Jadi Pencadang Satu Sama Lain, Bukti Najib Dan Muhyiddin Gandingan Ideal
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Presiden dan Timbalan Presiden Umno hari ini membuktikan bahawa mereka adalah gandingan ideal bagi menerajui parti itu apabila saling menjadi pencadang antara satu sama lain untuk mempertahankan jawatan masing-masing.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Khairun Aseh kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan Presiden Umno itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
"Ini menunjukkan kepimpinan mereka seperti kata pepatah 'bagai aur dengan tebing'. Ini adalah gandingan ideal," katanya.
Penyerahan borang Najib dilakukan serentak dengan borang pencalonan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diserahkan Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang.
Khairun dan Mohd Nardin tiba serentak di kaunter pengambilan nombor giliran bagi menyerahkan borang pada pukul 8 pagi.
Khairun berkata sehingga borang itu diserahkan, belum ada pencalonan diterima daripada calon-calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Tiada sebarang masalah dan ia memenuhi semua peraturan yang ditetapkan, kata mereka.
Dalam pada itu, Khairun turut menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak Perdana Menteri kepada jentera parti yang bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran proses penyerahan borang yang bermula pukul 8 pagi dan tamat 5 petang ini.
Mohd Nardin juga menyampaikan penghargaan Muhyiddin kepada jentera parti.
"Sehingga kini, proses penyerahan borang berjalan lancar dan semuanya berjalan seperti yang dirancang," katanya.
http://www.umno-online.my/?p=92328&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+umnoonline+%28UMNO+Online%29Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan