BANGI, 23 Nov – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan sesi taklimat khas Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) untuk Anggota Parlimen beragama Islam di Parlimen semalam, berlangsung dalam suasana 'hangat' pada mulanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata namun, keadaan itu tidak berlanjutan apabila kesemua Anggota Parlimen berkenaan menerima penjelasan kerajaan bahawa RUU 355 adalah berkaitan usaha memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukannya mengenai pelaksanan Hudud, seperti yang dibimbangi sebahagian mereka.
"Walaupun negara kita cuba dipetak-petakkan dengan pelbagai fahaman, kita beruntung kerana atas nama Islam semua Anggota Parlimen beragama Islam boleh mengetepikan fahaman, pegangan dan ideologi politik untuk duduk bersama dan berbincang.
"Pada peringkat awal, sesi berlangsung agak hangat kerana mereka kurang faham tetapi apabila penjelasan dibuat, mereka pula sebaliknya mengatakan mengapa penjelasan tidak dibuat dari dahulu, dan kita pula berkata kenapa mereka tidak tanya dari dulu," katanya sambil disambut tepukan hadirin.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena sambutan jumbli emas Darul Quran Ke-50 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Seri Othman Mustapha.
Ahmad Zahid berkata taklimat khas itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dihadiri Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), PAS, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak bermaksud menggunakan 'pentas' majlis itu untuk bercakap hal yang dianggap sebagai perkara politik tetapi ingin menjelaskan bahawa taklimat khas itu dibuat atas kapasiti untuk memartabatkan perundangan Islam.
"Kenapa orang bukan Islam perlu merasa takut, hendak risau kenapa…sebab ini untuk orang Islam, tidak menyentuh orang bukan Islam pun.
"Kenapa orang Islam mesti disalahkan kalau kita cuba mempertingkatkan martabat dan sistem perundangan Islam. Apakah satu kesalahan jika langkah itu dapat memastikan hakim-hakim syariah dinaik taraf daripada gred 54 ke Jusa C, B, A dan sebagainya," kata beliau.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan supaya mereka yang menentang RUU 355 supaya menghormati hal berkaitan perundangan Islam dan memahami bahawa ia adalah undang-undang Islam dan hanya untuk umat Islam.
"Kalau mereka tidak faham kita akan jelaskan, rundingi tetapi jangan tentang sebelum faham dan memberikan persepsi berlainan berkenaan rang undang-undang itu," katanya.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Ketua Whip BN dilaporkan berkata bahawa rang undang-undang itu, yang dibawa oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang hingga mencetuskan pelbagai andaian dan perdebatan banyak pihak, akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang akan berakhir esok.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan