Menghukum pengguna internet primitif
AKSES kepada internet adalah satu keistimewaan. Akses kepada internet bukanlah satu hak. Sama seperti keistimewaan lain, ia boleh ditarik balik apabila seseorang menyalahgunakannya.
Sebagai contoh, apabila seseorang gagal menggunakan keistimewaan yang diberikan sebagai pemandu, maka lesennya boleh digantung dan dia tidak boleh memandu lagi.
Begitu juga dengan keistimewaan untuk seseorang memasuki sesebuah negara. Apabila dia didapati melakukan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh negara itu, maka keistimewaan memasuki negara tersebut ditarik balik. Dia mungkin tidak diberikan visa atau dihalang untuk masuk sewaktu tiba di sempadan.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan un tuk mengawalselia ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, dan salah satu mekanisme yang boleh digunakan ialah dengan membataskan keistimewaan kepada mereka yang gagal menggunakan sesuatu kemudahan dengan betul.
Akses kepada internet adalah satu keistimewaan.
Apabila ketua negara seperti Yang di-Pertuan Agong dihina melalui internet, maka tindakan itu sepatutnya dilihat sebagai penyalahgunaan internet dan hak keistimewaan itu ditarik balik.
Sebelum ini, kita juga melihat bagaimana simbol negara seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku dipersendakan oleh rakyat Malaysia dan mereka bebas melakukan sedemikian di media sosial.
Bukan sekadar tonggak negara diperlekehkan, malah Allah SWT dan agama Islam juga dipermainkan di internet. Ini adalah satu bentuk penghinaan yang besar dan ia dilakukan secara wewenang, tanpa segan-silu.
Singapura cuba mengawal selia internet dengan memperkenalkan undang-undang. Mana-mana laman web berita yang mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pelawat unik diwajibkan mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Media, membayar cagaran dan akur dengan arahan kerajaan untuk menarik balik mana-mana kandungan yang dibantah oleh lembaga tersebut.
Sementara kita boleh bersetuju dengan hasrat kerajaan Singapura, namun mekanisme sedemikian masih boleh dipertikaikan. Undang-undang sedia ada membolehkan kerajaan mengambil tindakan kepada penerbit laman berkenaan yang kebiasaannya merupakan sebuah organisasi perniagaan berdaftar.
Proses pendaftaran laman web seperti yang diperkenalkan di Singapura itu tidak banyak membantu melainkan ia mewujudkan satu senarai laman web untuk dipantau.
Apa yang lebih membimbangkan sekarang ialah penyalahgunaan yang dilakukan oleh orang perorangan. Individu ini berkomunikasi melalui media sosial seperti blog, Twitter dan Facebook.
Sebahagian besar rasa ketidaktenteraman ini diwujudkan oleh individu bukannya organisasi media, walaupun ia kritikan kepada sesebuah kerajaan.
Betul, negara kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk mengambil tindakan kepada individu yang melanggar undang-undang negara. Namun ada juga perbuatan yang tidak melanggar undang-undang negara tetapi boleh mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
Maki-hamun, ugutan dan penggunaan bahasa kesat di internet telah menyebabkan tekanan di kalangan pengguna. Ada orang menganggap perbuataan ini sebagai sesuatu yang cool dan menghiburkan. Akibat perbuatan sebegini, internet sudah tidak lagi menjadi satu wadah yang harmoni.
Yayasan i-SAFE melaporkan separuh remaja mengatakan mereka pernah menjadi mangsa pembuli siber manakala hampir separuh lagi mengakui mereka pernah membuli di internet.
John C. LeBlanc, profesor di Dalhousie University, Kanada menemui 41 kes remaja membunuh diri akibat pembuli siber sejak tahun 2003 dan jumlah ini semakin meningkat. American Academy of Pediatrics pula mengatakan pembuli siber adalah sebahagian risiko remaja yang menggunakan media sosial.
Apa yang disebutkan sebagai "Red Bean Army" adalah contoh pembuli siber yang mensasarkan mereka yang tidak sehaluan politik. Hal yang hampir sama berlaku dalam lain-lain bidang termasuklah hiburan, sukan dan lain-lain.
Persoalannya sekarang ialah adakah kita akan membiarkan hal ini berlaku dengan tanggapan bahawa internet adalah bebas dan kerajaan tidak boleh mengawal selia?
Tanggapan mengatakan internet adalah bebas dan tidak boleh dikawal adalah naif dan dangkal.
Akses kepada internet bukanlah satu hak. Akses kepada internet adalah satu keistimewaan dan keistimewaan ini boleh ditarik balik.
Sesiapa sahaja yang melanggan perkhidmatan internet disyaratkan untuk bersetuju dengan "Terma Penggunaan" (Terms of Use). Terma ini menggariskan bagaimana internet seharusnya digunakan.
Bagi mengukuhkan lagi Terma Pengunaan, adalah dicadangkan agar ia disertakan dengan "Polisi Pengunaan Diterima" atau "Acceptable Use Policy" (AUP). AUP menggariskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang yang mengakses penggunaan internet tersebut.
Apabila seseorang melanggar AUP, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai pengawal selia internet di negara ini boleh mengarahkan pembekal perkhidmatan internet atau "internet service provider" (ISP) untuk membatalkan langganan perkhidmatan tersebut.
Bagi maksud ini, kerajaan boleh mewujudkan sebuah tribunal di Forum Pengguna (Consumers' Forum) yang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Malah, Akta ini memberikan ruang yang besar untuk Forum Pengguna diberikan kuasa tambahan untuk memantau dan menerima aduan pengguna termasuklah dalam isu ini.
Apabila menerima aduan, tribunal ini boleh memanggil pengadu dan orang yang diadu untuk membela diri. Apabila terbukti wujud pelanggaran AUP, maka keistimewaan mengakses internet ditarik balik.
Selain individu, organisasi perniagaan atau entiti seumpamanya bertanggungjawab untuk menentukan akaun internet mereka digunakan secara yang menepati AUP. Mereka tidak boleh memberikan alasan "tidak tahu" apabila akaun internet mereka digunakan untuk tujuan yang salah.
Pendekatan ini bukan saja dilihat lebih efektif untuk mengawalselia internet tetapi juga mendidik pengguna dengan etika penggunaan yang baik.
Akhir sekali, kita tidak perlu mengikuti Singapura untuk melesenkan laman web. Kita ada cara kita untuk menyelesaikan isu yang unik di negara kita. Menarik balik keistimewaan akses internet sudah cukup untuk menghukum mereka yang primitif!
Sent from my iPhone
1 ulasan:
Denda hendaklah dinaikkan sebab bloger jahat ni diupah oleh anasir yang benci Islam. Mereka tak takut kalau setakat bawah RM 10 000. ( Hanya orang Melayu je yang takut). Biar denda fitnah kepada kerajaan melebihiRM 15 000 minima sebab ia mengkucar-kacirkan Negara, menjadikan pelabur takut, saham jatuh, mendedahkan keselamatan Negara contohnya pertahanan Negara jika didedahkan harga sebenar asset maka terdedahlah srategi perang Negara yang mana ini mahu diketahui oleh Negara lain walaupun mereka tahu melalui risikan tetapi rahsia ini selamat dari pengganas... Ini orang Pas yang bodo tu kena tahulah... Jadi hanya bloger kesayangan je yang akan dibantu oleh penaja bila kena denda yang banyak. Selain itu kenakan hukuman rotan dan penjara serentak. Walau pun tak boleh halang blogger jahat tetapi boleh menggurangkannya.
Catat Ulasan