LARUT 9 Mei - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mencadangkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan konsep Forum Perundingan sebagai usaha memelihara keamanan dan menjamin keselamatan negara.
Titah baginda, forum itu juga wajar diwakili oleh kumpulan elit, profesional dan intelek yang disifatkan sebagai 'pencetus buah fikiran' penting serta berpengaruh kepada negara.
Baginda bertitah, forum itu yang wajar diadakan di setiap daerah akan memberi ruang penyertaan secara aktif kepada kumpulan elit, profesional serta intelek berinteraksi dan berdialog bagi menyelesaikan isu besar membabitkan kepentingan rakyat termasuklah negara.
Kumpulan tersebut merupakan aset berharga kepada negara serta sewajarnya dihargai dan boleh menjadi golongan pemikir dalam membantu tugas-tugas kepolisan melalui Forum Perundingan yang diwujudkan di setiap peringkat, mukim, negeri dan negara. Mereka wajar menjadi rakan kongsi dalam usaha menjamin keselamatan negara.
Kejayaan menangani isu ketenteraman awam lebih dipengaruhi oleh kaedah minda berbanding kekerasan. Kejayaan menjamin keselamatan negara lebih dipengaruhi melalui kemenangan peperangan minda daripada peperangan persenjataan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, dekat sini hari ini.
Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim turut mencemar duli berangkat ke majlis perasmian itu.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Dalam pada itu, Raja Nazrin bertitah, PDRM perlu berhati-hati sebelum boleh mendedahkan sesuatu penemuan kepada umum yang ada kalanya disebabkan oleh faktor undang-undang agar tidak dianggap subjudis atas muslihat untuk terus mengesan rangkaian sindiket yang lebih besar.
Titah baginda, keadaan itu meletakkan pasukan keselamatan tersebut berada dalam situasi tidak menguntungkan seperti kata pepatah ditelan mati emak, diluahkan mati bapa bagi mengimbangkan apa yang boleh diumumkan untuk memenuhi tuntutan masyarakat, dengan apa yang patut dirahsiakan kerana kepentingan perisikan dan penyiasatan lanjut.
Akibatnya, pasukan polis terperangkap dengan masalah kredibiliti dan sering dilabelkan tidak telus. Label negatif ini, jika gagal ditangani secara berkesan, dibimbangi semakin hari semakin menghakis keyakinan, semakin menghakis penghormatan masyarakat kepada pasukan polis," titah baginda.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140510/dn_04/Cadang-perkenal-Forum-Perunding#ixzz31H9btY3b
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan