Cukup sekadar 'ribut dalam cawan'
AHMAD FARIS
25 Ogos 2015 1:11 AM
SERING kita mendengar peribahasa Inggeris, storm in a tea cup - namun sejauh manakah kita memahami maksudnya?
Dalam organisasi seperti UMNO, sering berlaku perselisihan pendapat dan pendirian ketika bermesyuarat. Jika pengerusi mesyuarat tidak dapat mengawalnya dengan bijaksana, keadaan akan menjadi hangat dan tegang. Inilah yang dinamakan 'ribut kecil yang bergelora dalam cawan'.
Yang menjadi masalahnya apabila ribut yang melanda menyebabkan air dalam cawan itu tertumpah keluar. Siapa yang rugi, siapa yang untung?
Ekoran pengguguran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet baru-baru ini, ramai yang tumpang semangkuk. Ini termasuklah bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang dikongsi dalam akaun Twitter miliknya: "Pelik kerajaan UMNO BN...". Namun, kalau Mujahid boleh cermin mukanya sendiri iaitu dengan kebobrokan dalam Pas sehingga membawa kepada pewujudan satu Gerakan Harapan Baharu, sudah tentu dia patut termalu alah sendiri.
Mujahid patut sedar pengguguran seorang Timbalan Perdana Menteri pernah terjadi semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika pemecatannya pada 1998, masih menyandang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Dari segi politik, Anwar telah merosakkan kelancaran perjalanan bos-mentor, Dr. Mahathir dan pada masa sama tidak berhati-hati mengenai perbuatan peribadinya.
Justeru, tidak salah sebenarnya sejarah berulang hari ini. Tidak salah Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan perkara serupa atas hak prerogatifnya sebagai Perdana Menteri. Ahli-ahli parti harus ingat bahawa sebuah kapal atau bahtera hanya ada satu nakhoda. Tidak boleh dua.
Najib telah melalui liku-liku cabaran politik sejak 1976, daripada cogan kata 'UMNO Bersatu Bersetia Berkhidmat' lagi. Najib nampak peluang dalam 1Malaysia untuk menyusun semula norma sosial ke arah pencapaian yang diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA).
Di bawah kepimpinan Najib, UMNO baharu disedarkan dengan satu rombakan kepada Perlembagaan dan pertukaran pucuk pimpinannya. Menjelang akhir Mac 2009, Perlembagaan baharu UMNO diputuskan, sistem kuota dihapuskan, membenarkan kemasukan lebih ramai ahli baharu, pelantikan pemimpin melalui pemilihan parti dari akar umbi dan beberapa pindaan lain yang inovatif.
Dalam UMNO, Najib mengutamakan kesetiaan dan seperti disebutkan beliau kelmarin, kesetiaan kepada parti adalah segala-galanya. Kritikan terhadap parti jangan dibuat di luar atau forum terbuka. Cukup sekadar 'ribut dalam cawan' dan jangan ada pihak 'tumpang semangkuk'.
Ahli UMNO pasti tidak akan lupa sewaktu krisis Dr. Mahathir-Anwar, Najib sebelum itu dikenali sebagai penyokong Anwar dalam satu pasukan yang dikenali sebagai 'Team Wawasan'. Demikian jugalah dengan Timbalan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga penyokong kuat Anwar pada suatu ketika.
Gandingan Najib-Ahmad Zahid (Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) merupakan penyokong Anwar tetapi mengapa mereka sanggup meninggalkan Anwar dan terus kekal dalam UMNO? Ketika krisis Dr. Mahathir-Anwar pada 1998, adakah ahli UMNO terfikir bahawa Ahmad Zahid setuju dengan tindakan Dr. Mahathir memecat 'mentor'nya itu? Namun, demi parti, beliau korbankan kehendak sendiri.
Malah, ahli UMNO jangan lupa juga bahawa Dr. Mahathir menjadi 'Mahathirisme' dalam banyak cara dan perkara. Dalam UMNO, disebabkan kepercayaan dan amanah yang menggunung tinggi disandarkan beliau kepada Anwar yang ketika itu baharu lima tahun berada dalam UMNO, telah mencetuskan krisis kepemimpinan yang paling diingati dalam sejarah parti itu apabila UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1988.
Dr. Mahathir ketika itu mengangkat kedudukan Anwar dalam parti dan kerajaan. Hal ini menyebabkan pembentukan 'Team B' dalam UMNO disegerakan, yang diketuai Datuk Musa Hitam (kini Tun) dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan pemimpin kanan lain termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dikenali Pak Lah (Perdana Menteri kelima) dan Tan Sri Dr. Rais Yatim mengisi barisan kedua dan ketiga pasukan ini.
Juga, bukan satu kebetulan, dengan apa yang dialami oleh Pak Lah, setelah beberapa tahun Najib menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir mulai menjadi pengkritik Najib yang utama. Banyak perkataan, komen dan metafora dilemparkan yang sedikit-sebanyak menggugat pentadbiran Najib. Bagaimanapun, selepas Pak Lah mengharunginya, senario ini tidak lagi asing, meskipun suatu perkara yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara, juga di negara-negara lain.
Apa pun yang berlaku, Kabinet adalah jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Sudah tentu, impian mutlak bagi seorang ahli politik adalah jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Tetapi jawatan cloud nine ini bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat bagi jawatan PM dan TPM.
Hakikatnya, politik di Malaysia sebahagian besarnya berasaskan perkauman, seperti kewujudan UMNO, MCA dan MIC. Ini sekali gus menjadikan peluang untuk mengejar impian menjadi seorang PM atau TPM sedikit dan tempoh jaraknya amat jauh. Lagipun, hakikat bahawa politik di Malaysia adalah suatu permainan jumlah bilangan, UMNO yang berasaskan orang Melayu akan kekal dalam asas pemilihan bagi tempoh yang panjang.
Umumnya, apabila seseorang ahli politik dilantik menteri, beliau seharusnya bergembira dan berpuas hati. Jika berkhidmat selama satu dekad, maka beliau dianggap telah tiba dalam bidang pilihannya. Urutan seterusnya bagaimana untuk terus bertahan walau apa yang berlaku. Dalam keadaan sekarang, UMNO tidak boleh lagi berpecah. Ini masanya untuk ahli-ahli bersatu dan memperlihatkan solidariti dan kesetiaan kepada parti.
'Ribut dalam cawan UMNO' baru-baru ini hanya suatu ujian kepada pucuk pimpinan untuk menilai siapa warlord yang bekerja untuk diri sendiri dan siapa yang benar-benar setia. Apabila tidak lagi berintikan kepentingan peribadi, kita tidak bising-bising lagi, maka tidak akan timbul isu.
Ahli UMNO tidak perlu menjadi seperti Anwar yang melontarkan pantun 'kesetiaan' di Perhimpunan Agung UMNO 1997 di PWTC, namun semua maklum 'gelora' hatinya saat itu. Berikut bait-bait pantunnya yang patut dijadikan teladan:
Angkut-angkut terbang ke langit,
Sampai di langit dimakan merbah,
Biar tertangkup bumi dan langit,
Setia saya tak akan berubah.
Dalam mencari-cari komen yang tepat mengenai kemelut Kabinet dan parti, penulis suka berkongsi pandangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang baharu, Datuk Hamzah Zainuddin:
"Walau apa yang berlaku, parti perlu diselamatkan dahulu. Ahli dan mana-mana pemimpin mesti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu".
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.
http://m.utusan.com.my/rencana/cukup-sekadar-8216-ribut-dalam-cawan-8217-1.128266
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.