Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

30 Mac 2012

Dr Asyraf Wajdi Menulis Ulasan Pengharama FOREX Oleh Majlis Fatwa Kebangsaan cc @NajibRazak





Alhamdulillah, akhirnya Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Kota Bharu Kelantan semalam telah memutuskan bahawa HARAM hukumnya bagi umat Islam melibatkan diri dalam kegiatan perdagangan mata-wang asing atau FOREX khususnya yang dilakukan secara individu melalui platform elekronik atau internet (Fatwa ini tidak merujuk kepada transaksi FOREX yang dilakukan di institusi-institusi kewangan Islam). Walaupun belum ada perincian alasan-alasan dan hujah-hujah yang mendasari fatwa yang dikemukakan itu, bagi saya ia merupakan keputusan yang tepat. Kami di ISRA (Akademi Antarabangsa Penyelidikan Syariah Dalam Kewangan Islam) telah mengenal pasti beberapa isu Syariah yang timbul melalui urusniaga FOREX di internet. Di sini saya kongsikan sebahagian isu-isu Syariah penting berdasarkan penyelidikan terperinci termasuk siri-siri temuramah dengan mereka yang terlibat secara langsung samaada yang menyediakan platform perdagangan FOREX di i nternet, broker, dealer, mahupun pelabur-pelabur tegar di kalangan orang awam:



1. Isu Leverage

Dalam urusniaga FOREX, sudah menjadi kebiasaan broker memberikan kemudahan pinjaman dalam bentuk leverage sebanyak 100:1. Sebagai contoh, jika pelabur ingin membuka posisi (open position) bernilai USD1000, dia hanya perlu menyediakan modal sebanyak USD10 dan baki USD990 diberikan kemudahan oleh broker dalam bentuk pinjaman. Dalam konteks ini, beberapa isu Syariah timbul, antaranya:



1.1. Penggabungan antara Akad Bai' (Jualbeli) dengan Qard (pinjaman)

Sebagaimana yang dimaklumi jual beli matawang atau disebut dalam istilah fekah sebagai Bai' al-Sarf dibenarkan mengikut peraturan dan syarat-syarat tertentu. Walaubagaimanapun, dalam urusniaga FOREX ini, wujud penggabungan diantara akad jual beli matawang (Bai' al-Sarf) dengan Qard (pinjaman). Qard disini merujuk kepada kemudahan pinjaman yang disediakan oleh broker FOREX atas nama leverage kepada pelabur yang membuka posisinya di platformnya. Isu menggabungkan jualbeli matawang dan kemudahan pinjaman dalam bentuk leverage ini secara jelas bertentangan dengan Hukum Syarak. Ini kerana Nabi SAW megharamkan penggabungan sedemikian sebagaimana sabda baginda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

"Tidak dihalalkan salaf (pinjaman) beserta jual beli"[i]

Dalam konteks hadis ini, Al-Qarafi menyebut:

وَبِإِجْمَاعِ الْأُمَّةِ عَلَى جَوَازِ الْبَيْعِ وَالسَّلَفِ مُفْتَرِقَيْنِ وَتَحْرِيمِهمَا مُجْتَمِعَيْنِ لِذَرِيعَةِ الرِّبَا

Maksud: “Dan dengan ijmak umat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya secara bersekali, kerana ia adalah laluan riba”.[1]

1.2. Unsur Riba Dalam Leverage

Dalam perdagangan FOREX, broker menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelabur. Pinjaman tersebut secara langsung memberi manfaat kepada pihak broker. Ini kerana melalui kemudahan tersebutlah maka pelabur akan menyertai transaksi jual-beli atau perdagangan matawang dengan broker tersebut. Bukan itu sahaja, broker selalunya mendapat keuntungan melalui spread, iaitu perbezaan antara harga bid dan harga ask, di mana broker menjual matawang kepada pedagang dengan harga tinggi, dan membelinya dengan harga rendah. Ini sekali lagi mencetuskan isu Syariah dalam konteks manfaat yang diperolehi oleh pemberi pinjaman (broker) yang menyediakan kemudahan pinjaman tersebut. Manfaat seperti ini dianggap RIBA sebagaimana kaedah yang sangat masyhur dalam konteks riba dan disebut oleh ramai sarjana feqah dengan lafaz-lafaz berbeza, antaranya:

كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً فَهُوَ رِبًا

Maksud: “Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjam), maka ia adalah riba”. Kata-kata ini walaupun dari sudut ilmu hadis ia adalah hadis yang tidak sabit dengan sanad yang sahih,[2] tetapi ia telah menjadi kaedah yang disepakati oleh seluruh orang Islam.[3]


Selain daripada itu, elemen riba juga jelas melaluiinterest yang dikenakan bagi posisi yang dibuka melebih 24 jam. Walaubagaimana pun, tidak semua broker forex terbabit dengan mengenakan caj interest seperti ini.

2. Isu Rollover Interest

Dalam perdagangan dan pertukaran matawang asing oleh individu secara lani (spot) melalui platfom elektronik, pedagang akan menerima atau memberi faedah rollover bergantung kepada arah posisi yang diambil (menjual atau membeli) dan perbezaan kadar faedah kedua-dua matawang yang terlibat sekiranya beliau membuka posisi melebihi tempoh semalaman. Faedah ini berlaku kerana wang yang didagangkan dalam spot forex adalah hutang yang dipinjamkan oleh broker kepada pedagang melalui konsep leverage.



Isu rollover interest ini merupakan isu syariah yang paling ketara dalam perdagangan spot forex, di mana sesiapa yang membuka posisinya melebihi daripada semalaman, beliau akan terdedah kepada penerimaan atau pemberian riba al-nasiah yang diharamkan oleh syarak, seperti mana firman Allah yang berbunyi:



))يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ((



Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)



Dalam konteks ini, al-Majma‘ al-FiqhÊ al-IslÉmÊ (RÉbiÏah al-‘Ólam al- IslÉmÊ) dalam mesyuarat sesi ke-18, pada 12 April 2006 dalam resolusi berhubung perniagaan berdasarkan margin, memutuskan bahawa caj rollover merupakan unsur riba yang nyata dan diharamkan. Berikut adalah nas resolusi tersebut:

" ويَرَى المَجْلِسُ أَنَّ هَذِهِ المُعَامَلَةَ (المُتَاجِرَة بِالهَامِشِ) لا تَجُوْزُ شَرْعًا لِلأَسْبَابِ الآتِيَةِ:

أولاً: مَا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ مِنْ الرِّبَا الصَّرِيْحِ، المُتَمَثّل فِي الزِّيَادَةِ عَلَى مَبْلَغِ القَرْضِ، المُسَمَّاة (رُسُوْمُ التَّبْيِيْتِ)، فَهِيَ الرِّبَا المُحَرَّمُ..."

Maksudnya: “Majlis perpendapat muamalat ini (perniagaan berdasarkan margin) tidak dibenarkan oleh syara’ berasaskan hujah-hujah berikut: Pertama: Muamalat ini mengandungi unsur riba yang nyata, iaitu melalui penambahan ke atas jumlah hutang (caj rollover). Ia adalah riba yang diharamkan…”

Walaupun terdapat broker yang menawarkan akaun FOREX secara Islam tanpa elemen faedahrollover, tetapi sesetengah daripada mereka akan mengenakan fi atau komisyen lain bagi pedagang yang membuka posisi melebihi semalaman, atau mengenakan kadar spread yang lebih tinggi bagi menggantikan caj rollover.

Jika diperhalusi, pengenaan fi atau komisyen yang berasingan dan penaikan kadar spreadsebenarnya merupakan helah bagi menyembunyikan caj rollover yang dikenakan ke atas pedagang matawang asing dengan cara menggantikannya dengan kaedah lain. Akibatnya, pedagang yang membuka akaun secara Islam terpaksa membayar lebih berbanding pedagang yang memiliki akaun biasa.

Fi atau komisyen tambahan ini, walaupun tidak dinamakan rollover interest/charge, tetapi fungsinya masih tetap sama, iaitu menambahkan jumlah hutang yang dikenakan berdasarkan penambahan masa. Kaedah fekah dengan jelas menyebut bahawa:

العِبْرَةُ فِي العُقُودِ لِلْمَقَاصِد والمَعَانِي لا لِلْأَلْفَاظِ وَالمَبَانِي[4 ]

Maksudnya: Apa yang diambil kira dalam kontrak adalah berdasarkan maksud dan makna, bukan berdasarkan lafaz dan ungkapan literal.


Justeru, fi tambahan ini masih tetap mempunyai ciri-ciri riba yang diharamkan walaupun ianya dibuat melalui kaedah tersembunyi.


baca selanjutnya di laman rasmi beliau di sini : http://www.asyrafwajdi.com/home/ 

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate