memberi pendidikan percuma, betulkanlah dulu kepincangan di UNISEL.
48. Itu baru laporan audit Tawas dan Unisel, janji-janji pra PRU 12, bagaimana pula?
• Mana janji pendidikan tadika percuma?
• Mana janji mencarum Takaful untuk warga emas dan si kurang upaya?
• Mana elaun ibu tunggal, sampai dah kena saman? Mana elaun khas surirumah?
• Mana janji bekalan air percuma setiap bulan tanpa syarat?
49. Itu Selangor, belum lagi kita perhalusi apa yang jadi di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Di Kelantan:
• Harapan Program Ladang Rakyat, bagi membantu golongan miskin dengan pemberian dividen dan gaji untuk peserta, punah berkecai tak kesampaian.
• Bukan sahaja gagal, malah amalkan kronisme pula. Bertempik terlolong mereka jaja kononnya kita amalkan kronisme, namun bagaikan musang berbulu ayam, dalam diam baki projek dipajak kepada syarikat kroni pilihan Kerajaan PAS sendiri, tanpa penilaian terperinci.
• Mereka bising projek Lynas dan Pengerang kerana kesannya kepada alam sekitar. Ini lah apabila gajah depan mata tak nampak, kuman seberang lautan mereka nampak. Kawasan tadahan air di Bukit Pos Pasik, tercemar akibat pembalakan melampau dan pembukaan ladang rakyat. Orang asli juga terpaksa berdepan dengan penyakit apabila air tadahan kotor berlumpur. Ini belum lagi kita cakap tentang bekalan air kotor yang terus menyeksa rakyat Kelantan.
Di Pulau Pinang:
• Sandiwara pembangkang yang kononnya menjaga rakyat, terkulai rebah dalam kes tanah Taman Manggis, tanah yang sepatutnya dibina rumah kos rendah sebaliknya dijual kepada syarikat swasta. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pemuda BN Pulau Pinang kerana telah mendedahkan penipuan Ketua Menteri dengan menyahut cabaran menyediakan wang untuk beli tanah tersebut. Tapi sehingga hari ini Lim Guan Eng diam membisu tak berani sahut cabaran, takut pecah tembelang.
Di Kedah:
• Pengurusan pentadbiran negeri Kedah lebih kecamuk, boleh buat pelaburan di luar negara tanpa kelulusan lembaga pengarah dan mendedahkan wang kerajaan negeri dalam pelaburan berisiko tinggi.
• Penyelewangan berlaku di sana-sini, termasuk dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat termiskin. Ada bukti menunjukkan kontraktor yang tak cukup syarat dilantik dan pelik bin ajaibnya pula ada bayaran untuk satu kontraktor dibayar kepada pihak lain.
• Ada kontraktor yang membuat tuntutan berulang-ulang pada kerja yang sama dan pada unit rumah yang langsung tak wujud. Ini dosa besar bila kita mencuri dari golongan miskin melalui rasuah dan sikap tidak amanah.
50. Begitulah, saudara-saudara, rencah pentabdiran Pakatan, tanah dirampas, peruntukkan digadai, alam sekitar dihina dan pengurusan kewangan cacamarba. Kalau dapat mentadbir negara, habis punah, kita semua menempah celaka. Kalau kita mahu memperbutirkan satu persatu janji populis dan kegagalan pakatan pembangkang, jawabnya sampai ke subuh kita bersidang. Cukup sekadar saya sebut, peluang mentabdir di beberapa negeri telah mereka tongsampahkan. Janji tinggal janji, tak cekap mentadbir kewangan dan negeri, pendek kata mereka memang tak mampu, tak layak memerintah negara!
Para perwakilan sekalian,
51. Bercakap atas angin itu murahan, janji sembarangan itu khayalan. Berbeza dengan masa depan yang ditawarkan oleh BN, memang pantang perjuangan kita menghancurkan negara dengan polisi populis melulu. Lantaran itu, masa depan yang kita tawarkan kepada rakyat, berasaskan transformasi yang syumul, bukan reformasi jalanan bersalut janji.
52. Kita arif benar, kelangsungan hidup bertonggakkan realiti. Masa depan yang dicorak kerajaan BN untuk rakyat, berkala di atas fakta dan penyelidikan. Wang di kantung dicongak, dihitung, sebelum menabur sebarang janji. Tidak tegar kerajaan ini meletakkan masa depan anak watan, di meja perjudian kuasa seperti pakatan pembangkang.
53. Memang sahih, kita buta hati seandainya gagal mentafsirkan 55 tahun kemerdekaan ini, sebagai bukti kewibawaan BN. Benar, memang tiada pentadbiran yang maha kamil. Namun kita akui, dalam tempoh lebih setengah abad itu, walau ada cacat cela dan kekhilafan, kepimpinan BN sahajalah yang mampu meneroka kemerdekaan, mengisi kelompongan pentadbiran, menstruktur ekonomi rakyat, mengindustrikan sektor tani, dan meneroka perkembangan alam maya. Komitmen tinggi ini diterjemahkan lagi dengan wawasan jangkauan jauh dan juga transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden sendiri.
54. Kita lihat sahaja Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Kerajaan BN membuka telinga kepada segala rintihan dan suara berat rakyat. Kos sara hidup kita tangani, rasuah kita perangi, pendidikan kita perluaskan dan kadar jenayah seluruh negara kita turunkan. Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pula melihat Malaysia menjadi sebuah oasis yang stabil dan maju dalam kancah kemelesetan ekonomi dunia. Tatkala negara lain sengsara dengan kadar pengganguran, dan harga barang yang mencanak naik, negara kita tetap utuh dengan visi ekonomi kerajaan BN. Kita tetap gah menjana ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan perniagaan, menarik masuk pelaburan dan meningkatkan perdagangan. Ini bukan bohong jajaan saudagar mimpi, inilah realiti kita hari ini dan hari esok, insya-Allah, kita akan jadi lebih bagus. Hakikatnya, pembangkang tak mampu memacu negara ke arah status negara maju berpendapatan tinggi, stabil dan menjana lebih banyak pekerjaan, menjelang tahun 2020. Mereka hanya penabur janji, sedangkan kita arkitek realiti. BN berpijak di bumi yang nyata, bukan berendoi fantasi dunia. Pokoknya, masa depan yang ada visi dan realiti, adalah masa depan dengan Barisan Nasional di sisi.
Para perwakilan sekalian,
55. Itu baru perbandingan dari sudut mentadbir ekonomi. Jelas tak terkata, masa depan bersama UMNO dan BN lebih mantap lagi terjamin. Sementara di bawah Pakatan, masa depan bakal punah dan jahanam. Bagaimana pula dengan masa depan rakyat dari sudut nilai kemasyarakatan dan maruah negara? Masih jelas dalam fikiran apabila gambar YAB Perdana Menteri dipijak, dikoyak dan ditayang bontot dengan hina. Siapa yang ajar anak muda kita berbuat demikian, kalau bukan pembangkang yang memupuk politik kebencian,di kalangan generasi muda untuk membenci pemimpin dari awal lagi?
56. Apa jadi dengan budaya muafakat dan demokrasi berparlimen yang telah lama kita amalkan? Kalau Pakatan berkuasa, Parlimen bakal jadi gajah putih kerana mereka tak percaya keluruhan undang-undang, tapi mereka sukakan rusuhan. Untuk mereka apa yang penting, jeritan siapa lebih kuat dan berapa ramai datang berdemo di jalanan. Setiap kali ada masalah, mereka desak rakyat jangan berbincang dengan kerajaan, teruskan saja berdemo di jalanan, apa yang mereka bawa hanya budaya anarki dan revolusi semata.
57. Masa depan yang beginikah kita mahu di bawah mereka? Rencam seperti inikah yang pembangkang dambakan untuk generasi baru? Apa jadi dengan nilai kita orang timur? Mana rangka pembangunan negara, mempertahan maruah bangsa? Semuanya hilang dalam rakus merebut kuasa.
