Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada mana-mana parti di dunia ini yang berjaya seperti UMNO dalam mendaulatkan maruah bangsa kerana kebanyakannya pernah tewas tetapi parti terbesar orang Melayu itu tetap berkuasa dan berada di landasan betul untuk terus berjaya pada masa depan.
Bagaimanapun tegas beliau, UMNO tidak bermegah dengan nikmat kuasa yang diberikan Allah SWT, sebaliknya sokongan rakyat itu diinsafi dengan penuh rasa tawaduk serta rendah diri agar lebih banyak penambahbaikan dapat dilakukan bagi memastikan parti berkenaan terus revelan.
"Kelahiran UMNO merupakan permulaan mendaulatkan Malaysia sehingga kita berjaya seperti hari ini. Sejarah perjuangan UMNO adalah cerminan kepada sejarah perjuangan Malaysia dan telah 68 tahun kita berjuang sehingga muncul parti paling berjaya dalam memasyhurkan bangsa kita.
"Ketika banyak parti yang sebaya atau lebih tua daripada kita pernah kalah dan ditolak rakyat, UMNO kekal berkuasa tetapi kita perlu melihat kepada realiti politik semasa," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketiga-ketiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kesemua ketua sayap pergerakan parti serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Menyentuh soal penambaikan dalam UMNO, Najib berkata, parti itu perlu memperhebat dan membuka lebih banyak ruang kepada golongan cendekiawan dan ulama untuk terlibat secara langsung atau menjadi pemimpin agar UMNO tidak menjadi sebuah parti yang ketandusan idea baru.
Tambahnya, parti itu juga tidak boleh lagi bergantung kepada sokongan masyarakat luar bandar sahaja, sebaliknya UMNO perlu memastikan pengundi bandar dan pinggir bandar juga menjadi sebahagian daripada penyokong kuat menerusi beberapa pendekatan dinamik.
"Wujudnya kawasan perumahan dan penempatan tanpa adanya UMNO juga perlu diberi perhatian. Kita mesti dekati masyarakat bandar serta pinggir bandar dan pada masa yang sama perlu mengekalkan penguasaan terhadap pengundi luar bandar jika mahu terus kekal berkuasa.
"Pendekatan dengan golongan muda juga perlu dinilai, apakah kita parti pilihan mereka? Malaysia ada 14 juta pengguna Facebook pada 2013 dan 146 peratus pemilikan telefon pintar. Apakah kita memanfaatkan sepenuhnya," katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan laungan hidup UMNO, hidup Melayu dan hidup Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan