Di antara salah faham yang berlegar di kalangan umat adalah tanggapan bahawa mereka yang sudah berpindah ke alam barzakh sudah terputus langsung hubungan dengan mereka yang masih hidup. Sedangkan nas-nas dan huraian ulama seperti yang sedang kita bentangkan menunjukkan sebaliknya terutamanya bagi mereka yang istimewa kedudukannya di sisi Allah seperti para Anbiya’ dan Syuhada’. Di antara bukti keistimewaan mereka ini di alam barzakh adalah kekalnya jasad mereka dan tidak reput seperti mayat manusia biasa biasa. Kekalnya jasad mereka ini adalah tanda bahawa kehidupan ruh mereka juga berbeza berbanding dengan ruh manusia biasa.
Telah diriwayatkan hadith daripada Aus ibn Aus RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya, di antara hari yang paling mulia bagi kalian adalah hari Jumaat; pada hari itu diciptakan Adam RA, pada hari itu juga nyawa Adam AS dicabut, hari itu jugalah ditiup sangkakala dan pada hari itu jugalah semua makhluk dimatikan. Maka perbanyakkanlah salawat ke atasku pada hari tersebut. Sesungguhnya salawat kalian dibentangkan kepadaku.” Mereka bertanya, “Bagaimanakah salawat kami itu boleh dibentangkan kepadamu, sedangkan kamu telah pun binasa.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi.”
Maka ketahuilah bahawa hadith, “Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi.”, diriwayatkan dari banyak jalan; sepertimana yang telah dikumpulkan oleh al Hafiz al Munziri di dalam bahagian yang khusus. Beliau berkata di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib: Bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang baik. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sohihnya. Manakala al-Hakim mensohihkannya. Ibnu Qayyim berkata di dalam Kitabnya al-Ruh yang dinaqalkannya daripada Abi Abdullah al-Qurtubi: “Adalah sohih riwayat daripada Nabi SAW, bahawa bumi tidak memamah jasad-jasad para nabi. Sesungguhnya Nabi SAW telah berhimpun bersama mereka pada malam Isra’ di Baitul Maqdis dan juga di langit, teristimewanya bersama Nabi Allah Musa AS. Baginda SAW juga mengkhabarkan dengan sabdanya: “Setiap Muslim (yang telah mati) apabila diucapkan salam kepadanya, maka Allah SWT akan mengembalikan ruhnya sehinggalah dia dapat menjawab salam tersebut.”
Begitu juga dengan hadith-hadith lain; yang kesimpulannya memutuskan bahawa kewafatan para nabi sebenarnya bermaksud hilangnya mereka daripada pandangan kita, iaitu kita tidak dapat melihat mereka, sekalipun mereka sentiasa wujud dan hidup. Hal ini adalah sama seperti malaikat; mereka itu hidup dan sentiasa wujud akan tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
Di sini, dinaqalkan perkataan Imam al-Qurtubi yang juga telah diakui oleh Syeikh Muhammad al-Safarini al-Hanbali di dalam syarah Kitab Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana nasnya yang berbunyi: Telah berkata Abu Abdullah al-Qurtubi: Telah berkata guru kami Ahmad ibn Umar al Qurtubi, pengarang Kitab al-Mufhim fi Syarh Muslim: Apa yang dapat menghilangkan kerumitan ini ialah kematian itu bukanlah bermaksud betul-betul tiada, akan tetapi ia bermaksud perpindahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Hal ini dibuktikan berdasarkan keadaan para syuhada’ selepas mati dan dibunuh, mereka itu hidup dengan gembira dan diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.
Ini adalah sifat-sifat orang-orang yang hidup di dunia. Sekiranya hal ini berlaku kepada syuhada’, maka para nabi adalah lebih berhak dan lebih utama untuk mendapat keistimewaan ini. Imam al-Qurtubi ada menyebut, bahawa jasad-jasad para nabi tidak akan hancur ditelan zaman. Terdapat riwayat yang sohih daripada Jabir RA, bahawa bapanya dan ‘Amru ibn al Jamuh RA merupakan antara umat Islam yang terkorban syahid dalam peperangan Uhud dan mereka berdua telah disemadikan di dalam satu kubur. Namun, banjir yang melanda telah membongkar kubur mereka dan didapati kedua-dua syuhada’ itu masih tidak berubah. Salah seorang daripada mereka mengalami luka, lalu diletakkan tangannya di tempat luka tersebut. Setelah itu, mereka dikebumikan semula dan tangannya yang terletak pada tempat luka itu diluruskan, kemudian dilepaskan. Namun, tangan itu kembali ke tempat luka tersebut sebagaimana sebelumnya. Jarak masa di antara kejadian ini dengan peperangan Uhud ialah selama 46 tahun.
Begitu juga, yang terjadi ketika mana Mu’awiyah mengadakan projek mengalirkan air ke sekitar Madinah lebih kurang 50 tahun selepas peristiwa Peperangan Uhud. Ketika kerja-kerja memindahkan jasad para syuhada’ dilakukan, tanpa disedari kaki Sayyiduna Hamzah RA terkena penyodok tanah. Lalu darah mengalir di tempat luka itu, dan didapati Abdullah ibn Haram RA seperti baru dikebumikan semalam.
Penduduk-penduduk Madinah juga meriwayatkan, ketika dinding rumah Nabi SAW roboh sewaktu pemerintahan al-Walid, mereka dapat melihat dengan jelas kaki Saiyyidina Umar ibn al Khattab RA yang telah terbunuh sebagai syahid (tidak reput dan masih kekal jasadnya seperti sediakala).
Ibnu Taimiyyah telah menyebut, bahawa ketika berlaku runtuhan dinding maqam itu, tiba-tiba terlihat jelas betis dan lutut manusia. Keadaan itu memeranjatkan Umar ibn Abdul Aziz RH. Lalu datang Urwah berkata, “Ini adalah betis dan lutut Sayyiduna Umar RA.” Maka Umar ibn Abdul Aziz RH berasa lega. (Iqtidha’ Sirat al-Mustaqim, h: 365)
Al-Imam al Hujjah Abu Bakar ibn al Husin al-Baihaqi telah mengarang sebuah risalah khusus mengenai tajuk ini. Di dalamnya, beliau telah menghimpunkan sejumlah daripada hadith-hadith yang menunjukkan hidupnya para nabi di alam barzakh dan kekalnya jasad-jasad mereka. Begitu juga al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Beliau telah mengarang sebuah risalah khusus berkenaan tajuk ini.
‘Hidupnya’ para Nabi di alam Barzakh dengan cara yang tersendiri baik dari segi ruh dan jasad seperti yang kita bahaskan menunjukkan bahawa wajarlah kita melayan mereka dengan cara yang tersendiri juga. Wajarlah menziarahi kubur mereka dikira sebagai suatu yang digalakkan seperti menziarahi mereka ketika masih hidup. Adalah salah jika perbuatan menziarahi kubur dan menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia dianggap serong dan sesat.
Gambar maqam Nabi-Nabi dan Para Solehin
1 ulasan:
Salam,gambar itu bukan makam Rasullullah.harap maklum. Itu makam Rumi...
Catat Ulasan