Pages

10 Oktober 2014

@PDRMsia Rampas Aset Judi Hampir RM 200 Juta Tidak Sampai Dua Tahun - Menteri @Zahid_Hamidi

Operasi banteras judi jadi KPI polis

AHMAD Zahid Hamidi menjawab soalan dalam sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan membuktikan komitmen dalam memerangi perjudian haram apabila memutuskan operasi pembanteras perjudian kini bakal menjadi salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh setiap ketua polis daerah.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan jelas beliau, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri yang akan memantau arahan tersebut bagi memastikan setiap KPI ditetapkan dicapai de­ngan jayanya.

"Selepas ini saya akan meminta Ketua Polis Negara menjadikan operasi membanteras perjudian sebagai salah satu KPI yang perlu dicapai oleh setiap Ketua Polis Daerah," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat hari ini.

Cadangan agar operasi memerangi judi haram menjadi KPI setiap Ketua Polis Daerah, Datuk Bandar serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran pernah dikemukakan oleh Mingguan Malaysia pada Jun lalu menerusi ruangan pojok Awang Selamat berikutan pendedahan akhbar itu dan Utusan Malaysia mengenai aktiviti perjudian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid juga responsif terhadap pendedahan mengenai aktiviti perjudian tersebut apabila mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bertujuan memerangi kegiatan mesin judi haram secara habis-habisan.

Terdahulu semasa menjawab pertanyaan lisan Johari, beliau berkata, polis akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 ke atas operator pusat perjudian bagi membolehkan mereka ditahan selama 60 hari tanpa bicara dalam usaha membanteras aktiviti tidak sihat itu.

Selain itu, beliau menjelaskan polis juga turut menubuhkan Skuad Taktikal Khas Tiga (Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap) yang dijangka berfungsi Disember ini untuk melakukan serbuan dan tangkapan terhadap premis-premis judi yang masih beroperasi di seluruh negara.

Tegas Ahmad Zahid, aktiviti perjudian perlu dibasmi kerana gejala itu bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi turut merosakkan akhlak dan sahsiah masyarakat sehingga membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

"Skuad taktikal ini yang berpangkalan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman dianggotai 200 anggota elit dengan fokus utama mereka adalah membasmi aktiviti perjudian di semua daerah di seluruh negara.

"Penguatkuasaan POCA ini pula perlu memandangkan banyak kes selama ini didapati tiada keterangan kukuh untuk dituduh di mahkamah tetapi individu yang pernah ditahan masih mengulangi kesalahan sama," katanya.

Menurutnya, polis menjalankan Ops Dadu Khas sejak 2013 dan dalam tempoh tersebut sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 2,500 individu ditahan serta didakwa mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka manakala 1,753 lagi di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan selain turut merampas 197,477 unit komputer bernilai RM197.47 juta.

Sementara itu, jelas Zahid, bagi memastikan operasi pembanterasan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan lancar, tiga undang-undang iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan Pool 1967 perlu dipinda kerana sudah lapuk.

"Kita telah mengenal pasti 53 laman web untuk diambil tindakan namun ada permasalahan undang-undang kerana akta ini sudah lapuk jadi saya harap akta-akta ini dipinda atau dihapuskan terus jika tidak sesuai dan ganti yang baharu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua negeri dan beberapa agensi iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi pengurusan air supaya bekerjasama dengan PDRM memandangkan mereka mempunyai peranan yang besar.

Sebagai contoh katannya, kerajaan negeri Selangor boleh mengeluarkan arahan kepada PBT untuk membatalkan dan menghentikan terus pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga (PHK) yang selalu disalah guna oleh pengusaha premis perjudian dalam menjalankan perniagaan haram itu.

"Kebanyakan pusat perjudian menggunakan server internet dari luar negara jadi di sinilah peranan SKMM pula supaya memotong terus talian itu manakala TNB dan agensi air boleh memotong bekalan di mana-mana premis perjudian untuk melumpuhkan operasi mereka.

"Saya ingin mengingatkan bahawa perjudian bukan masalah PDRM atau kementerian semata-mata tetapi masalah kita bersama tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang jika mahu aktiviti ini dihapuskan terus," tambahnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20141009/pa_01/Operasi-banteras-judi-jadi-KPI-polis#ixzz3FiI8eg66 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.