Angka 16 sekali lagi menjadi angka hitam kepada Anwar, sebelum ini pada 16 September 2008, beliau sibuk mencanangkan bahawa kerajaan sedia ada di Malaysia akan runtuh dan diganti dengan kerajaan baru pimpinannya.
Minggu lepas sewaktu kempen pilihanraya Sarawak hangat berlaku Anwar juga cuba menjanjikan perkara sama dan dicanangkan Sarawak akan dimiliki oleh beliau, namun sebaliknya berlaku dan adalah jelas 16 April menjadi detik ngeri kepada dirinya hingga terpaksa melarikan diri ke London.
Rakyat Sarawak khususnya masyarakat Islam telah membuat keputusan tepat dengan menolak Anwar Ibrahim dan segala janji manisnya, PAS yang sebelumnya yakin akan memperolehi anak sulung di kerusi Beting Maro pun terlepas gara-gara penangan Anwar Ibrahim.
Sepanjang pilihanraya penulis berkesempatan mengikuti program Anwar Ibrahim di beberapa tempat terutama program melibatkan kawasan Bumiputera Islam.
Anwar dikatakan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk memastikan pelan menguasai Sarawak berjaya, dikatakan hampir sejuta diperuntukkan Anwar untuk setiap DUN yang ditandingi PKR.
Penulis tiba di Sarawak beberapa hari sebelum proses penamaan pilihanraya berlangsung. Di peringkat awal tinjauan rambang mendapati, Anwar dan PKR berada dalam keadaan cukup selesa untuk membuat kejutan disebabkan beberapa isu setempat dan masalah dalaman pesaing kepada PKR.
Gerak kerja PKR seolah-olah sudah lama dipersiapkan, segala poster, bahan risalah, billboard dan bendera jelas begitu menarik berbanding pesaing dan ia seakan-akan sama penemuan sebelum ini yang menyatakan ada badan luar yang membantu PKR dalam melatih gerak kerja pilihanraya. ( rujuk artikel di AIDC).
Setelah beberapa hari proses berkempen, jentera kempen Anwar memang mengkagumkan dan sukar ditandingi, dengan jumlah kehadiran bilangan yang tinggi di kawasan perbandaran sama ada komuniti Cina atau Melayu, ia telah dijadikan indikator oleh Anwar dan penyokongnya bahawa Sarawak akan tumbang atau sekurang-kurangnya dapat memecahbelahkan majoriti 2/3 kerajaan sedia ada.
Hari-hari terakhir sebelum pengundian Anwar seakan-akan lipas kudung bergerak dari satu DUN ke satu DUN menyampaikan ceramah dan menemui pengundi. Sehingga terkeluar usikan nakal rakan-rakan dari Sarawak, Anwar umpama jembalang kerana ada di merata tempat.
14 April 2011 dari DUN Asajaya, Anwar bergerak hingga ke DUN Pantai Damai berjumpa pengundi. Di Bandar Baru Semariang ribuan orang ramai berhimpun di tapak ceramah PKR, suasana tersebut menurut temubual penulis dengan orang tempatan adalah cukup luar biasa.
Yaokob Sapari, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Azmin Ali turut melontarkan pandangan untuk meraih sokongan, manakala Wan Azizah hadir dengan mesej untuk menyatakan bahawa beliau dan Anwar Ibrahim tiada masalah. Tiada pergeseran atau perbalahan seperti yang disangka orang ramai.
Namun dapatan penulis mendapati banyak penyokong PKR yang hadir amat mengharapkan Anwar memberi penjelasan berkenaan isu skandal video seks, namun ramai yang hampa apabila Anwar sebaliknya lebih berminat bercakap mengenai isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Waleed Al Kurd, dan Azmin Ali pun melontarkan perkara yang sama seolah-olah sudah tiada isu lain yang boleh diutarakan (mungkin irihati dengan kemampuan Taib Mahmud memiliki wanita muda kelahiran Lubnan tersebut).
Anwar pada majlis tersebut juga menyeru orang Sarawak agar mengundi PKR dan menyokong Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri. Baru Bian diumpamakan Anwar seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Anwar pernah memberi gelaran yang sama kepada Lim Guan Eng dan Anwar seolah-olah yakin momentum kemenangan PKR sewaktu itu cukup kuat.
