Pages

17 Oktober 2010

Kenapa Rais Yatim Perlu Melenting Hingga Membuat Aduan kepada SKMM ?

Utusan Malaysia telah menyiarkan tulisan Shamsul Akmar di bawah :



Oleh Shamsul Akmar

KEPUTUSAN Datuk Seri Utama Rais Yatim membuat laporan kepada polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan diambil ke atas blogger ternama Ahiruddin Atan atau lebih dikenali sebagai Rocky's Bru, memperlihatkan kegusaran Rais.
Bukan sahaja Rocky menjadi sasaran kegusaran Rais, seorang lagi blogger Zakhir Mohamad serta pengendali blog Taikor and Taikun tidak terkecuali.

Kemarahan Rais timbul daripada laporan mereka yang menyatakan terdapat cakap-cakap yang anaknya mendapat kontrak satu projek yang dikendalikan oleh kementeriannya.

Memang Rais berhak merasa kecil hati jika laporan itu tidak benar. Ini berkaitan dengan kredibilitinya.

Tetapi cara mana marah itu mahu disalurkan juga tidak kurang pentingnya kerana Rais seorang Menteri dari UMNO dan jurublog-jurublog yang menyakitkan hatinya terdiri daripada mereka yang bersimpati dengan UMNO dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Adalah menyedihkan bagi seorang menteri yang memegang portfolio penerangan terpaksa menggunakan saluran undang-undang untuk menebus kredibilitinya, sedangkan dia diharapkan berkemampuan menangani seribu satu kecaman dan kritikan melalui saluran penerangan.

Tindakan Rais menggunakan saluran undang-undang dalam menangani kritikan atau kecaman, menimbulkan persoalan.

Yang lebih membingungkan ialah ketangkasan SKMM untuk bertindak ke atas jurublog-jurublog ini yang "kesalahan" mereka hanyalah berkongsi dengan umum tentang apa yang sedang diperkatakan mengenai anak Rais.

Apa yang ditulis oleh jurublog-jurublog itu amat mudah untuk disanggah oleh Rais sendiri. Beliau hanya perlu memperlihatkan dokumen kontrak yang dipertikaikan dan jika anaknya tidak terbabit, Rais akan keluar dengan berbau harum.

Adakah SKMM hanya akan bertindak dengan tangkas terhadap jurublog-jurublog yang selama ini mempertahankan kepentingan Melayu?

Tetapi apabila berhadapan dengan anasir-anasir perkauman seperti Namewee, Kathy Lim serta pemimpin-pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang secara terbuka memaki hamun Melayu dan menghina Islam, SKMM tidak mampu bertindak pantas dan tegas?

Apakah cuma nama Rais yang perlu dipertahankan sedangkan agama Islam, bangsa Melayu serta maruah kepimpinan UMNO boleh dihina dan dikeji sesuka hati tanpa perlu laporan polis dan tindakan daripada SKMM?

Jika ada tindakan diambil sekalipun, ia lesu dan lembab sedangkan SKMM pasti sedar bagaimana marahnya orang Melayu terhadap blog-blog serta portal berita yang saban hari menghina Melayu dan mengeji Islam, jika tidak melalui berita, melalui komen-komen yang dikeluarkan.

Kerana itu, tindakan Rais dan SKMM terhadap Rocky dan jurublog-jurublog lain di atas isu ini tidak harus berlaku. 

Bagaimanapun ia telah terjadi dan Rais serta SKMM harus mencari jalan menyelesaikannya dan menjernihkan 
kekeruhan tersebut.

Jika tidak banyak lagi 'jambatan' yang akan terbakar dan Rais tidak akan mampu memadamkannya. - Utusan Malaysia





Pandangan Panglima : Seorang Menteri tidak wajar membuat tindakan sedemikian terhadap blogger Rocky Bru yang selama ini menyokong dasar dasar baik yang dilaksanakan kerajaan.

Jika tidak blogger akan melihat kerajaan tidak menghargai jasa blogger membantu kerajaan di alam siber. Sedangkan kerajaan BN kalah teruk pada PRU 12 lepas kerana asakan hebat blogger pembangkang mempengaruhi minda rakyat.

Jangan ingat semua blogger dibayar kerana ramai di antara mereka tidak meletakkan harga untuk menulis asalkan kepentingan agama bangsa negara akan terus terpelihara.... Semangat blogger membela negara harus dihargai Kerajaan atau blogger akan mengambil tindakan tidak pro kepada dasar yang dibuat oleh pemimpin negara kita...

Menteri seperti Dr Rais Yatim perlu bijaksana dalam tindakannya sepertimana bijaksananya beliau menjawab soalan wartawan. Dan blogger hanya mendedahkan perkara yang dirasakan perlu tanpa berhasrat untuk menjatuhkan sesiapa. kecuali blogger yang sanggup menjadi 'barua' kepada pemimpin tertentu yang tak ubah seperti 'anjing liar' yang menggigit sesiapa yang diarahkan oleh tuannya tanpa sebarang soal.

Tindakan melenting akan menimbulkan persepsi tidak baik di kalangan orang awam yang melihat ia tindakan tidak bijak oleh seorang Menteri dalam kerajaan.

Ulang kembali tulisan di atas : 

Apakah cuma nama Rais yang perlu dipertahankan sedangkan agama Islam, bangsa Melayu serta maruah kepimpinan UMNO boleh dihina dan dikeji sesuka hati tanpa perlu laporan polis dan tindakan daripada SKMM?

Ini pandangan peribadi Panglima tentang isu Dr Rais Yatim 'berperang' dengan Blogger dan ia  tidak terikat oleh mana mana pandangan orang lain. Semoga ia dibaca dengan dada yang lapang tanpa prasangka.

Mengkritik kerajaan dengan bijaksana juga perlu diamalkan oleh Blogger. Bukan sembrono tanpa fakta atau bukti yang nyata. Dan kerajaan jangan mengambil pendirian bermusuh dengan para blogger yang boleh menjejaskan peluangnya mendekati dan meraih sokongan pengundi muda di alam siber.

Wallahu A'lam.

1 ulasan:

  1. Salam.Pemimpin pemimpin UMNO mana ada batu nak ambik tindakan kat bangsa lain.Depa berani dengan orang melayu aje.Namawee yang lebih teruk mengutuk tu tak ada pemimpin yang berani ambik tindakan pulak? apalah punya bacul pemimpin kita sekarang ni

    BalasPadam

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.