TN50 ubah wajah Bagan Datuk
SERDANG: Sembilan kluster menjadi fokus pembangunan di Bagan Datuk, Perak sebagai inisiatif menaik taraf seiring Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan peruntukan RM2.3 bilion, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11 itu adalah bagi kluster membabitkan jaringan perhubungan, pendidikan, perumahan rakyat, industri, pelancongan, keselamatan, kesihatan, sukan dan agama.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, apa yang dilakukan itu adalah demi manfaat generasi akan datang.
"Ini persediaan kita untuk 32 tahun akan datang menuju Transformasi Nasional 2050 dan pada waktu itu, saya pun tidak ada lagi.
"Apa yang kita buat bukan untuk diri kita tetapi untuk cucu-cucu kita. Ertinya, kita lakukan perubahan bukan untuk kepentingan diri kita saja, kita sediakan pembangunan ini untuk anak cucu kita.
"Ini adalah amanah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Bukan untuk saya, tapi untuk pengundi, rakyat Bagan Datuk. Peruntukan ini untuk bangunkan kawasan ini. Ia adalah kebenaran dan bukan lagi impian," katanya pada majlis Aspirasi TN50 @Bagan Datuk di MAEPS di sini, hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.
Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan hasrat membina terowong dasar laut menghubungkan Semenanjung dari Bagan Datuk dengan Sumatera, Indonesia.
Beliau berkata, projek itu dirancang menerusi inisiatif swasta membabitkan pelaburan AS$20 bilion (RM78 bilion), yang dilihat dapat meningkatkan jaringan perhubungan antara kedua-dua negara serta Asia Tenggara.
"Secara dasarnya, ia sudah dipersetujui namun masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana perlu mendapat kelulusan kerajaan Malaysia dan Indonesia, kerajaan negeri, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) selain wajib memenuhi protokol antarabangsa.
"Bagan Datuk dinilai untuk menjadi lokasi pilihan di Semenanjung kerana terowong itu mahu disambungkan dengan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat yang dijangka siap menjelang 2020.
"Kajian fizikal sudah mendapat kelulusan secara dasar tetapi masih memerlukan penilaian EIA manakala pelabur yang berminat perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Malaysia dan Indonesia," katanya.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan awal RM250,000 untuk mencari dan mengasah bakat tempatan dari Bagan Datuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.
Sementara itu, antara pengisian kluster yang dinyatakan ke arah mengubah imej Bagan Datuk ialah peningkatan jaringan perhubungan menerusi pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop, peluasan jalan empat lorong, naik taraf jeti dan jambatan pintasan Hutan Melintang fasa satu serta dua.
Bagan Datuk juga bakal mempunyai sebuah politeknik, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta sebuah perpustakaan digital.
Sektor perumahan turut diberi perhatian apabila 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 1,039 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina yang dijangka siap pada 2021.
Bagan Datuk bakal mempunyai kilang pemasangan komersial susulan persetujuan sebuah syarikat automotif beroperasi di situ, manakala Taman Perindustrian Berat Negeri Perak (PHIP) dijangka turut bertapak di kawasan yang kaya dengan pokok kelapa itu.
Dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan, bangunan ibu pejabat polis daerah (IPD) Bagan Datuk akan siap dibina pada November 2021.
Ke arah menggalakkan gaya hidup sihat, sebuah kompleks sukan akan dibina dan dijangka siap pada 2021 manakala Masjid Tuminah Hamidi yang dalam pembinaan bakal siap tahun depan sebagai pengisian imbangan ukhrawi dan duniawi.
Menyedari keperluan masyarakat pelbagai kaum, sebuah krematorium akan dibina bagi kemudahan golongan India dan pembelian tanah untuk pembinaan tokong dibuat untuk manfaat kaum Cina di Bagan Datuk.
Antara projek yang sudah siap ialah kawasan riadah orang ramai seperti Bagan Datuk Waterfront, Jeti Bagan Datuk dan dua Taman Rekreasi Kanak-Kanak di Hutan Melintang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan