Pages

13 Februari 2018

TPM @Zahid_Hamidi, empat lagi berjaya batal saman Hindraf Kepada Dr Zakir Naik | Harian Metro

TPM, empat lagi berjaya batal saman Hindraf | Harian Metro

TPM, empat lagi berjaya batal saman Hindraf

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan empat lagi, berjaya membatalkan saman pemula yang difailkan pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waytha Moorthy bersama-sama 18 individu lain berkaitan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ahmad Zahid, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan untuk membatalkan saman itu.

Peguam Adnan Seman yang mewakili Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali sebagai pencelah di dalam kes ini ketika ditemui berkata, mahkamah memutuskan permohonan itu sebagai remeh dan menyusahkan.

"Plaintif memohon perisytiharan penceramah terkenal itu sebagai ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini serta perlu ditangkap serta-merta.

"Bagaimanapun Hakim Azizah berkata, permohonan itu ditolak kerana plaintif tidak menamakan Dr Zakir sebagai pihak di dalam kes ini. Mahkamah mengingatkan dakwaan terhadap Dr Zakir ini adalah serius, oleh itu dia perlu dijadikan pihak di dalam kes ini, supaya dia boleh membela dirinya," katanya.

Berhubung dakwaan Dr Zakir tidak layak mendapat pemastautin tetap, beliau berkata, Hakim Azizah memutuskan bahawa plaintif tidak boleh mencabar status itu kerana seseorang perlu diberi hak untuk didengar.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM5,000 terhadap semua defendan.

Semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal manakala semua plaintif diwakili peguam, S Karthigesan.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui mengucapkan syukur dengan keputusan mahkamah itu dan ia sekaligus membuktikan bahawa pendakwah itu adalah salah seorang tokoh antarabangsa yang bersih.

"Selama ini cuba digemburkan oleh pihak tertentu dan memberi gambaran yang buruk kononnya ceramah beliau memberi rangsangan kepada golongan pengganas dan ini tidak benar sama sekali.

"Persepsi yang diwujudkan untuk memburukkan beliau adalah satu agenda tersirat oleh pihak tertentu. Dengan ini saya harap beliau dapat bergerak dengan bebas, memberi ceramah dan tidak digantung," katanya.

Beliau juga berpendapat, semua pihak boleh datang ke mahkamah untuk menuntut keadilan tetapi tidak boleh menyalahgunakannya untuk mencari publisiti.

Saman pemula difailkan pada 1 Mac 2017 oleh Waytha Moorthy bersama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam permohonan itu, mereka menuntut perintah perisytiharan penceramah terkenal itu adalah ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini serta perlu ditangkap serta-merta.

Plaintif turut mendakwa Dr Zakir menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.



Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Berikan pendapat anda sebanyak di sini.

Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..

Tapisan tidak dibuat di blog ini.

Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.