11 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Umno perlu melalui satu proses transformasi politik yang lebih komprehensif dan radikal untuk mendepani pelbagai cabaran yang muncul bersama peredaran zaman, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menegaskan untuk menjadi sebuah parti politik Melayu Islam dan Malaysia yang lebih dinamis, inklusif dan berwawasan, parti keramat orang Melayu itu perlu lebih universal dari segi perjuangan tanpa melupakan objektif asal penubuhannya.
Untuk itu, katanya golongan kelas menengah Melayu serta generasi muda yang citra dan pemikiran mereka berbeza dengan generasi awal yang membina asas dan mencorak hala tuju Umno perlu disantuni dan didampingi secara lebih dekat.
"Golongan kelas menengah yang menghuni bandar-bandar besar merupakan pasak kekuatan Umno yang baru. Dengan berdampingan bersama generasi muda, parti akan mendapat suntikan semangat dan idea-idea baharu untuk terus memperkukuh perjuangan Umno seiring peredaran zaman," katanya dalam perutusan sempena ulang tahun ke-67 Umno malam ini.
Sambutan ulang tahun itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Muhyiddin berkata bagi memastikan proses peremajaan Umno berlaku lebih pantas, parti itu perlu membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda, kumpulan profesional dan golongan kelas menengah Melayu untuk bergiat secara lebih aktif dalam Umno.
Beliau berkata bukan sahaja kemasukan mereka ke dalam Umno mesti dialu-alukan, malah mereka juga perlu dibimbing untuk mengambil peranan yang lebih besar dalam parti seterusnya menerajui parti pada masa hadapan.
Muhyiddin juga menekankan perlunya parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) melakukan proses perubahan yang lebih besar untuk memastikan mereka diterima oleh semua kaum di negara ini.
"Mereka perlu lebih peka membina parti yang lebih berpadu serta membina kerjasama strategik dengan Umno agar BN disokong dengan lebih kukuh oleh rakyat Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang bertindak selaku Pengarah Pilihan Raya BN pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir Ahad lepas, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong parti yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan Umno dan BN.
Beliau berkata komitmen itu memastikan kedudukan Umno bertambah kukuh dengan kejayaan meningkatkan jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang
dimenangi kepada 88 dan 241 kerusi pada pilihan raya itu berbanding 79 dan 238 kerusi pada 2008, selain berjaya merampas Kedah daripada pembangkang.
"Umno mempunyai tempoh selama lima tahun sebelum sekali lagi berhadapan pilihan raya umum bagi memperoleh mandat rakyat untuk terus menerajui negara yang mana ia menjadi titik penentuan penting kelangsungan Umno sebagai parti keramat orang Melayu.
"Dalam tempoh yang singkat ini setiap peringkat kepimpinan Umno daripada pusat, negeri hinggalah bahagian dan cawangan perlu bermuhasabah melakukan pembetulan dan bertindak untuk memastikan Umno dapat terus mengungguli perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara yang tercinta," katanya.
Muhyiddin turut mengajak seluruh anggota Umno untuk menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno.
"Sempena ulang tahun Umno yang ke-67 ini, marilah kita menumpahkan taat setia kepada parti, marilah kita memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib untuk terus menerajui parti dan negara," katanya. - Bernama
Sent from my iPad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.