Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

03 Mei 2009

Edisi Tertunda : Kenyataan Rasmi PERKASA !

TELEGRAM BUAT PM DARI PERKASA



KENYATAAN MEDIA
MENGENAI 3 ISU UTAMA
28.04.09

1. YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mengumumkan konsep 1 Malaysia yang mempertegaskan bukan sahaja untuk membela kaum Bumiputra (Melayu) tetapi juga untuk semua kaum Malaysia. PERKASA mendapat maklumbalas ramai rakyat termasuk kaum Bumiputra masih keliru dan bertanya apakah beza 1 Malaysia dan konsep-konsep ‘ Malaysia Malaysian ‘ yang menjadi agenda setengah pihak.

2. YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak juga mengumumkan ‘ Dasar Liberalisasi ‘ yang menghapuskan pegangan ekuiti bumiputra 30% atas alasan menarik pelaburan asing (FDI) dan memenuhi persaingan Globalisasi. Isu ini juga menimbulkan kekeliruan, kecemasan dan berbagai reaksi dari golongan umat Melayu dan Bumiputra.

3. Kabinet dibawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak juga mengumunkan keputusan ‘seseorang anak kekal agama asal‘ bilamana ibubapa memeluk agama lain walaupun berumur bawah 18 tahun. Isu ini menjadi sensitive kepada umat Islam kerana ianya ada kaitan dengan ‘ Hukum Syarak ’ dan begitu sensitif. Kenyataan Mufti Perak, Dato’ Harunsani Zakaria pada 26.4.09 dan teguran daripada Penasihat Agama M.A.I.J, Dato’ Noh Gadut, menarik perhatian Umat Islam seluruh Negara.

4. PERKASA mengambil pendirian yang amat serius dalam 3 perkara ini. Konsep 1 Malaysia apapun tidak boleh dipisah dengan Asas Perlembagaan Negara Fasal 153 termasuk ‘Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu’. Prinsip utama matlamat DEB adalah penyusunan semula masyarakat berbagai kaum terutama pembahagian ekonomi Negara atas prinsip 30, 40, 30 manakala DEB juga menetapkan program Pembasmian Kemiskinan adalah untuk semua kaum. Bagaimanakah dasar Liberalisasi dapat menjamin matlamat ini tercapai dengan memberi apa jua alasan dan harus diingatkan Fasal 153 adalah Undang-Undang dan Perlembagaan Negara yang tidak boleh dipinda dan sebarang pelanggaran terbuka, halus dan tidak dilaksanakan adalah disifatkan melakukan satu jenayah.

5. PERKASA telah mengutus surat dan menghantar telegram kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada hari ini 28.04.09 memohon Kunjungan Hormat rombongan PERKASA seramai 15 orang terdiri daripada Pimpinan PERKASA yang akan disertai oleh 2 tokoh Ekonomi, 2 tokoh Perundangan dan 2 tokoh Agama yang mempunyai kewibawaan dalam bidang masing-masing.

6. PERKASA BERHARAP YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak akan bermurah hati menerima Kunjungan Hormat rombongan PERKASA walaupun PERKASA memahami kesibukan YAB Perdana Menteri tetapi memandangkan 3 isu ini begitu penting, maka PERKASA yakin ianya akan diberi peluang secepat mungkin, kerana penjelasan lanjut serta bertukar pendapat akan membolehkan PERKASA turut memainkan peranan sebagai sebuah NGO yang mewakili kaum Pribumi yang baru sahaja selesai mengadakan Sidang Kemuncak Pribumi Negara baru-baru ini yang banyak menyentuh soal masa depan Agama Bangsa dan Negara.

7. PERKASA juga berharap YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) Menteri di JPM ( Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dapat turut bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam pertemuan yang dihasratkan oleh PERKASA ini

Terima Kasih.

Yang Benar,
DATUK IBRAHIM ALI
Presiden
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)

TELEGRAM


YAB DATO' SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri,Bangunan Perdana Putra,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,62502 Putrajaya

PERKASA dengan rendah diri memohon untuk membuat Kunjungan Hormat kepada YAB Dato’ Seri selaku Perdana Menteri Malaysia atas 3 Isu Utama bagi tujuan mendapat maklumbalas dan bertukar pendapat.. Rombongan PERKASA seramai 15 orang termasuk 2 tokoh ekonomi, 2 tokoh perundangan dan 2 tokoh agama. Surat rasmi telah menyusul dan harap mendapat persetujuan YAB Dato’ Sri.

DATO’ IBRAHIM ALI
Presiden PERKASA (012-2118004
28.04.09

28hb April 2009
P.15/09

YAB DATO' SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia
Merangkap Menteri Kewangan,Pejabat Perdana Menteri,Bangunan Perdana Putra,Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,62502 PUTRAJAYA.

MEMOHON KUNJUNGAN HORMAT ROMBONGAN PERKASA KE ATAS
YAB DATO’ SRI BAGI MENDAPATKAN PENJELASAN DAN BERTUKAR
PENDAPAT MENGENAI 3 ISU UTAMA

Perkara di atas dengan hormatnya dirujuk.
Sukacita bagi pihak Pimpinan PERKASA dengan rendah diri memohon budibicara dan jasabaik YAB Dato’ Sri bagi rombongan PERKASA membuat Kunjungan Hormat dan Pertemuan dengan YAB Dato’ Sri.
Kunjungan Hormat dan Pertemuan ini amat penting bagi PERKASA atas desakan ahli-ahli PERKASA dan orang ramai yang perihatin terhadap 3 isu utama iaitu :-

1. Konsep 1 Malaysia
2. Isu Dasar Liberalisasi (yang menyentuh kepentingan kaum Bumiputra)
3. Isu anak kekal agama asal, jika ibubapa memeluk agama lain.

Rombongan PERKASA terdiri daripada 15 orang termasuklah Pegawai Kanan PERKASA, 2 tokoh perundangan, 2 tokoh ekonomi dan 2 tokoh agama yang akan turut serta. Pihak PERKASA juga memohon YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Menteri Kewangan Ke-2, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Bin Baharom yang menjaga hal ehwal agama dan Menteri Kemajuan Luar Bandar agar dapat turut serta dalam misi mendapat penerangan lanjut mengenai isu tersebut.

2 -
Pihak PERKASA amat berharap YAB Dato’ Sri memandang positif hasrat PERKASA dalam menangani 3 isu utama ini kerana jika kefahaman tidak diuraikan dengan teliti ianya boleh menimbulkan berbagai spekulasi sensitif dan pihak PERKASA dapat turut membantu Pihak Kerajaan dalam menangani perkara ini, asalmana menepati kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.
Pihak PERKASA sangat berharap ianya dapat disegerakan dan masanya terpulanglah kepada kelapangan YAB Dato’ Sri. Jawapan segera adalah dinantikan dengan penuh harapan.
Jasabaik dan perhatian YAB Dato’ Sri amatlah diharapkan dan diucapkan ribuan terima kasih.

Yang berharap.
DATO’ IBRAHIM ALI
Presiden PERKASA
Merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas

SYED HASSAN SYED ALI

Setiausaha Agung PERKASA






Komen Saya : Jika pertemua tersebut dapat menghilangkan kerisauan bangsa Melayu maka kita patut menyokong walaupun sedar ia perlu dilakukan secara tertutup agar tidak merosakkan pandangan dan persepsi yang baru dibina bagi mengatasi langkah pengkhianat yang melaungkan slogan Malaysian Malaysia dan ketuanan Rakyat.

Jika PM tidak dapat memenuhi tuntutan dan permintaan PERKASA kita juga berharap agar wakil PM akan dapat menjelaskan dengan terperinci akan konsep dan tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri.

Sesungguhnya harapan rakyat terlalu tinggi dan harapan tersebut akan menjadi realiti satu hari nanti. Walaupun ia memerlukan kita bersabar meneliti satu persatu tindakan Kerajaan kita yang tentu sangat arif lagi bijaksana.

P/S : artikel ini sepatutnya disiarkan semalam hari Ahad tetapi masalah talian merencatkannya.Mohon maaf !

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate