Pages

09 Februari 2016

Kerjasama PDRM, ASWAJA sekat ideologi IS


Isnin, 8 Februari 2016 - 7:04PM

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

mohd_iskandar@bh.com.my




ZAMIHAN (kanan) dan Khalid pada penutupan Kursus 'Training of Trainers' Bahaya Militan Islamic State, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) bagi melatih penceramah agama untuk menangani penyebaran ideologi pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kerjasama itu memudahkan golongan ilmuan agama mendekati masyarakat untuk berdakwah berkaitan isu keganasan, terutama membabitkan kumpulan militan IS.

"Dunia tanpa sempadan menjadikan fokus keselamatan beralih kepada sesuatu yang lebih kompleks dan mencabar apabila membabitkan penggunaan teknologi maklumat yang lebih cepat dan berkesan, sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan negara.


"Justeru, PDRM mengambil langkah proaktif menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani penyebaran ideologi militan IS, yang kini menjadi ancaman terbesar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Kursus 'Training of Trainers' Bahaya Militan Islamic State, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Presiden ASWAJA, Dr Zamihan Mat Zin.

Kursus anjuran ASWAJA selama tiga hari bermula Sabtu lalu bermatlamat menyelaras maklumat berkaitan kumpulan militan IS, selain memantapkan kefahaman penceramah ASWAJA dalam isu berkaitan dan mengenal pasti permasalahan serta penyelesaian.

Khalid berkata, kerjasama pertama seumpamanya itu membolehkan PDRM berkongsi maklumat bersama penceramah ASWAJA untuk disampaikan kepada masyarakat melalui pendekatan ilmiah.

Sementara itu, Khalid berkata, polis sudah menahan 157 suspek disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan militan IS sejak Februari 2013 hingga kini, dengan 25 orang daripadanya adalah wanita.

"Polis akan terus melancarkan operasi pembanterasan bagi memastikan sebarang cubaan untuk melancarkan serangan di Malaysia dapat dipatahkan," katanya.




sesi sidang media semalam 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.