Kerancuan pemikiran Noor Farida Arifin
Oleh: Prof. Madya Dr Khalif Muammar, CASIS UTM
(6 Julai 2015)
Ucapan Noor Farida Arifin, seorang pengasas SIS dan mantan duta di Belanda yang mengetuai G25, di London School of Economics menarik perhatian saya.
Dalam ucapan tersebut Noor Farida mengecam tindakan pemimpin-pemimpin Malaysia yang senantiasa memberi ruang bagi perkembangan Islam dalam kehidupan masyarakat. Fenomena Islamisasi yang berkembang ini jelas telah menyesakkan dada kelompok liberal dan sekular, dan kerana tidak tahan dengan perkembangan ini maka mereka telah menubuhkan G25 yang dianggotai oleh sekitar 50 mantan penjawat awam dan profesional. Bagi mereka jumlah ini sudah begitu banyak dan melambangkan majoriti sedangkan pada hakikatnya mereka hanyalah minoriti.
Strategi yang dilakukan oleh Noor Farida adalah memburuk-burukkan golongan yang menentang idea-idea liberal dan sekular yang dibawa olehnya dan rakan-rakannya. Strategi demonizing yang dilakukannya di hadapan masyarakat antarabangsa ini melampau. Beliau menggelar mereka sebagai "religious extremists" dan menggelar usaha yang mereka lakukan sebagai "creeping talibanization of Malaysia" dan meracuni pemikiran bangsa. Beliau tidak sedar dalam menentang kelompok yang ekstrimis itu ia telah terperangkap dalam satu lagi ekstrimisme iaitu ekstrimisme liberal. Kelompok ekstrimis liberal adalah kelompok yang memperjuangkan antara lain agar kerajaan membenarkan perkahwinan sesama jenis (gay dan lesbian) sebagaimana yang banyak berlaku di negara-negara Barat. Inilah yang dituntut oleh Irshad Manji dalam bukunya Allah, Liberty and Love yang menimbulkan kontroversi di Malaysia. Kelompok ekstrimis liberal juga memperjuangkan kebebasan bersuara (freedom of expression) yang mutlak termasuk kebebasan untuk memburuk-burukkan agama, memburuk-burukkan nabi Muhammad saw sebagaimana yang berlaku di Perancis, memburuk-burukkan institusi-institusi Islam seperti yang dilakukan oleh Eric Paulsen baru-baru ini. Semua ini boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan dalam masyarakat. Oleh yang demikian, kelompok inilah yang selayaknya disebut sebagai pelampau, kerana mahu memaksakan idea-idea liberal dan sekular mereka ke atas masyarakat, mereka lah yang sebenarnya telah melakukan "creeping liberalization of Malaysia" dan meracuni pemikiran bangsa.
Apa yang Kerajaan lakukan sebenarnya hanyalah melaksanakan tuntutan majoriti rakyat Malaysia yang mahukan Malaysia melaksanakan Islam dengan sempurna. Atas tuntutan inilah Tun Mahathir pada tahun 2001 mengishtiharkan bahawa Malaysia adalah Negara Islam mengikut definisinya sendiri. Untuk menguatkan perkara ini Tun Abdullah Badawi menggagaskan idea Islam Hadhari, meskipun ianya adalah idea yang keliru tetapi niatnya adalah mengemukakan citra Islam yang progresif dan berdaya maju. Di zaman kepimpinan DS Najib Razak pula kerajaan tetap bertegas mahu mempertahankan kesucian Islam dan melawan arus liberalisme dan pluralisme agama. Semua perkembangan ini bagi saya adalah amat baik dan kita menantikan perkara-perkara yang baik akan menyusul agar lebih bersesuaian dengan kehendak Islam dan sebagaimana disuarakan oleh ramai ulama' di Malaysia.
Namun demikian Noor Farida beranggapan bahawa kefahaman para ulama' di Malaysia ini tentang Islam adalah keliru, justeru kefahaman dialah yang betul. Hal ini sangat tidak masuk akal. Tidak dapat dibayangkan jika perkara seumpama ini berlaku dalam masyarakat Hindu, Budha atau Kristian, tidak mungkin ada orang awam dalam agama mereka mengkritik kefahaman agamawan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya hormatilah disiplin ilmu, tuntutlah ilmu dengan tekun sebelum berani mengkritik sesuatu ilmu itu. Noor Farida bertindak lebih berani daripada itu apabila beliau menyerlahkan kejahilannya tentang agama Islam, khususnya tentang hukum hudud. Beliau mengatakan bahawa "sangatlah tidak adil apabila seorang pengusaha yang mencuri harta awam dibebaskan sedangkan seorang penganggur yang mencuri untuk memberi makan keluarganya dipotong tangan". Beliau jelas tidak mengerti bahawa hudud dilaksanakan untuk semua kalangan tanpa mengira miskin atau kaya, bangsawan atau rakyat biasa. Justeru di antara syarat pelaksanaan hudud adalah tiadanya shubhat, kerana itu Sayyidina Umar pernah menangguhkan pelaksanaan hudud pada musim kemarau ketika seseorang itu mencuri kerana survival. Kerana itu persoalannya bukanlah sama ada hudud itu adil ataupun tidak tetapi sejauh manakah Negara kita bersedia melaksanakan hudud agar pelaksanaannya benar-benar menjamin keadilan bagi semua pihak.
Tindakan Noor Farida yang mengkritik institusi-institusi Islam di Malaysia semestinya disukai oleh institusi-institusi Barat yang mahukan nilai-nilai liberal diterima oleh masyarakat dunia. Oleh kerana itu orang-orang seperti ini sentiasa mendapat tempat di sana dan mendapat pujian yang tinggi, di sebalik pujian dan sokongan itu tanpa disedari sebenarnya mereka telah menjadi bidak-bidak di papan catur tangan-tangan asing yang ingin menguasai negara umat Islam secara halus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.