58. Sejarah bukan catatan semata, sejarah adalah sempadan pengajaran yang mesti diingati. Kita bangga kerana sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin kita bersinonim dengan Merdeka, UMNO adalah pasak utama dalam menuntut kebebasan dari penjajah, dan kita semua di dewan hari ini, adalah pewaris kepada tradisi kemerdekaan itu. Tapi ada juak-juak yang tak letih mengancam kemerdekaan ini, Ketua Umum mereka kantoi besar menagih, meminta, campurtangan asing untuk pilihan raya akan datang. Ini bukan sahaja memalukan negara, malah menghina perjuangan kemerdekaan kita. Sungguh terdesak mereka hingga tergamak minta kuasa asing menentukan destinasi politik kita. Terang-terang mereka tak yakin dengan kebijaksanaan rakyat dalam menentukan pilihan, hingga sanggup mengheret orang luar untuk mengajar kita – sedangkan demokrasi kita sudah bertapak lama. Masa depan beginilah yang bakal kita hadapi di bawah Pakatan: daulat disita, maruah dihina.
59. Dan perjuangan UMNO tak pernah tersasar dari paksi dan nilai Islam, malah kita pejuang sebenar dalam soal mempertahankan maruah agama, bukan macam parti yang bernama Islam. Lidah ulama mereka jadi kelu bila orang biadap seperti Ngeh mencerca agama kita, kecut menikus tak berani bersuara bila konsep negara Islam sinis ditertawa DAP, dan bila keluar mazhab baru menggalakkan murtad, mereka terus bisu! Kalau begitulah onarnya, PAS bukan pejuang agama, sekadar menjadikan agama sebagai platform untuk agenda politik mereka. Di bawah nilai Islam yang nirmala, pimpinan tertinggi PAS sanggup mendoakan kebinasaan UMNO, kebinasaan saya dan anda semua dalam dewan ini. Kalaulah doa-doa begini diajar kepada anak-anak kita, apa nasib bangsa dan agama sekiranya mereka berkuasa? Sesiapa saja yang mereka tak suka, didoakan supaya lekas binasa. Tapi tak apa, kita bukan seperti mereka, kita sama-sama doakan agar ahli-ahli PAS selamat selamanya, dan suatu hari nanti mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi sesat di bawah ketaksuban dengan pemimpin yang gemar menyemai kebencian.
60. Bila bercakap soal berjuang untuk agama dan keadilan sejagat, UMNO sudah lama bersuara untuk rakyat Palestin, tapi puak yang sebelah sana apa cerita? Kepada penerbitan The Wall Street Journal, Ketua Umum mereka gah berkata ala juara: “I support all efforts to protect the security of the state of Israel” (“Saya menyokong segala usaha untuk mempertahankan keselamatan Negara Israel”).Tapi sekarang saat Palestin dibedil rejim Israel, orang yang sama sanggup buat pusingan U turn! Kata dia, Israel “pengganas” kerana menyerang Gaza. Sekali lagi contoh sesumpah yang menukar warna mengikut kepentingan semasa.
Para perwakilan,
61. Bagaimana pula dengan pilihan dua masa depan itu untuk orang Melayu? Sedarlah semua,hanya UMNO sahaja yang dapat mempertahankan bangsa Melayu. Ini bukan soal pilihan tetapi hakikat, kerana tidak ada parti lain yang mampu menjaga kedudukan Melayu serta Islam, selain UMNO. Jelas terbukti pakatan pembangkang langsung tidak memperakui perjuangan, serta pengorbanan orang Melayu. Di samping kita membawa gagasan inklusif di bawah 1Malaysia, perjuangan UMNO tak kan pudar, apatah lagi berundur barang setapak, dari menjadi pembela dan wadah perjuangan orang Melayu. Ternyata sudah, di kala kekalutan orang Melayu melihat PAS mengenepikan matlamat negara Islamnya, pada masa PKR sibuk dengan ehwal peribadi Ketua Umumnya, UMNO tetap tegar membawa agenda masa depan orang Melayu. UMNO payung orang Melayu, UMNO pembawa obor masa depan orang Melayu, UMNO dan Melayu kekal terpatri selamanya.
62. Kini jelas di hadapan kita, masa depan bersama BN akan menjamin Perlembagaan kekal dijulang, Raja dijunjung, Islam dimuliakan, kedaulatan negara dipertahankan dan bangsa Melayu diperkasakan. Manakala, masa depan di bawah Pakatan akan melihat negara bakal muflis, maruah bangsa dipijak-pijak, kacau bilau di mana-mana, Islam yang tidak terbela, keruntuhan akhlak dan moral, silap haribulan kemerdekaan tergadai. Di bawah muslihat Pakatan, Persekutuan Malaysia akan jadi perpecahan Malaysia. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan ideologi dan undang-undang yang berbeza. Hudud versi PAS akan mengawal hidup di Pantai Timur sekaligus menakutkan orang bukan Islam dan konsep “Malaysian Malaysia” yang meminggirkan orang Melayu akan bermaharajalela di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Manakala di negeri-negeri PKR pula, tiada apa yang suci, semuanya halal, anything goes, asalkan Anwar kekal dijulang.
