Pages

11 Jun 2013

Minyak Dunia Cukup Untuk Dua Abad - Presiden Petronas

Minyak dunia cukup

Shamsul Azhar


KUALA LUMPUR 10 Jun - Dunia belum kehabisan minyak dan gas walaupun telah berpuluh tahun aktiviti penggerudian dan pengeluaran minyak dijalankan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

"Jika peserta industri melihat luar Asia dalam skala global, bekalan masih banyak untuk dikeluarkan, dan dunia masih membuat pencarian konvensional," katanya dalam ucapan mengenai keadaan industri di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-17 di sini hari ini.

"Berikutan penemuan baharu, perkembangan teknologi dan pengalaman operasi, secara teknikalnya, sumber yang boleh diperoleh dianggarkan mencukupi untuk selama dua abad pada penggunaan semasa," katanya.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, rizab dunia telah meningkat sejak 1990 di sebalik pertumbuhan pada penggunaan, dan setakat 2011, anggaran adalah kira-kira 1.5 trilion tong dengan 5.9 trilion tong lagi sumber boleh diperoleh yang masih belum ditemui, tambah beliau.

Shamsul Azhar berkata, Iraq mempunyai rizab minyak kelima terbesar di dunia dengan 143 bilion tong.

Bagaimanapun, memandangkan tenaga adalah penyumbang utama kemakmuran ekonomi, pergantungan ke atas tenaga jangka pendek meningkatkan risiko gangguan bekalan dan pergolakan harga, kata beliau.

Katanya, pelbagai pelaburan huluan di blok penggerudian dan pembinaan jaringan paip baharu dan terminal regasifikasi menunjukkan strategi keselamatan tenaga.

"Serupa juga dengan Petronas, kami memulakan pencarian dan strategi pengeluaran agresif, mencuba pelbagai cara baharu, perairan yang lebih dalam dan lapangan yang lebih kompleks," katanya sambil menambah untuk memastikan keselamatan tenaga, peserta industri perlu diberikan kebebasan untuk menentukan keberuntungan komersial pasaran sendiri.

"Dengan itu, peserta industri mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan risiko sendiri, berusaha menawarkan bekalan dan memenuhi permintaan pada harga yang ditentukan pasaran," kata Shamsul Azhar.

Beliau juga menyeru semua syarikat minyak, penyedia perkhidmatan dan pembuat dasar bekerjasama untuk mencipta penyelesaian yang menggalakkan penggunaan teknologi dan menarik kecemerlangan operasi.

"Industri kita harus berterusan mencari wadah untuk beroperasi dengan bertanggungjawab dan mesra alam," katanya. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130611/ek_01/Minyak-dunia-cukup#ixzz2Vs2ZLW68
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.