Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“IHSAN MEMBINA PEKERJA BERINOVATIF ”
(4 MEI 2012 / 12 JAMADIL AKHIR 1433H)
Muslimin yang
di Rahmati Allah,
Saya berpesan
kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah
sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu
melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan
kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan
memperkatakan khutbah bertajuk: “IHSAN MEMBINA PEKERJA BERINOVATIF”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam al-Quran
diterangkan bahawa Allah SWT menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah
dan menjadi hamba Allah iaitu menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut
standard peraturan yang ditetapkan-Nya. Selepas itu manusia akan dikembalikan
ke akhirat untuk menghadapi penilaian dan pengadilan sejauhmana prestasi
melaksanakan perintah Allah SWT. Inilah matlamat utama dan halatuju kehidupan
manusia di dunia ini.
Sebagai
pekerja Allah di atas dunia ini samada bekerja dengan kerajaan, swasta dan
bekerja sendiri , mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Menurut
ajaran Islam, pada dasarnya setiap pekerjaan
orang Islam mempunyai dua sasaran utama:
Pertama melaksanakan hak Allah SWT dan keduanya melaksanakan muamalah
sesama manusia seperti dalam politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi,
pertanian, kesihatan dan sebagainya. Mimbar
amat yakin jika umat Islam dapat memenuhi dengan cemerlang melaksanakan dua sasaran itu maka umat Islam akan
memperolehi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun
isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja ialah kualiti
pekerjaan dan kecemerlangan dalam usaha memberi perkhidmatan berinovatif yang
dapat memuaskan kepada dua pelanggan iaitu Allah SWT dan manusia. Islam telah memberi peringatan kepada umatnya
supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan
dalam melakukan setiap pekerjaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat
77:
Maksudnya: “ Dan berbuat
baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan
janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.
Ketika
mengulas perkara yang sama mengenai kecemerlangan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka
(bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia
bekerja dengan tekun.” (Riwayat Baihaqi)
Muslimin Yang di
Rahmati Allah,
Dalam
hadith terkenal yang diriwayatkan al-Bukhari menyatakan Malaikat Jibril
mengajar Rasulullah SAW tentang perihal Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Jika
salah satu komponen ini tidak ada atau tidak difahami, maka kita belum menghayati
Islam secara sempurna.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, memahami dan menghayati
sifat ihsan ini akan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan yang cemerlang
dan berkualiti tinggi serta berinovatif. Sifat ihsan secara ringkasnya bermaksud
kita melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT
dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan kita dilihat dan dipantau oleh
Allah SWT. Sabda Rasullullah SAW ketika di tanya oleh Jibril tentang ihsan:
Maksudnya: “ Apakah ihsan itu?, sesungguhnya kamu menyembah Allah
seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka
sesungguhnya Dia melihat kamu”. ( Riwayat al-Bukhari )
Unsur penting
sifat ihsan ialah bekerja secara profesional, menguasai bidang kerja,
kreatif dan inovatif untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Penghasilan
yang baik sudah tentu menjadi hak pekerja dan memberi kepuasan kepada
pelanggan. Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara untuk melahirkan ihsan
atau sebaik-baik pekerjaan yang amat dituntut dalam Islam itu?. Berdasarkan
dalil al-Quran, hadith Rasulullah dan pakar pengurusan, prinsip ihsan meliputi perkara berikut: Pertama:
Berakhlak mulia, Kedua: Kita perlu mempunyai keterampilan dan
kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang
tugas, Ketiga: Mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman serta
kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahat dan peka dengan keperluan
masyarakat semasa, Keempat: Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan
tentang keperluan masa depan,Kelima: Mempunyai keyakinan diri yang tinggi
dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti dan Keenam: Bekerja
untuk menghasilkan sesuatu kualiti yang terbaik dan memenuhi kehendak
pelanggan.
Prinsip ihsan tidak berhasil jika semata-mata kuat beragama tetapi tidak
menguasai ilmu dan kemahiran pekerjaan. Prinsip ihsan juga akan cacat jika
hebat menguasai ilmu tetapi lemah dalam penghayatan agama. Berdasarkan
pengertian sebenar sifat ihsan ini, akan melahirkan pekerja yang bertanggungjawab,
beristiqamah dengan suruhan Allah SWT dan
sekaligus mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya, samada
ketika berhadapan dengan orang ramai atau di tempat yang sunyi, samada ketika
bersama dengan majikan ataupun ketika ketiadaan majikan.
Pekerja yang melaksanakan tugas mengikut bidang yang ditetapkan dengan
penuh ihsan dijanjikan pahala yang besar daripada Allah SWT. Firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 112:
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerahkan
dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik
amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita”.
Muslimin yang di
Rahmati Allah,
Mimbar
mengingatkan bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi itu tidak akan datang
bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam
yang kuat dan tidak dapat kita capai tanpa ada perubahan ke arah peningkatan. Selari dengan tuntutan
ajaran Islam, Allah SWT telah menegur umat manusia supaya berani membuat
perubahan positif dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan
lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang. Firman
Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: “. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan
keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan harga diri
pekerja. Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji, tercela seperti
melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja, dan
perbuatan negatif yang lain. Perbuatan mendapatkan
rezeki atau kekayaan dengan sebarangan, dengan jalan haram, dengan jalan
penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain adalah ditegah.
Ingatlah wahai para jemaah dan umat Islam sekalian,
bahawa wang kekayaan yang didapati
dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain dengan merugikan orang
lain adalah wang dan kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram
hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagian dalam hidup, tetapi akan
membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat. Jiwa manusia, jiwa
pekerja pada asalnya adalah sesuatu yang suci. Tetapi harta yang diperolehi secara tidak halal tidak mungkin
dapat memberi kebaikan pada jiwa kita.
Mimbar
juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak
kerajaan di atas pengumuman kadar gaji minimum kepada pekerja swasta dan penyelarasan
gaji kepada kakitangan awam. Kepada semua pekerja mimbar berpesan, hendaklah mengurus
perbelanjaan dengan penuh berhemah dan berjimat cermat serta mengelak diri dari
terlibat dengan hutang yang membolehkan seseorang itu menjadi bankrap.Menurut statistik
yang diambil dari Ceupacs terdapat lebih 80% penjawat awam dibelenggu dengan
hutang disebabkan gagal mengurus kewangan secara bijak terutama apabila
keinginan melebihi kemampuan, ditambah kemudahan pembiayaan yang terlalu
longgar.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri
khutbah, mimbar menyeru semua golongan
pekerja, sempena sambutan Hari Pekerja 2012 yang bertemakan: Pekerja
berinovatif Penggerak Transformasi, maka marilah sama-sama kita memperkasa
jati diri dengan menghayati sifat ihsan supaya setiap amalan dan pekerjaan kita
memenuhi standard piawaian Allah dan memberi kepuasan kepada Allah SWT serta
manusia sejagat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105:
Maksudnya: “
Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan,
maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang
kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT. yang mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa
yang kamu telah kerjakan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.