Pages

15 Februari 2012

Dr Ridhuan Tee 'Ketawa Beruk' Isu Sampul Putih Perkasa Sambil Bidas DAP & MCA cc @NajibRazak @anwaribrahim @limkitsiang


(Sinar Harian 13 Feb 2012)

Tahun Baru Cina yang telah berakhir minggu lalu, mungkin telah meninggalkan ‘kenangan pahit’ buat pertubuhan Perkasa pimpinan Dato’ Ibrahim Ali. Niat murni mereka mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina telah dipertikaikan dan dipolitikkan. Isu warna paket wang yang diistilah sebagai angpau putih atau lebih tepat disebut, pekkim (paket putih) yang diedarkan ketika mengadakan Rumah Terbuka tersebut, diperbesarkan segelintir orang hina sehingga menjadi masalah negara. Wal hal sebenarnya isu ini amatlah kecil. Tindakan yang jika disengajakan pun, saya tidak nampak di manakah salahnya? Isu hanya berligar di sekitar warna. 

Sedangkan niat murni mereka mengadakan majlis tersebut dan niat bersedekah, memberikan wang menggunakan ‘angpau putih’ tersebut angsung tidak dihargai. Saya masih tercari-cari di manakah angpau putih yang dimaksudkan itu, kerana ia tidak wujud dalam erti kata sebenar? Angpau bermakna paket merah, manakala pekpau (pekkim) adalah paket putih, jika digabung dua istilah ini sebagaimana yang dipolitikkan bermakna angpau putih, iaitu paket merah putih. Di manakah paket itu sebenarnya? Rata-rata yang diedarkan adalah paket putih, tidak ada paket merah putih. 

Bagi saya yang memahami bahasa Cina, isu ini amat meloyakan dan saya hanya ketawa beruk membacanya. Apa yang jelas, Perkasa sudah terperangkap dalam permainan politik licik ultra kiasu, melalui permohonan maaf terpaksa dilakukan. Saya harap Perkasa lebih berhati-hati pada masa hadapan. Jangan terlalu cepat melatah. Apapun saya tabik kepada Perkasa, sekalipun tidak bersalah tetapi masih memohon maaf. Ini kerja mulia dan budaya yang saya sanjungi. 

Bukan seperti ultra kiasu, sah-sah melakukan kesalahan menyinggung dan menghina agama Islam dan raja-raja Melayu, tetapi langsung tidak mahu meminta maaf, malah bongkak dan sombong. Sudahlah begitu, ada yang tidak segan silu meminta anugerah ini dan itu, serta darjah kebesaran dari raja-raja Melayu. 

Putih tidaklah melambangkan kesedihan dalam konteks sebenarnya. Jika begitulah keadaan, sudah tentu majlis perkahwinan orang Cina penuh dengan pakaian warna merah, terutama pengantinnya seperti zaman dahulu. Persoalan saya, kenapa sekarang pengantin Cina tidak berpakaian merah ketika hari yang amat bermakna itu? Boleh dikatakan semua pengantin Cina memakai pakaian putih (gaun perempuan) dan hitam (blazer lelaki). Tidakkah itu pakaian berkabung? Kenapa tidak dipertikaikan? Jawapannya mudah, apabila sesuatu itu datang dari barat atau yang melakukannya adalah orang barat, semuanya dianggap baik belaka, walaupun bertentangan dengan budaya sendiri. Tetapi apabila tiba orang Melayu yang melakukannya, bertentangan sedikit dengan cara hidup mereka, semuanya sensitif dan mula diperbesar-besarkan. Politik kurang ajar apakah ini? Kaduk sudah naik junjung, kita terlampau memberi muka kerana undi dan pilihan raya. 

Sebagai seorang yang biasa dengan budaya Melayu, sepanjang pengetahuan saya, orang Melayu hanya tahu adat budaya Cina yang bersifat umum sahaja. Misalnya warna merah sebagai tanda kegembiraan. Maka sesuai dipakai ketika Tahun Baru Cina dan tidak sesuai menghadiri upacara kematian. Manakala, warna putih pula adalah warna yang universal, boleh masuk dalam semua majlis. Setakat itulah yang saya boleh baca dalam pemikiran Ibrahim Ali. Putih itu bersih, indah dan menawan. Manalah tahu tiba-tiba dipolitikkan. 

Lagipun jika berlakupun kejahilan dalam memahami cara hidup bangsa lain, itu adalah perkara biasa. Adalah tidak menghairankan jika orang Melayu tidak dapat memahami sepenuhnya budaya bangsa minoriti, berbanding dengan bangsa minoriti yang sepatutnya memahami budaya bangsa majoriti, kerana adalah perkara biasa jika budaya majoriti lebih tertonjol berbanding minoriti. 

Saya yakin masih ramai di luar sana yang tidak memahami budaya Melayu atau Islam. Misalnya, datang ke rumah orang Islam, menghadiri upacara kematian dan masuk masjid dengan pakaian menjolok mata, seluar dan skirt pendek yang menggiurkan. Tetapi umat Islam tidak bising kerana mereka mengakui dan menginsafi kejahilan orang lain. Memaafkan mereka adalah kerja mulia. Kalau adapun kes-kes yang berlaku, tidaklah diperbesarkan sehingga menjadi masalah negara. Inilah sikap orang Melayu yang saya puji yang sukar untuk dicari dalam bangsa lain. 

Jika paket putih itu yang menjadi masalah, sepatutnya orang Cina yang hadir itulah bising. Mungkin sampai ke peringkat memulangkan semula wang dalam paket putih tersebut. Ini tidak, paket putih tetap diambil, sebab yang penting dan berharga bukan paket tersebut tetapi wang yang terkandung. Lagipun paket putih yang paling murah harganya berbanding paket berwarna. Persoalan saya, apakah mungkin timbul isu jika paket tersebut berwarna hijau? Warna hijau juga dikaitkan dengan kesedihan dalam budaya Cina?

Menurut feng shui, sebenarnya warna putih itu melambangkan kemuliaan, kesucian dan kebersihan. Putih selalu dikaitkan dengan logam dan warna keemasan. Justeru, saya amat pelik, kenapa ultra kiasu, termasuk MCA pun turut terikut-ikut rentak ultra kiasu menyerang Ibrahim Ali. Jika mereka manusia berperasaan, sepatutnya mereka memuji Perkasa yang selama ini menunjukkan sikap seolah-olah ‘anti Cina’, walau hakikat sebenarnya tidak. Hanya kerana warna paket wang, maka Perkasa dijadikan objek cacian dan makian. Adakah pemikiran pandir ultra kiasu ini wajar?

Hina sungguh politik pembangkang dan ultra kiasu hari ini. Kalau ya pun hendak menguasai Putrajaya, berpolitiklah secara gentlemen, bukannya menjadi pondan. Parti PAS pun sama, turut menempelak Perkasa. PAS hari ini sudah begitu jauh berubah berbanding dahulu. PAS nampak begitu fleksibel dan terbuka. Dahulu, segala apa yang berkaitan dengan budaya Cina, PAS begitu elergi dan amat berhati-hati. Hari ini, bukan sahaja mereka gemar dan suka dengan tarian singa, naga dan angpau, kalau boleh dengan singa-singa dan naga-naga itu mahu dibawa tidur. Janganlah terlalu over dalam isu-isu sebegini. Tidak semua perayaan atau perkara yang dipraktikkan oleh orang Cina ketika Tahun Baru Cina itu bersifat budaya. 

Ada juga perkara yang dikaitkan dengan agama. Berhati-hatilah dengan simbol dan objek tertentu kerana ia ada kaitannya dengan unsur penyembahan. Sebagai orang Cina, saya pun menyambut tahun baru Cina, tetapi saya menjaga batas-batasnya. Ini tidak, saya lihat pemimpin ultra kiasu beragama Islam pun begitu ghairah menyambutnya. 

Saya tidak bercadang membela Perkasa, tetapi mengambil sikap bersangka baik daripada bermain politik jijik dan kotor. Warna tidak melambangkan apa-apa. Putih, hitam, merah, hijau, biru dan lain-lain, semua datangnya dari Allah. Adalah salah jika kita kaitkan warna dengan identiti seseorang. Warna putih dan hijau tidak semestinya bersih, jika hati hitam legam. 

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia 





Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.