Sehari sebelum pengundian, 15 April, penulis bergerak menuju ke kawasan Daerah mengundi Telaga Air, satu kawasan yang sebelum ini dimenangi PKR. Beberapa pengundi yang ditemui penulis mengaku, penyokong kepada PKR/PAS yang turut serta mengikuti ceramah Anwar pada malam sebelumnya di Bandar Baru Semariang ralat dengan kandungan ceramah Anwar pada malam tersebut.
Anwar menolak untuk menyentuh isu video seks yang dikaitkan dengannya, sebaliknya hanya mencari keburukan pimpinan parti lain.
Malah tindakan Tuan Ibrahim Tuan Man yang membela Anwar Ibrahim dalam isu video seks turut dikritik kerana pada pandangan mereka, bagaimana seorang Naib Presiden PAS boleh membela Ketua Umum PKR sedangkan Anwar sendiri enggan mengulas isu tersebut.
Sementara itu, di kawasan DUN Batu Lintang, Batu Kawa dan Padungan yang kesemuanya merupakan kawasan majoriti Cina, pengaruh Anwar tidaklah hebat sebagaimana digembar–gemburkan, sebaliknya pengaruh DAP lebih dominan.
Seorang peniaga di Sarawak Plaza berkata kepada penulis, secara jujur bahawa Ketua Menteri Sarawak sekarang agak susah hendak dipegang orang Cina (dikontrol) berbanding dengan Anwar Ibrahim yang dilihat terbuka dengan orang Cina dan beliau mengharapkan Anwar berjaya mempengaruhi orang Melayu Bumiputera menyokong pembangkang untuk membentuk kerajaan baru di Sarawak.
Setelah pengundian dijalankan pada 16 April, lewat petangya, bibit-bibit kekalahan Anwar seakan-akan sudah jelas.
Bermula dengan kekecohan yang sengaja dicetuskan oleh AMK di kawasan Satok.
Kerusi-kerusi yang dikunjungi Anwar hampir kesemuanya kalah, termasuk kerusi-kerusi yang hampir dengan ceramah Anwar pada 14 April iaitu Pantai Damai, Samariang dan Tupong.
Di kawasan itu, kemenangan BN lebih besar dari majoriti pada tahun 2006, malah yang lebih mengejutkan daerah mengundi Telaga Air yang sebelum ini kubu kuat PKR merudum dengan begitu teruk. Undi yang diperolehi PKR hanya 97 undi sahaja.
Sehari selepas mengundi penulis sekali lagi turun ke kawasan yang dimenangi BN dengan undian yang lebih besar seperti Pantai Damai, Tupong dan Samariang.
Majoriti penduduk yang ditemui menyatakan mereka tidak sanggup menyokong Anwar dan PKR kerana janji yang dihamburkan terlalu tinggi dan mustahil parti tersebut boleh melaksanakan sekiranya PKR menang.
Gelaran Anwar kepada Baru Bian sebagai Umar Abdul Aziz juga jelas ditolak oleh pengundi Islam di kawasan itu, kerana menurut mereka, mana mungkin seorang pemimpin agung Islam boleh disamakan dengan pemimpin bukan Islam.
Satu lagi perkara menarik adalah peranan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi penjelasan di Kg Tupo Ulu dengan hadirin yang menyamai jumlah audiens ceramah PKR yang terletak berhampiran dengan lokasi ceramah Anwar sebelumnya.
Dan didapati program bersama Tun tersebut jelas memberi impak yang cukup besar untuk menutup segala pembohongan Anwar dalam ceramah sebelum ini.
Anwar mungkin lupa, sehebat mana pun kuasa duit dan sokongan luar diperolehi untuk tumbangkan kerajaan sedia ada, namun sekiranya niat yang dilakukanya adalah bersalahan dengan kehendak umat Islam, mungkin faktor itulah yang memberi padah kepadanya.
Lagak Anwar seperti tentera Abrahah yang ingin menakluk Kota Mekah seolah-olah tidak direstui oleh Maha Pencipta.
sumber : http://www.anwaraidc.com/?p=9923
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.