Pages

22 Mei 2011

Artikel Panglima Di Utusan Malaysia Jumaat Lepas


Semasa pertandingan badminton semalam ada seorang memberitahu artikel Panglima dikeluarkan dalam Utusan Malaysia. Lantas apabila pulang terus dicari dan akhirnya bertemu jua artikel yang dimaksudkan. Ini kerana kadangkala kita tidak sempat membelek satu persatu berita ekoran kesibukan mengemaskini blog dan facebook di alam maya.

Ini satu lagi penghormatan oleh sebuah Akhbar Keramat kepada blogger seperti Panglima. Mereka telah mengangkat tulisan kami dan memberi kredit kepada blog kami yang tidak seberapa ini. Atas sedikit sokongan melalui tulisan kami yang menyokong Akhbar Keramat Utusan Malaysia.


Syukur atas penghargaan tersebut dan semoga makin ramai lagi akan bersama menyokong Utusan Malaysia sebagai suara kita orang Melayu beragama Islam yang tidak rela agama bangsa dan negaranya diancam oleh sesiapa.

Artikel tersebut diselia oleh Lukman Ismail disiarkan Jumaat 20 Mei 2011 seperti di bawah :


ARKIB : 20/05/2011

AMK, demo anti-Utusan



"TINDAKAN mahu menguburkan Utusan Malaysia adalah tindakan mahu membisukan suara orang Melayu. "Cukuplah kita kehilangan satu persatu suara kita tetapi jangan sampai suara ini pun tenggelam lantaran kesombongan mereka yang tidak sedar diri."

Itulah yang ditulis oleh blog Panglima Perang Cyber (penembak-tepat.blogspot.com) ketika menyentuh mengenai usaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang bercadang mengadakan demonstrasi anti-Utusan di hadapan ibu pejabat penerbit akhbar itu hari ini.

Blog ini berkata: "Ayuh kita pertahankan Utusan Melayu dan tunjukkan kesatuan kita membela akhbar ini... berbanding dengan Suara Keadilan dan Harakah -- kita lebih kenal siapa yang menipu dan siapa yang mahu memberitahu perkara yang benar tanpa memihak kepada sesiapa.

"Jangan biarkan mereka menunjukkan kekuatan tanpa kita menentang dengan kekuatan yang kita ada," katanya.

Blog itu berkata, seruan tersebut bukan untuk mengajak orang ramai "berperang" atau "berparang" sesama sendiri tetapi sebagai peringatan agar jangan sampai terlalu taksub kepada ketua sehingga sanggup menggadai kepentingan bangsa dan agama.

House PK (parpukari.blogspot.com) pula menganggap usaha yang dilakukan oleh AMK sebagai tindakan biadap untuk memusnahkan satu-satunya akhbar yang memperjuangkan bangsa dan menjadi suara orang Melayu.

"Utusan milik Melayu, suara Melayu dan satu-satunya media yang bela Melayu. Ayuh korban sedikit masa demi perjuangan... Kita berhimpun hanya untuk mempertahankan undang-undang," kata blog ini yang memetik kenyataan Ketua Wira Pusat, Irwan Fahmi.

Beberapa blog seperti Kita Gempur (www.kitagempur.com)Keris Putera(kerisputera.blogspot.com) dan Gerakan Anti-PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula memetik kenyataan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

Mereka berkata, tindakan Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Ketua AMK) itu adalah satu lagi usaha mereka untuk mengancam ketenteraman awam serta mahu mengalih pandangan rakyat terhadap kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping isu video seks mirip Ketua Pembangkang itu.

"GAPS percaya kebebasan akhbar merupakan perkara wajib yang perlu dipertahankan oleh setiap warga negara.

"Setiap media perlu bertanggungjawab atas setiap laporan dan atau batas undang-undang akan mengambil remedi jikalau laporan ini palsu, fitnah, hasutan atau mengancam keselamatan negara," kata blog ini memetik kenyataan Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin.

Kata beliau, sebagai sebuah akhbar yang berpengaruh di kalangan orang Melayu, Utusan Malaysia selama ini telah membuat laporan-laporan yang tepat termasuk mengenai pelbagai polemik yang melanda Anwar dan kemelut yang dihadapi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).


"Pun begitu bagi menghormati AMK yang mahu mengadakan demonstrasi, GAPS juga akan berbuat demikian bagi mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini," katanya.


Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) pula menganggap Shamsul Iskandar sudah kehabisan modal untuk mempertahankan ketuanya yang kini berdepan dengan pelbagai kemelut peribadi sehingga terpaksa "menyerang" Utusan pula.


Blog ini berkata, para petugas Utusan dikatakan akan menyambut baik kedatangan para pendemonstrasi ini dan bersedia memberikan "layanan istimewa" kepada kumpulan terbabit.


"Mereka akan diberikan layanan istimewa termasuk disediakan air mineral percuma. Maklum, dah kering tekak kerana menjerit, melolong di tengah panas dan laluan berdebu di Jalan Lima, tentu mereka semua haus dan dahaga," kata blog ini yang memetik kenyataan seorang rakan dari Utusan.


Bagaimanapun, katanya, kehadiran para penunjuk perasaan itu akan membuatkan Jalan Lima " "tersumbat habis" memandangkan pada masa kini pun keadaan jalan itu sudah sesak teruk akibat kenderaan petugas yang terpaksa diletakkan secara berlapis-lapis di bahu jalan ekoran ketiadaan tempat letak kereta.


Papa Gomo (www.papagomo.com) pula menganggap "pertembungan" tiga kumpulan iaitu AMK, NGO dan UMNO di Jalan Chan Sow Lin bakal menjadi persoalan sama ada sebagai titik perpaduan orang Melayu atau sebaliknya.


"Gomo tertarik untuk mengimbas semula kejadian yang berlaku di Perak yang mana kita sendiri dapat lihat apabila jatuhnya kerajaan boneka Pas yang ditaja DAP, yang berguling di atas jalan adalah orang Melayu manakala kaum lain hanya berpeluk tubuh sambil ketawa melihat kebodohan orang Melayu.


"Sama-samalah kita mendoakan agar pada hari Jumaat (hari ini) pertembungan tiga penjuru yang menggabungkan AMK, UMNO dan NGO akan menjadi titik perpaduan kepada orang Melayu," katanya.




http://www.utusan.com.my/ 

2 ulasan:

  1. Apabila pandangan kita bernas orang akan terima.

    BalasPadam
  2. syabas dan tahniah kpd blogger yang artikel mereka diangkat oleh akhbar keramat Utusan Malaysia terutama sekali blogger Panglima Perang Siber.... teruskan perjuangan murni ini demi kesinambungan perjuangan Melayu yang belom selesai...

    BalasPadam

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.