Mahkamah tolak permohonan Dr. Mahathir supaya hakim tarik diri
KUALA LUMPUR 17 Mei - Permohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Hakim Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar saman pemulanya untuk mencabar hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing (forex) berjumlah RM31.5 bilion ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim itu membuat keputusan itu atas alasan, Perdana Menteri mesti menunjukkan bahawa wujud bahaya berat sebelah yang nyata dan bukan hanya berdasarkan syak wasangka yang munasabah semata-mata.
Pengerusi PPBM itu sebelum ini mengemukakan permohonan supaya Hakim Azizah menarik diri atas alasan beliau sebelum ini pernah mendengar permohonan semakan kehakiman Dr. Mahathir untuk membatalkan pelantikan dua anggota suruhanjaya tersebut.
Dr. Mahathir mengemukakan saman pemula itu pada 9 Ogos tahun lalu untuk membatalkan keputusan RCI yang dibuat pada 8 Ogos tahun sama bagi membatalkan pelantikan Pengerusi, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan seorang daripada anggota suruhanjaya siasatan itu, Tan Sri Saw Choo Boon sebagai anggota suruhanjaya itu.
Hakim Azizah pada 17 Ogos tahun sama bagaimanapun menolak permohonan Dr. Mahathir untuk membatalkan keputusan RCI yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan pelantikan dua anggota suruhanjaya berkenaan selepas berpendapat bahawa keputusan itu adalah betul. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.