PAS MAIN WAYANG?
AHMAD FARIS
04 Februari 2015 12:45 AM
PERSATUAN Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) 'dipersila' tinggalkan Pas jika tidak lagi sehaluan dengan parti itu. Berselorohkah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan cakapnya itu. Siniskah? Padahal 'pisau' di tangan Presiden Pas itu. Pecat sahajalah Presiden Pasma, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Kata Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, 'kami' ada bukti Phahrolrazi burukkan Pas. Maka, kalau serius, singkirkan sahaja Phahrolrazi.
Daripada isu Pasma, pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hudud, Pas nampaknya seakan-akan 'main wayang'. Sudahlah dihina oleh DAP dari segenap penjuru dalam isu-isu semasa dan sebelum ini termasuklah dalam isu 'pandangan bersifat perkauman' dalam mesej WhatsApp Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki tahun lepas, namun Pas termasuk Abdul Hadi tetap diam membatu. Di mana maruah Pas setiap kali berdepan dengan DAP?
Kalau adat orang berumahtangga, jika isteri sudah memanggil si suami dengan gelaran macam-macam, apa status suami itu. Dayuslah!
Orang Pas boleh susun balik komen-komen pedas dan tohmahan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua terhadap pemimpin terhormat mereka sebelum ini. Bukan sahaja Abdul Hadi, beberapa orang kuatnya juga terpaksa menerima penangannya.
Terbaharu, pertelingkahan antara Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP yang dikatakan belum disahkan jawatannya oleh ROS, Lim Guan Eng mengenai isu pilihan raya PBT. Perbalahan itu telah membuka pekung di mata rakyat betapa tiada kejujuran sesama pemimpin pakatan. Bohong-membohongi sesama sendiri, bolehkah nanti memerintah negara? Kes ini berlarutan sehinggakan Mustafa sendiri mahu mengeluarkan bukti bahawa Guan Eng berbohong apabila mengatakan dia telah bersetuju dengan pilihan raya itu.
"Isu sebenar adalah mudah, bahawa saya cabar Guan Eng (bersemuka) kerana dia menuduh saya tidak jujur dan saya katakan dia berbohong," kata Mustafa.
Namun begitu, menghairankan, atau mungkin sedikit rasa takjub, bagaimana pucuk pimpinan Pas masih boleh menempek parti mereka bersama seluruh ahlinya pada Pakatan Rakyat setelah begitu banyak tohmahan keras dan sinis terhadap pimpinan tertinggi Pas?
Malah, kalau diperhati ucapan penggulungan presiden pada sesi muktamar lepas, jelas sekali rasa tidak puas hati tuan presiden terhadap rakan Pakatan dan tentunya, sikap tersebut tidak habis begitu sahaja usai muktamar. Ramai dari luar sedar, Pas hakikatnya dalam keadaan gelisah berada dalam Pakatan Rakyat. Perbalahan dalaman mereka juga sampai terburai keluar ke khalayak umum.
Semakin lama Pas bersekongkol dalam Pakatan Rakyat, semakin jelas kebenaran dakwaan ramai terhadap Pas lama dahulu bahawa asbab tunggal Pas menyertai Pakatan Rakyat adalah mendapatkan kuasa memerintah Kerajaan Persekutuan. Tidak lebih daripada itu.
Tujuannya hanya kuasa, itulah yang menjadikan Pas bergelap mata sehingga sanggup membuang ahlinya yang berpegang kepada tunjang perjuangan Pas. Andai benar Pas sebuah parti politik yang berprinsip, semalam lagi Pas sudah menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan tidak seperti hari ini yang hidungnya sudahlah tak mancung, pipinya pula tersorong-sorong.
Bukan sahaja Abdul Hadi, beberapa orang kuatnya juga terpaksa menerima penangannya. Dalam musibah banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini, Mohd. Amar sendiri terpaksa menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa jentera kerajaan Pas Kelantan gagal berfungsi dan kononnya kerajaan negeri langsung tidak membantu mangsa.
Cuma, berbalik kepada 'permainan' Pas. Adakah parti itu mahu terus memainkan sentimen rakyat dan selama mana rakyat boleh 'diputarkan' dengan isu-isu lapuk kononnya berlaku pertelingkahan antara pemimpin Pas dan DAP?
Kalau sudah tidur sebantal dan mimpi lain-lain atau jika arah tuju serta prinsip perjuangan sudah berbeza, apa lagi mahu ditunggu oleh Pas? Kalau ada maruah, tidak dayus, isytiharkan sahaja keluar dari pakatan pembangkang.
Dalam isu pilihan raya PBT, tiga ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat tidak ragu-ragu menghentam Abdul Hadi yang mengaitkan pilihan raya PBT yang diingini DAP dengan rusuhan berdarah 13 Mei 1969.
"Apabila disebut oleh Presiden Pas, maka ramai yang terkejut dan tertanya-tanya," kata Khalid Samad. Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Parlimen Pas Sepang pula bukan sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi malah menyifatkan hujah yang mengaitkan dengan tragedi berdarah itu sebagai pelik. Seorang lagi, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengatakan, isu hudud atau pilihan raya PBT tidak seharusnya ditunggangi golongan sempit yang melihat semuanya dari kaca mata perkauman.
Sebelum ini pun dalam beberapa isu, ketiga-tiga individu ini sering mempersoalkan keputusan Majlis Presiden dan Majlis Syura. Namun tidak pernah pula dikenakan tindakan disiplin.
Adakah ini menunjukkan kelemahan Pas di bawah Abdul Hadi yang nampaknya tiada kawalan langsung ke atas pemimpin-pemimpin utama partinya? Begitu selesa mereka sewenang-wenangnya menghentam dasar parti secara terbuka, tetapi terlepas begitu sahaja.
Sebab itu jangan terkejut jika Abdul Hadi kemungkinan besar dicabar pada pemilihan parti pertengahan tahun ini. Sekarang pun mesyuarat agung cawangan Pas sedang berjalan dan Mac atau April ini menyusul mesyuarat agung kawasan.
Kumpulan Anwarinas terutamanya dikatakan telah mempersiapkan diri untuk bertanding dalam muktamar itu nanti, dengan 'barisan ulama' mereka dikatakan diwakili bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Ahmad Awang yang juga bekas pesuruhjaya Pas Perak. Ahmad akan menyaingi Abdul Hadi, dengan gandingannya, Husam untuk timbalan presiden. Ahmad cukup dikenali sebagai pendukung kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya menyertai Pas setelah ketua pembangkang itu dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998.
Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Khalid pula dipercayai akan mewakili Anwarinas untuk tiga Naib Presiden. Cuma persoalannya, ke mana Mat Sabu?
Dalam isu pilihan raya PBT, Mat Sabu yang juga ahli lembaga air Pulau Pinang sehingga hari ini pun belum menyatakan sebarang pendirian terhadap isu itu.
Laluan penuh ranjau terpaksa ditempuh Abdul Hadi untuk mengekalkan jawatan Presidennya. Dalam keadaan kesihatan juga tidak memihak dirinya, Abdul Hadi terpaksa akur dengan kumpulan yang 'berkiblatkan' Anwar manakala satu lagi berajakan DAP. Ini rahsia umum.
Seelok-eloknya dalam usaha mengukuhkan penguasaannya, Abdul Hadi perlu segera turun padang memperjelaskan kepada ahli akar umbi.
Dengan adanya kalangan penulis Harakah pun menggunakan portal propembangkang, Malaysian Insider untuk menghentam parti sendiri sehingga terpaksa dijawab oleh Mohd. Amar dalam isu banjir di Kelantan, sekali gus menyaksikan kempen pemilihan Pas telah bermula.
Dimulakan dengan penulis upahan daripada parti sendiri. Pekakah Abdul Hadi dengan bahaya ini?
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.