2010/08/30
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman serta agama.
"Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada," kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang akan disambut esok.
Beliau berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ke arah itu, katanya, kerajaan telah memasakkan asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.
Najib berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.
"Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
"Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan," katanya.
Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.
"Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat," katanya.
Perdana Menteri berkata, setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada.
"Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang.
"Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga melibatkan pengaliran bebas modal insan," katanya.
Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.
Untuk itu, katanya, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.
Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalam mahupun luaran.
"Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi," katanya.
Beliau menyeru warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.
"Demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," katanya. - BERNAMA
Minta pandangan sahabat video sulung Panglima hasilkan sempena Merdeka kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan