MELIHAT kepada suasana mainan politik tempatan semasa, ramai pemerhati politik yang berkelayakan apatah lagi yang tidak bertauliah pening memikirkan hala tuju yang ingin dibawa oleh politikus yang dilantik mewakili suara pendesak rakyat ke dalam dewan yang mulia.
Fenomena 'Kajang Move' ciptaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pasti menjadi tajuk perbualan hangat setidak-tidaknya untuk beberapa bulan ini oleh peminat-peminat politik tempatan.
Secara ringkasnya 'Kajang Move' dicetuskan oleh Lee Chin Cheh wakil rakyat dari PKR yang dipilih oleh penghuni N25 Kajang kira-kira 7 bulan yang lalu, yang secara tiba-tiba melepaskan segala amanah yang diberikan oleh rakyat tanpa menjelaskan sebab pengunduran beliau, seperti mana surat yang diserahkan kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan bertarikh 27 Januari 2014 secara serahan tangan.
Walaupun tindakan ini sejajar dengan Artikel 68 Perlembagaan Negeri Selangor yang menyatakan seseorang wakil rakyat boleh mengosongkan kerusi mereka hanya dengan menyatakan secara bertulis kepada Speaker Dewan, ia tetap mengundang kontroversi kerana bertentangan dengan prinsip 'Bersih' yang mereka sering laung-laungkan.
Apatah lagi ketika rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup, mereka pula sewenang-wenangnya membazirkan wang milik rakyat untuk mengadakan sebuah pilihan raya kecil yang tidak perlu diadakan sebenarnya.
Tindakan tersebut telah menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa memperuntukkan kos operasi sekurang-kurangnya RM2 juta tidak termasuk untuk perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh agensi-agensi lain seperti polis, tentera, pihak media dan parti-parti politik yang terbabit.
Drama ini bertambah menarik apabila sehari selepas itu, iaitu pada tanggal 28 Januari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau sendiri akan bertanding di bawah panji PKR untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chin Cheh.
Populariti
Ramai daripada kita ternganga melihat percaturan apa yang cuba dilakukan oleh PKR. Mencari satu kerusi selamat untuk diberikan kepada ketua mereka sudah pastinya mengundang spekulatif yang negatif.
Walaupun banyak penafian yang dikeluarkan oleh pusat PKR namun ia tidak mampu meniup goyangan angin menderu.
Kalau dilihat pada ulasan yang diberikan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli percaturan ini sekadar pergerakan taktikal bertitik tolak daripada gerakan dalaman UMNO sendiri yang memaksa mereka bertindak sebegini rupa.
Menyalahkan UMNO untuk mereka menghalalkan sesuatu bukanlah perkara baru dalam PKR. Politik PKR sebenarnya tidak sesusah pengiraan aljebra untuk difahami. Mengapa isu ini dimainkan secara besar-besaran.
Ramai sudah mengetahui Selangor merupakan sebuah negeri "lubuk emas" buat siapa sahaja yang menerajuinya. Selangor merupakan negeri kelima terkecil di Malaysia, mencapai status negeri maju 15 tahun lebih awal berbanding negeri-negeri lain di negara ini.
Negeri yang hampir 6 juta penduduk ini mempunyai pendapatan per kapita RM36,135 mengikut unjuran 2012.
Ini menunjukkan betapa peri pentingnya Selangor dalam minda politikus. Ia boleh menjadi sumber kewangan dalam menaja banyak perkara yang boleh membantu populariti seseorang pemimpin.
Namun bagi PKR kepimpinan yang ada sekarang gagal membantu ke arah itu, maka wujudlah pergeseran yang tidak pernah reda antara Menteri Besar selama 6 tahun dengan pucuk kepimpinan parti.
Bagi pimpinan PKR pusat, Selangor adalah milik mereka walaupun mereka mempunyai kerusi yang kurang sedikit berbanding sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.
Kekuatan Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi dan menjadi orang suruhan cukup kuat berdasarkan formula; Kelantan untuk Pas; Pulau Pinang milik DAP dan Selangor empunyanya PKR.
Berdasarkan konsep 'keadilan' ini, maka secara tidak langsung segala perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Selangor jarang sekali mereka merujuk kepada rakan-rakan sepermainan kerana untuk PKR ia tidak perlu mendapat sebarang 'konsensus'.
Tanpa kita sedari, PKR tanpa Selangor mereka hanyalah parti cebisan, maka silap langkah tamatlah cita-cita mereka menawan Putrajaya apatah lagi matlamat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Berdasarkan senario ini, PKR memerlukan satu kekuatan untuk mengimbangi kuasa rakan-rakan sekutu mereka. Bukan menyaingi UMNO seperti yang cuba ditutup rapat oleh Rafizi. Maka tidak boleh dinafikan, antara kekuatan yang mereka perlukan ialah penyaluran kewangan yang padu.
Seperti mana semua maklum Menteri Besar Selangor ketika ini Tan Sri Khalid Ibrahim, merupakan bekas tokoh korporat yang hebat.
Kehebatan penglibatan korporat beliau gagal diterjemahkan dalam bahasa politik PKR. Beliau mengendalikan Selangor seperti sebuah syarikat yang ada untung dan rugi kewangannya.
Duit tidak boleh dibelanja sewenang-wenangnya tanpa memikirkan risiko masa depan. Gaya pentadbiran sebegini menyebabkan ramai rakan yang berbumbungkan PKR tersekat langkah.
Ramai yang bercita-cita untuk melobi hasil politik tersekat dengan langkah berhati-hati Khalid. Kekalutan ini menimbulkan keresahan buat rakan-rakan dalam parti yang menyebabkan perlunya berlaku perubahan drastik di Selangor.
Apabila Anwar mengumumkan beliau akan bertanding di Kajang secara tidak langsung beliau memberi isyarat pengunduran buat Khalid kerana mana mungkin seorang yang bergelar Ketua Pembangkang yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri akan menerima tudingan daripada seseorang yang dianggap mentah dalam mainan sepak terajang politik.
Kalaulah kehadiran Anwar di Selangor hanya sebagai penasihat pengurusan negeri, tidak cukupkah dengan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor. Dan tidak cukupkah Saifuddin Nasution proksi Anwar menjadi Ketua Staf di pejabat Menteri Besar?
Pastinya, tindakan ini bukan sekadar untuk Anwar menjadi ADUN tanpa 'bisa', beliau yang kita kenali mesti mahukan sesuatu yang lebih besar.
Dan seperti mana tiupan angin, khabar mengatakan Khalid hanya akan berundur jika musuh politik beliau Azmin Ali tidak diangkat menjadi Menteri Besar, maka apa pilihan yang PKR ada selain meletakan Penasihat mereka sebagai teraju utama negeri itu.
Seperti yang dinyatakan, walaupun dinafikan, politik PKR tidak sesusah pengiraan aljebra.
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI ialah Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.