Pages

13 November 2016

Exco Kelantan Sahut Debat Bekas ADUN PAS Datuk Husam


Nassuruddin sahut debat Husam

MURNI ABDUL RASHID12 November 2016

KOTA BHARU - 'Perang' antara Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud dan Adun Salor, Datuk Husam Musa dijangka berpanjangan apabila kedua-duanya dijangka berada sepentas bagi membahaskan isu baiah.

Nassuruddin berkata, beliau bersedia menyahut tawaran berdebat bagi menyatakan pandangannya berkaitan isu baiah yang mengandungi sumpah setia ahli Pas, termasuk mereka yang dipecat perlu meletak jawatan sebagai Adun.

"Wajib menunaikan dan menjaga amanah, haram  bagi kita mengkhianatinya lebih-lebih lagi melibatkan jawatan, kena jaga baik-baik.

"Kita (wakil rakyat Pas) ada baiah, sumpah dan taklik, tiga ini pengikat tapi ada yang sempat lagi lompat (parti), lompat pula bawa 'kerusi' sekali, tak boleh nak lepas," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Terdahulu semasa sidang Dun minggu lalu, Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan  mahu Nasuruddin bersedia untuk berdebat berhubung isu baiah kerana ruang dalam persidangan itu terhad untuk membincangkan isu tersebut.

Ketika sesi penggulungan sidang Dun tersebut, Nassuruddin turut membaca isi kandungnya baiah yang mengandungi sumpah taat setiap calon Pas yang dibuat di hadapan bekas Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nasuruddin yang juga Adun Meranti berkata, sumpah setia itu  bukan perkara remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan sumpah dan hukum agama.

"Ini bukan main-main, dalam debat nanti saya akan tanya dia (Husam) ambil dari nas, hadis dan al-Quran mana kata tidak menjadi masalah langgar tiga perkara itu. Jangan khianati amanah ALLAH , amanah Rasul sedangkan kita tahu perbuatan itu salah.

"Kita kalau kasih pada perjuangan Islam kena ikut cara Tok Guru, beliau jadi wakil rakyat Pas sejak tahun 1967 lagi, walaupun berlaku pergolakan dalam parti ditambah dengan masalah pimpinan keluar dari Pas bersilih ganti tetapi Tok Guru tetap istiqamah dengan Pas sehingga akhir hayatnya," katanya.

Dalam ceramahnya itu, Nasuruddin turut menjawab isu potongan elaun yang dibangkitkan oleh Husam semasa sidang Dun tersebut.

"Ini tidak dituduhnya macam-macam seperti mempersoalkan kenapa Pas hingga ke hari ini masih potong elaun dia sebanyak 20 peratus, parti tidak boleh potong tanpa kebenaran wakil rakyat itu sendiri.

"Parti tak ada hak hantar surat kepada bahagian kewangan kerajaan kecuali wakil rakyat sendiri yang hantar surat pemotongan elaun tersebut. Sejak dulu lagi Tok Guru minta semua wakil rakyat Pas potong elaun untuk disalurkan kepada parti malah beliau potong lebih dari itu," katanya.

Katanya, mana-mana wakil rakyat yang tidak mahu meneruskan pemotongan elaun boleh melakukannya sendiri dengan menghantar surat pembatalan.

"Sama seperti nak bercerai, takkan nak suruh orang lain ceraikan sedangkan itu perkahwinan kita. Jangan kaitkan dengan Pas, dia sendiri tak betul, yang penting kita istiqamah dengan perjuangan Islam," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.