Pages

14 Oktober 2013

#KalimahAllah Untuk Sabah Sarawak : Penjelasan Nazri Aziz Di @UMOnline Tahun 2010 Ini Perlu Dibaca The Malaysian Insider @tm_insider


The Malaysian Insider cuba mengapikan antara penganut Islam dengan Kristian soal kalimah Allah yang diumum keputusannya pagi tadi.


Antara lain disentuh seolah-olah penganut Kristian di Sabah Sarawak tidak dapat menerima keputusan tersebut.

Walhal isu kalimah Allah di sana sudah pun ditegaskan sebelum ini pada tahun 2010 oleh Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Justeru tidak berbangkit lagi apakah ada halangan terhadap penggunanannya di Sabah dan Sarawak seperti yang cuba dihangatkan oleh The Malaysian Insider di atas...

Baca penjelasan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di bawah ini...




Kristian Sabah, Sarawak boleh guna kalimah Allah 

Tarikh 16 Jan 2010 


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Langkah itu juga mengambil kira kebiasaan penduduk Islam di kedua-dua negeri berkenaan terhadap amalan penganut Kristian itu.

Bagaimanapun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, penganut Kristian dan pihak gereja di Semenanjung tetap tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah di dalam sebarang upacara keagamaan termasuk penerbitan.

Larangan tersebut katanya, turut melibatkan penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.

''Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu ini kerana ia sudah menjadi tradisi mereka.

''Malah saya pernah hadir di dalam satu upacara sembahyang di sebuah gereja kaum Iban dan saya mendengar perkataan Allah disebut di gereja berkenaan,'' katanya seperti dipetik oleh akhbar The Borneo Post hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan dari Borneo Post, Utusan Borneo dan Oriental Daily di pejabatnya di sini semalam.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mencetuskan kontroversi apabila akhbar Herald-The Catholic Weekly telah membuat tuntutan menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya baru-baru ini.

Tuntutan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Disember lalu tetapi pelaksanaannya ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Ketika ditanya mengapa perlu ada dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah di antara penganut Kristian di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, beliau berkata, ia bukan satu amalan yang unik.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, situasi di Semenanjung amat berbeza dengan Malaysia Timur kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun lalu.

''Umat Islam di Semenanjung tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan di dalam upacara agama (Kristian) sehinggalah baru-baru ini.

''Oleh itu mereka (umat Islam) telah mempersoalkan motif di sebalik penggantian perkataan Tuhan dengan perkataan Allah,'' jelasnya.

Jelas Mohamed Nazri, Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan masyarakat Melayu Islam dan ia berkuat kuasa di semua negeri di Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, penganut Kristian perlu sedar bahawa penggunaan kalimah Allah sama ada di dalam upacara agama atau di dalam penerbitan di Semenanjung merupakan satu perkara yang amat sensitif bagi umat Islam.

''Kerajaan sebenarnya bertanggungjawab untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara khususnya yang menyentuh isu agama dan kaum walaupun tiada undang-undang menyatakan ia salah.

''Sebagai contoh, tiada undang-undang yang menyatakan memijak kepala lembu salah tetapi apabila dilakukan oleh sekumpulan orang Melayu di hadapan kuil, tindakan terpaksa kita ambil atas alasan mereka tidak menghormati agama Hindu,'' tambahnya.



© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.