Kematiaan yang berpunca dari serangan jantung menyebabkan seorang rakyat kita berusia 42 tahun telah meninggal ketika berada di kedai makan.
Baca tragedi tersebut sambil kita juga sentiasa berdoa agar meninggal dalam keadaan yang baik dan sudah sedia menemui Allah bukan secara tiba-tiba.
Al Fatihah kepada Arwah Ahmad Fauzi Ismail atas pemergian beliau dan jutaan takziah kepada keluarganya atas kehilangan seorang anak yang sangat baik yang berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang sakit tiga tahun lepas.
Balasan syurga sudah tentu kepada anak yang soleh seperti beliau.
Semoga Harimau Muda akan menang menentang Syria sebentar nanti.
YAN - Seorang penyokong pasukan bola sepak negara diserang sakit jantung ketika menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan di sini, kelmarin, dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan.
Ahmad Fauzi Ismail, 42, menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea ke-26 antara pasukan negara menentang Indonesia di sebuah kedai makan di sini, sebelum pengsan.
Pembantu kedai, Hasli Ishak, 29, berkata, Ahmad Fauzi yang juga pelanggan tetap kedai itu datang ke kedai bersama rakan-rakannya untuk menonton perlawanan bola sepak kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
"Saya terkejut apabila mendapati arwah tiba-tiba pengsan atas kerusi dan tubuhnya kelihatan pucat kira-kira jam 10.50 malam ketika makan nasi yang dipesan.
"Kami kemudiannya menghubungi ambulans dan arwah dibawa ke Hospital Yan," katanya.
Kakak iparnya, Nafishah Jusoh, 46, berkata, arwah adalah penyokong setia bola sepak negara dan tidak pernah melepaskan peluang menonton perlawanan bola sepak.
Menurutnya, arwah menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tinggal seorang diri di Kampung Kolam sejak ibunya meninggal dunia dua tahun lalu.
"Saya difahamkan arwah keluar ke kedai yang terletak satu kilometer dari rumah bersama rakannya untuk menonton perlawanan bola sepak.
"Pada jam lebih kurang 11.30 malam, saya menerima panggilan daripada abang ipar, Ahmad Yusri yang tinggal di Kuala Lumpur yang telah dimaklumkan mengenai kematian arwah oleh rakannya.
"Saya kemudiannya pergi ke Hospital Yan untuk menuntut mayat arwah dan dibawa pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Kolam, di sini, kelmarin.
Nafishah berkata, dia dimaklumkan arwah pengsan di kedai makan itu sebelum dibawa ambulans ke Hospital Yan namun Ahmad Fauzi dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat serangan jantung.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Ahmad Fauzi jam 11 pagi pada hari kejadian ketika berkunjung ke rumahnya, namun dia tidak menunjukkan perubahan cuma kedua belah kakinya bengkak.
"Arwah mengajak saya ke hospital kerana dia mengadu sering letih, tetapi dia membatalkan hasratnya kerana ingin menonton perlawanan bola sepak terlebih dahulu pada sebelah malam sebelum mahu mengajak rakannya ke hospital selepas perlawanan itu untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Ahmad Fauzi, yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik belum berkahwin dan pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi sebelum berhenti kerja untuk menjaga arwah ibunya yang sakit tiga tahun lalu.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam.
Sumber : Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/sakit-jantung-masa-tengok-bola-1.7369
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.