Pages

02 Jun 2014

Kenyataan Penuh Menteri JAKIM @dsjamilkhir Isu Coklat Cadbury



1. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kerana telah memberi keutamaan dalam pengujian sampel bagi dua produk coklat cadbury yang menjadi isu nasional berikutan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 yang lalu.

2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 26 Mei 2014 telah mengambil kedua-dua sampel produk terlibat iaitu:

i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2; dan

ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1

3. Selain itu, Jakim juga turut mengambil empat (4) produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama dan lima (5) jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan.

4. Kesemua sampel diambil dari kilang pengeluar produk tersebut yang beralamat di Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd., Persiaran Raja Muda, Seksyen 16, P.O. Box 7043, 40700 Shah Alam Selangor dan telah dihantar ke JKM pada hari yang sama.

5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini (2 Jun 2014) telah menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia ke atas dua sampel produk keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. iaitu:

i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2; dan

ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1

6. Keputusan analisis makmal adalah seperti berikut:

i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2 – DNA BABI TIDAK DIKESAN

ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 – DNA BABI TIDAK DIKESAN

7. Walau bagaimanapun memandangkan perkara ini melibatkan tanggungjawab dan integriti pihak syarikat, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

8. Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk tersebut dikembalikan.

9. Jakim juga akan mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan strategi pengurusan krisis sekiranya berlaku pengesanan DNA dalam sesuatu produk, oleh makmal mana-mana agensi kerajaan di masa-masa akan datang.

10. Dalam masa terdekat, Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pemandu Halal yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan pakar-pakar berkaitan dengan halal bagi membincangkan isu-isu halal secara menyeluruh.

11. Seterusnya, Jakim akan merangka program kesedaran pengguna Islam bagi menjelaskan mengenai pensijilan Halal Malaysia dan isu hukum DNA porcine serta kesannya terhadap kepenggunaan.

Sekian, terima kasih.

Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
2 Jun 2014


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.