MASA TERBAIK PULIHKAN UMNO
MUKADIMAH
TERDAPAT dua peristiwa menarik melibatkan DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Pertama sebagai Naib Presiden, beliau telah diamanahkan menjalankan tugastugas Timbalan Presiden apabila penyandang jawatan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.
Apabila PRU-14 berakhir, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini berhadapan dengan satu lagi cabaran apabila dipertanggungjawabkan menjalankan tugas-tugas Presiden apabila Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan berikutan kekalahan teruk yang dialami oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Maknanya, Ahmad Zahid mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama perlu memangku dua jawatan penting dalam UMNO dan sekarang beliau menawarkan diri untuk menjadi Presiden UMNO.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID, bekas Timbalan Perdana Menteri itu membentangkan hujah kenapa beliau bertanding jawatan tersebut dan menggariskan langkah yang akan beliau lakukan bagi memperkasakan semula UMNO.
MINGGUAN: Apabila Datuk Seri menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden, ramai pihak memandang sinis keputusan tersebut. Mereka melihat Datuk Seri juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14. Sebenarnya apa yang mendorong Datuk Seri untuk tetap bertanding jawatan tersebut?
ZAHID HAMIDI: Ia satu kebertanggungjawaban. Sewaktu peralihan kepimpinan daripada Datuk Seri Najib Razak kepada saya selepas tamparan hebat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia satu keadaan yang sukar, dilema, perit dan kesengsaraan.
Saya bulatkan tekad dan hati bahawa ini bukan masanya untuk berundur. Mengapa waktu senang, kita boleh bersama-sama dalam satu saf, tetapi apabila berlaku waktu susah, tetiba hendak melarikan diri atau mengundurkan diri?
Saya ketika itu memikul tanggungjawab tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden dan apabila Presiden (Najib) membuat keputusan untuk mengundur, maka saya pada ketika itu pemimpin pilihan yang ada.Kedudukan saya juga (memikul tanggungjawab tugas-tugas Timbalan Presiden) telah menolak saya ke arah satu tanggungjawab yang cukup besar iaitu menjalankan tugas-tugas sebagai seorang Presiden UMNO.
Dua tiga minggu yang penuh dengan cabaran, keperitan, kepayahan, kesengsaraan, kesukaran, konflik kepimpinan dan permainan emosi serta diplomasi yang begitu tinggi tekanannya telah saya lalui dalam tempoh yang singkat itu.
Apabila diminta akar umbi untuk pemilihan UMNO kali ini dibuka pintu seluas-luasnya, saya berasakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul kerana saya telah memikul tanggungjawab sebagai seorang Pemangku
Presiden yang telah, sedang dan masih membaiki dan membaik pulih bahtera UMNO yang hampir karam ini.
Inilah masa terbaik saya untuk tampil ke depan demi kelangsungan masa depan parti keramat ini yang berusia 72 tahun. Waktu kepayahan inilah saya berasakan tidak rela diketepikan begitu sahaja.
Walaupun UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kuasa memerintah tetapi jumlah calon yang menawarkan diri untuk bertanding termasuk di peringkat bahagian, begitu ramai sekali, apa komen Datuk Seri terhadap senario ini?
ZAHID HAMIDI: UMNO dan Barisan Nasional masih memerintah di dua negeri iaitu Perlis dan Pahang. Di Sarawak pun, parti pemerintah masih friendly dengan kita yang selama ini telah menyokong mereka.
Kita berlapang dada dan kita memahami akan tindakan rakan kita di Sarawak. Walaupun kuasa memerintah itu sudah tidak menyeluruh atau total, namun UMNO dan BN masih mempunyai kuasa dan pengaruh sebagai king makers di peringkat Parlimen.
Kita mempunyai 78 kerusi (BN) dan daripada jumlah itu, UMNO mempunyai 54 kerusi. Sebagai parti tunggal, UMNO yang terkuat. Atas faktor-faktor itu, sudah tentu UMNO masih mempunyai tarikan yang kuat bagi menampilkan pemimpin yang baharu, pemimpin yang segar, pemimpin yang mempunyai visi, pemimpin berpengalaman yang ada visi pembaharuan serta pemimpin muda yang dinamik.
Fenomena sedemikian jelas menunjukkan demokratik UMNO lebih terserlah berbanding parti-parti politik lain termasuk parti politik yang memegang tampuk kerajaan yang baharu.
Sebab itu, ramai ahli parti UMNO yang berminat menabur bakti, kudrat, idea dan sebagainya, sekali gus menunjukkan UMNO tidak ketandusan kepimpinan walaupun dalam keadaan yang tidak menentu.
Semua calon yang bertanding menyatakan mereka mahu membawa perubahan dan mengubah UMNO, tetapi apakah maksud perubahan itu sebenarnya. Apakah semata-mata ia berkisar soal memilih pemimpin baru sahaja dan UMNO yang hanya dilihat berubah jika meletakkan pemimpin muda sebagai pemimpin utama, boleh Datuk Seri ulas perkara ini?
ZAHID HAMIDI: Semua orang mahukan perubahan. Ini proses normal malahan dalam kepimpinan politik pun, setiap perubahan itu perlu diketengahkan khususnya dalam 100 hari.
Tetapi apakah perubahan atau berubah itu perlu dilaksanakan 360 darjah sekali gus? Bercakap bagaikan bintang dan setinggi langit bolehlah, tetapi setakat mana keupayaan itu ?
Saya merasai kebertanggungjawab itu selaku pemangku Timbalan Presiden dan pemangku Presiden parti keramat ini, dan ia tidak semudah yang disangka tetapi boleh dilaksanakan.
Setiap calon mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Itu adat tetapi soalnya sekarang ialah kebijaksanaan ahli parti memilih siapa yang hendak memimpin mereka selepas ini.
Dalam keadaan UMNO yang hampir lemas, hampir karam, hampir rosak, hampir tersungkur, calon yang tampil ke depan adalah calon yang berani.
Ada calon yang berpengalaman, ada calon yang muda dan ada calon yang datang dari kilang akar umbi yang menaiki proses tangga satu persatu. Ada calon dari anak kampung, ada calon yang agamawan, ada calon yang intelektual, ada calon yang teknokrat, bangsawan dan kerabat diraja.
Semua ini mempunyai visi dan misi, tetapi kita kena ingat, ahli parti yang bakal menentukannya.
Bercakap soal perubahan, rakyat mengaitkan pemimpin-pemimpin UMNO dengan soal integriti malah Datuk Seri sendiri tidak terlepas dikaitkan terutamanya ketika mengendalikan Kementerian Dalam Negeri apabila dikatakan memberikan permit kemasukan pekerja Bangladesh kepada adik sendiri, bagaimana Datuk Seri mahu berhadapan dengan isu seumpama ini?
ZAHID HAMIDI: Soal integriti sentiasa tersemat dalam hati naluri saya. Memang aspek integriti menjadi prinsip dalam setiap tindak-tanduk saya selama ini. Apabila ada orang mempersoalkan, termasuk diri saya, ini bermakna daya kepimpinan dan keserlahan idea dan penerimaan kita kepada rakyat atau umum telah mendahului orang-orang yang mempertikaikan kita.
Apabila mereka mula mempersoalkan integriti kita, bermakna hasad dengki, fitnah dan tohmahan menjadi senjata mereka untuk menimbulkan persepsi yang tidak baik.
Dari segi moral, kita sebenarnya sudah menang kerana ada pihak lain sudah mengakui akan kerja kita yang menunjukkan keberkesanan dan kebaikan kepada rakyat.
Sebab itu pihak tertentu ini menimbulkan persepsi dan berharap dapat mempengaruhi minda orang yang berada di luar untuk mempercayainya.
Saya tidak takut ini semua kerana kita berpaksikan kepada kebenaran dan bagaimana kita menguruskan kebenaran itu menjadikan senjata untuk kita menangkis semula terutama pada era sekarang yang menggunakan media sosial baharu sebagai lapangan lemparan fitnah dan berita yang tidak benar ini.
Penganalisis melihat berdasarkan kepada track record sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, mereka mengandaikan Datuk Seri bukanlah orang yang layak untuk memulihkan UMNO dan Barisan Nasional, adakah Datuk Seri terganggu dengan komen-komen seumpama ini?
ZAHID HAMIDI: Inilah persepsi jahat yang cuba dimomokkan oleh pihak tertentu. Jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah satu jawatan Eksekutif. Ia berlainan tanggungjawab dan peranan dalam Eksekutif dan parti politik.
Dalam parti politik, sayalah satu-satunya Naib Presiden yang memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas sebagai pemangku Timbalan Presiden dan pemangku Presiden UMNO.
Malahan saya memikul tanggungjawab ini sebelum dan selepas PRU-14. Waktu memerintah dan tidak memerintah. Waktu senang dan kepayahan.
Pemimpin mana yang ada kesanggupan mengharungi dua keadaan yang jauh berbeza ? Hanya Allah SWT sahaja mengetahui isi hati dan jiwa ini mengharungi keadaan sedemikian.
Apabila jiwa kita kuat dan kental dalam mengharungi keadaan-keadaan sebegini, komen-komen ini kita tolak ke tepilah kerana tidak membantu langsung. Saya mempunyai pendekatan tersendiri dan setakat ini, pucuk pimpinan parti UMNO, ahli parti dari pelbagai sayap dan komponen parti BN menerima dengan baik.
Walaupun UMNO berjaya menguasai 54 kerusi Parlimen tetapi satu perkara yang perlu diakui ada dalam kalangan ahli UMNO sendiri tidak menyokong Barisan Nasional disebabkan kecewa dengan gaya kepemimpinan parti. Pada pandangan Datuk Seri apakah kelemahan dari segi kepemimpinan yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan perasaan kecewa itu berterusan?
ZAHID HAMIDI: Menyokong dan sokongan adalah satu perkara yang subjektif. Untuk memupuk ketaatan bukan suatu kerja yang mudah. Malah ada yang melihat ketaatan itu punca kekalahan
Waktu senang, semua orang menyokong. Ketika itu, ada sesiapa yang menyuarakan secara kritis sama ada sokongan itu ikhlas atau sebaliknya ? Waktu senang, semuanya rasa selesa tetapi waktu susah, ada yang lari, ada yang diam, ada yang kecewa, ada yang berpaling tadah, ada yang masih taat, ada yang memberi sokongan, ada yang masih syak-wasangka
Saya tidak nafikan ramai yang kecewa atau frust. Anda ingat saya tidak kecewa ke? Tetapi sudah tentu ramai yang masih sayang dan sokong parti UMNO ini. Tetapi cara kita menguruskan kekecewaan itu penting. Kita diberikan akal dan minda, maka susun-aturkan molek-molek, elok-elok, dan lakukan dalam keadaan tenang dan waras. Jangan buat keputusan apabila kita beremosi dan panas hati.
UMNO sudah acapkali atau beberapa kali melalui zaman kepayahan dan ancaman yang berterusan. Dulu kita ada Perikatan dan apabila mendepani krisis kepercayaan, kita ubah nama lalu menjadi Barisan Nasional.
Sekali lagi, kita mendepani krisis kepercayaan, adakah kita akan tukar nama kerjasama parti-parti dalam Barisan Nasional? Perkara ini perlu dibawa berbincang selepas adanya kepimpinan UMNO yang baharu.
Sudah ada cakap-cakap bahawa pemilihan UMNO kali ini tetap akan dicemari dengan politik wang, apa komen dan gesaan Datuk Seri kepada perwakilan?
ZAHID HAMIDI: Cakap-cakap inilah yang selalu menyebabkan persepsi umum memandang UMNO sebagai parti yang kotor, suka main wang, Cash Is King serta punya calon dan pemimpin yang tidak bersih.
Jawapan saya mudah, tolak politik wang. Sifar Politik Wang. Soalnya sekarang bukan UMNO yang perlu sifar politik wang. Parti-parti politik lain pun kena sifar politik wang. Bersih sangat ke mereka itu?
Datuk Seri baru-baru ini berharap pemilihan kali ini tidak akan mengulangi pemilihan tahun 1987. Oleh itu, apakah pesanan Datuk Seri kepada calon dan juga perwakilan?
ZAHID HAMIDI: Jangan ada perpecahan akibat dengki, fitnah, tohmahan, busuk hati, jiwa yang kacau, pemikiran yang huru-hara, kepentingan peribadi dan agenda tertentu.
Jauhilah, insya-Allah pemilihan kali ini dalam suasana kekeluargaan dan harmoni.
Yang penting jangan biarkan orang di luar parti kita, menyibuk dan mengatur-atur orang UMNO pula.
Akhir sekali, seandainya ditakdirkan Allah SWT, Datuk Seri yang secara ikhlas menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Presiden gagal memenangi jawatan itu, ke mana hala tuju politik Datuk Seri selepas itu?
ZAHID HAMIDI: Dalam Islam, kita diajar dan mempercayai qada dan qadar. Sesungguhnya qada dan qadar adalah satu daripada Rukun Iman yang wajib diimani setiap orang Islam.
Namun qada terbahagi kepada dua iaitu qada mubram dan qada muallaq iaitu:
i) Qada mubram adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu. Contohnya mati pasti akan berlaku.
ii) Qada muallaq pula adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku, bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya panjang usia bergantung kepada amalan berbuat baik kepada ibu bapa
dan menghubungkan silaturahim.
Dalam politik pun bergantung dalam keadaan-keadaan yang saya sebutkan tadi. Sama ada pasti berlaku atau mengikut ketentuan yang tidak semestinya berlaku dalam soal qada.
Bagi qadar pula, ia satu ketentuan atau sukatan azali bagi setiap makhluk yang tertulis di Luh Mahfuz. Semua perkara dalam pengetahuan Allah SWT.
Segala perbuatan hamba adalah diketahui Allah. Hanya ia terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-Nya yang lemah. Sebab itu kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepada-Nya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
Maka saya berserah kepada Allah SWT dalam menentukan untung nasib dalam perjuangan kerana saya sudah berusaha, tawaduk, melaksanakan sesungguh hati, ikhlas, berserah jiwa raga dan niat yang betul. Seterusnya kita bertawakal dan berdoa.
Firman Allah dalam surah ar-Ra'd, ayat 11 bermaksud: "...sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
"Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, serta tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.