Zahid Turun Ke Sungai ,Bantu Mangsa.
" Lain macam menteri KDN ni.. selalunya menteri lain turun padang…kali ni dia turun sungai. Inilah perihal menteri KDN yang baru apabila pergi membantu dan membuat tinjauan operasi menyelamat mangsa bot yang terbalik di Sungai Rajang."
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak akan membantu usaha pasukan penyelamat mengapungkan bot ekspres yang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, Selasa lepas.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi pasukan penyelamat, justeru, usaha giat dilakukan untuk membawa kren bagi membantu operasi itu.
"Ini hari keenam, secepat mungkin yang boleh pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan berikan pertolongan serta bantuan dan juga akan terus memberi keprihatinan terhadap dua lagi mangsa yang masih hilang… dikhuatiri terperangkap di dalam bot," katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat operasi di sebuah pulau di tengah Sungai Rajang, Ahad.
Ahmad Zahid berkata satu perbincangan antara beliau dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan diadakan malam ini.
"Perbincangan malam ini, kita akan cari jalan untuk bawa aset (kren) itu, saya juga akan berbincang dengan Ketua Menteri ialah mengenai pembiayaan, kos pengendalian dan kos membawa kren itu," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti polis dan Rela akan terus berusaha sebaik mungkin dalam gerakan mencari dan menyelamat mangsa melalui kerjasama dengan beberapa pihak lain seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta penduduk kampung.
"Saya ingin menyatakan lawatan ke sini adalah mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bot karam yang meninggal dunia dan juga kepada mangsa terselamat namun tidak dapat merayakan Hari Gawai dengan penuh kegembiraan," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendengar taklimat Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau dan Timbalan Pengarah Bomba Negeri Mohd Ali Bahudin sebelum bergerak ke lokasi nahas yang terletak dua kilometer dari pusat operasi.
Beliau turut menyumbang sejumlah RM10,000 bagi melicinkan perjalanan operasi mencari dan menyelamat dari segi penyediaan makanan serta bantuan logistik selain RM2,000 kepada John Soon Hock Chiong, yang isterinya masih hilang dalam tragedi itu.
Ahmad Zahid turut menyumbang makanan segera 'McDonald' sementara Anggota Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang membawa 'Pizza Hut' sebagai menghargai penat lelah pasukan mencari dan menyelamat serta petugas agensi kerajaan yang melakukan pelbagai tugasan seperti menyediakan makanan dan khemah, serta petugas media yang berkampung di lokasi kejadian sejak Selasa lepas. – BERNAMA
Sent from my iPad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.