63. Pakatan apa sebenarnya mereka ini? Nama saja Pakatan namun jarang sekali bersepakat, sehinggakan calon Perdana Menteri belum tentu yang mana. Siapa bakal Perdana Menteri mereka? PAS kata Hadi Awang, DAP kata Anwar Ibrahim, geng muda PKR kata bagi kepada anak Ketua Umum. Ramai lagi yang mahu jadi Perdana Menteri dalam Pakatan ini sebenarnya, namun semuanya kabur belaka. Berbeza sekali dengan BN – semuanya jelas pilihan Perdana Menteri kita hanya satu, tak lain tak bukan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Di bawah pakatan pembangkang, negara akan berpecah, perpaduan rakyat akan berpatah arang berkerat rotan! Demi bangsa yang merdeka ini, Pemuda tidak akan sesekali membenarkan negara terpisah di bawah tiga sistem berbeza, tiga falsafah hidup bertentangan dan tiga ideologi politik berasingan. Jangan digadai jerih nenek moyang menyatukan negara ini, kita tidak akan benarkan masa depan hancur di tangan mereka. Nyata, hanya satu masa depan yang akan mengekalkan kita bersama, masa depan 1Malaysia, untuk semua rakyat Malaysia, di bawah Barisan Nasional!
Sahabat sekalian,
64. Semboyan perang pilihan raya sudah bergema, bersedialah Pemuda jangan kau alpa.
Sesungguhnya sejarah itu benar;
Mahal airmata bapa kemerdekaan itu benar;
Getirnya pengorbanan bapa pembangunan itu benar;
Berlikunya jalan bapa perpaduan itu benar;
UMNO pembela bangsa Melayu itu benar;
Pemuda UMNO hulubalang bangsa itu juga benar;
Kita ambil pengajaran dari mimpi-mimpi Onn Jaafar yang hilang.
65. Dalam berahi kita membongkar helah pembangkang, jangan sekali kita lupa. Di hadapan benteng bala tentera musuh kian mara. Langkah demi langkah, mereka seret bendera dan meriam kehancuran, yang bakal meranap harmoni yang telah lama kita bina.‬

66. Sejarah dunia mengajar kita – saat-saat serupa pernah berlaku. Detik yang menentukan antara benar dan batil; antara makmur dan jahanam; antara petualang dan pahlawan! Bagi mereka yang setia, kala detik ini tiba, muncul erti sebenar perjuangan yang hakiki. Bertaruh hidup dan mati atas nama maruah dan kepercayaan.‬‬‬‬‬‬‬
67. Kita imbas saat tercetusnya Perang Dunia Kedua, sewaktu gerombolan Paksi hampir menyentuh kepulauan Britain, di kala bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churcill, menyemarak semangat juang rakyat. Detik getir antara dua kemungkinan, antara dua masa depan, antara cahaya dan kegelapan. Perwira itu tak goyah, tak gentar, malah berikrar: negaranya akan bertempur di lautan, bertempur di udara, di tepi pantai mahupun di celah jalanan. Negaranya tidak akan menyerah kalah, kendati pun dibiarkan kebuluran!
68. Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen, kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di alam siber! Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana!
69. Wahai pejuang-pejuang muda, detik penentu begini tak kerap tiba. Semboyan parti kita belum pernah menjerit selantang ini. Gemanya menyeru setiap kita, walau apa badai melanda, walau mati segala cita-cita, kita berikan segalanya di medan juang ini, hingga ke titisan darah yang terakhir! Ini ikrar kita, kita pastikan semua di luar sana tahu, pastikan sejarah tercatit, dikala seteru tiba, bala tentera Pemuda terpacak di barisan paling hadapan, sanggup berkorban, demi agama, bangsa dan negara.
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
UCAPAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
DEWAN TUN ISMAIL, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
28 NOVEMBER 2012