Drama yang dicetus oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi di atas bertujuan untuk menarik minat rakyat khasnya golongan muda untuk menyertai ATM.
Drama 'Beret Hijau' yang membabitkan 200 komando menelan belanja RM500,000 telah ditayangkan setiap Rabu di RTM1.
Usaha ini sangat wajar terutama bagi menarik kaum China dan India yang masih kurang dalam ATM.
Berita lengkap pelancarannya :
Pelancaran Beret Hijau gempar!
SUASANA tenang di depan sebuah restoran gempar apabila beberapa anggota komando kelihatan bertempur hebat dengan sekumpulan lelaki, baru-baru ini.
Suasana jadi kalut apabila mereka bertempur dengan bersenjatakan parang, pisau, kapak, jubin dan belati dalam usaha merampas satu beg yang berisi dokumen yang sangat-sangat dikehendaki.
Lebih serius, suasana tegang itu terus berlarutan apabila sekumpulan lelaki bermotosikal besar datang untuk membantu tetapi kecekapan beberapa komando dengan 'scrambler' lengkap bersenjata, tiba-tiba muncul lalu berjaya mengusir lelaki yang disyaki penjahat. Apabila keadaan reda, barulah ramai yang terpinga-pinga tadi sedar bahawa ia adalah gimik yang dipertontonkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Sri Zulkifli Mohd Zin, sempena pelancaran drama bersiri terbaru, Beret Hijau, terbitan Global Network.
Acara itu berlangsung di Bidor Station Kopitiam, Taman Sri Taming, Cheras, Khamis lalu.
Dokumen yang mahu diselamatkan komando terbabit, 21 Gerup Gerak Khas, sebenarnya berupa skrip drama 13 episod itu yang diserahkan kepada Zahid. Beliau kemudian menyerahkannya kepada Zulkifli sebagai tanda perasmian pelancaran penggambaran drama aksi itu. Drama arahan Along Kamaluddin itu dijadual memulakan penggambaran di sekitar Lembah Klang sebelum beralih ke Kem Sungai Udang, Melaka, minggu depan.
Ia dibintangi barisan pelakon Iqbal Pilih Kasih sebagai Haziq, Azie Yahya (Sarjan Aishah), Chomell Fana (Amirah), Hasnul Rahmat (Soleh), Aman Graseka (Abu Farsi) dan Kuswadinata (Pak Ali). Pengarah Urusan Global Network Entertainment Sdn Bhd, Den Wahab, berkata, idea serta sokongan menerbitkan drama berkenaan dicetuskan Menteri Pertahanan sendiri.
"Pertama kali Datuk Seri Zahid mengetengahkan cetusan idea drama bersiri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perkara pertama datang dalam fikiran adalah kesukaran menerbitkannya. "Ini kerana ia sesuatu yang tidak pernah dibuat, besar dan memerlukan perbelanjaan tinggi, peralatan serta bahan letupan tidak boleh didapati di mana-mana. Apatah lagi, komando satu nama yang besar, jadi saya agak bimbang kalau-kalau tidak dapat mengangkat ia ke tahap sepatutnya. "Apapun berbekalkan keyakinan dan sokongan banyak pihak, cabaran ini disahut. Kami perlu mengendalikan kru yang besar, seramai 200 orang.
"Penceritaan siri ini berkisar mengenai isu semasa yang ada kaitan dengan soal menjaga keamanan dan menangani ancaman pengganas. Ia bukan kisah lampau yang diperbaharui atau diceduk. "Selain itu, drama bertujuan menarik minat golongan remaja yang suka lumba motosikal haram, berpeleseran atau terbabit dalam aktiviti tidak sihat. "Beret Hijau membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar kalau memilih profesion ketenteraan selepas tamat sekolah," katanya. Iqbal, 22, pula berkata, tawaran lakonan drama bersiri dengan watak Haziq membuatkan dia banyak berlatih dan hilang 12 kilogram dalam masa sebulan.
"Terkejut apabila pengarah Along beritahu, dia ada skrip untuk saya. Selepas melihatnya, dia bertanya sama ada saya boleh buat dan saya tidak menolak lagi kerana peluang sebegitu datang sekali seumur hidup. "Lebih menarik, rambut saya sekarang akan dipotong pendek oleh anggota tentera apabila babak penggambaran di Kem Sungai Udang. "Graf lakonan dalam Beret Hijau ada peningkatan kerana Haziq bermula daripada seorang budak kampung dan akhirnya menjadi anggota komando terlatih. Dalam kem latihan komando juga, Haziq bertemu musuh lamanya, Kamil lakonan Lan Mazlan," katanya yang turut membintangi telemovie Lilin Yang Terbiar dan Sirah Cinta dan sedang menunggu dua filem lakonannya, Abuya dan Apa-Apa Tengok ditayangkan.
Azie, 25, memegang peranan sebagai komando perubatan yang bertugas merawat tentera tercedera dalam pertempuran.
"Tidak pernah saya lakon watak ini. Dulu saya pernah jadi saintis dalam drama bersiri Kapten Kit. Saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan latihan sejak beberapa hari lalu. "Lakonan Beret Hijau turut diselit babak jatuh hati dengan Haziq dan didenda pegawai kerana melanggar peraturan," katanya. Dalam ucapannya, Zahid berkata, penerbitan Beret Hijau adalah satu penjenamaan semula ATM dengan cara lebih teratur dan strategik.
"Salah satu penjenamaan adalah melalui pendedahan meluas ATM ke mata rakyat melalui media massa seperti iklan, dokumentari, drama dan filem. Ini bagi menaikkan lagi imej tentera kita agar lebih terbilang," katanya.
Drama boleh ditonton di Youtube :
<iframe width="420" height="315" src="http://www.youtube.com/embed/IcB5CDhvR98" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>
Sumber berita :
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelancaranBeretHijaugempar_/Article/index_html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.