Peserta Program Mantap Di Seluruh Negara Kukuhkan Kerusi BN - Ahmad Zahid
Timbalan perdana menteri berkata program di bawah Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) itu adalah sebuah wadah yang penting bagi memastikan kejayaan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.
"Dalam tempoh empat tahun ini, pelbagai program telah kita laksanakan dan kemuncaknya adalah pada PRU. Jika apa yang dilakukan sekarang tidak memberi sebarang kesan, ia hanya akan jadi seperti air yg dicurah ke daun keladi," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Mantap 6 di Menara Parlimen di sini Selasa.
Seramai 98 pelatih diraikan pada majlis itu dan daripada jumlah itu, 13 peserta ditawarkan untuk kekal bertugas dengan anggota-anggota Parlimen termasuk tiga orang menteri dan dua orang timbalan menteri.
Daripada 98 pelatih itu 68 adalah penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA), 22 orang daripada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan lapan orang daripada Kelab Umno Luar Negara (KULN).
Program Mantap telah masuk edisi ke-6 sejak diperkenalkan pada tahun 2010.
Dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, matlamat utama Mantap adalah menjadikan golongan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara di samping menggalas suatu tuntutan masyarakat untuk meremajakan kepimpinan dalam BN.
Ia juga bertujuan memberi peluang dan ruang kepada golongan mahasiswa untuk memahami dan menghayati bidang tugas seorang anggota Parlimen.
Program Mantap merupakan satu program kepimpinan yang diadakan hampir setiap tahun sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.
Para pelatih mula bertugas bersama anggota-anggota Parlimen pada 17 Okt-23 Nov 2016 manakala Majlis Penyerahan Pelatih Mantap 6 kepada anggota Parlimen disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Okt di Seri Perdana, Putrajaya.
-- BERNAMA
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan