KENYATAAN MEDIA
1. Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau SOSMA, dipandang berat oleh UMNO.
2. Penggubalannya yang semata-mata bertujuan menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara, tidak langsung menyentuh soal politik individu.
3. Antara elemen pentingnya ialah kesalahan yang menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan perbuatan yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
4. Berbanding dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh beliau sebagai Perdana Menteri ke-4 (yang membabitkan penahanan tanpa bicara), pesalah SOSMA tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Malah, ada peruntukan bahawa perbicaraan perlu diadakan di Mahkamah Tinggi. ISA tiada perbicaraan selama 2 tahun manakala penahanan di bawah SOSMA hanya 28 hari sahaja kemudian perlu dibicarakan.
5. UMNO ingin mempersoalkan logik langkah pembatalan ini dalam menjamin ketenteraman awam, sedangkan sudah wujud tindakan pihak tertentu untuk mencabar institusi Raja-Raja Melayu dan melaga-lagakan kaum sejak Pakatan Harapan memerintah.
6. Pembatalan SOSMA akan membuka lebih banyak ruang kepada sesetengah pihak untuk meningkatkan provokasi kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan internet.
7. Dengan cadangan untuk menarik balik undang-undang 'draconian' yang beliau sendiri pertahankan di antara tahun 1981 dan 2003, dikhuatiri negara akan lebih terancam dengan meledaknya era 'free for all' internet dan media massa, serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam.
8. Ditambah pula dengan hasrat melupuskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Anti-Berita Palsu 2018, kerajaan nampaknya mahu menggalakkan provokasi dan sentimen agama, kaum dan politik di dalam negara.
9. UMNO khuatir ada pihak yang menunggu peluang ini bagi menyebarkan hasutan serta dakyah di kalangan rakyat. Kesannya amat menakutkan, dan rakyat tidak lagi akan berasa selamat dalam suasana sedemikian.
10. Harus diingat, zaman Perdana Menteri ke-4 ialah era analog, era di bawah Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula ialah zaman digital dan Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tugas di zaman siber.
11. Negara kini berdepan ancaman keselamatan yang dikawal jauh atau "remote control" secara terancang. Dalam ketika berlaku banyak perubahan lanskap politik dalam negara dan antarabangsa, perundangan seperti SOSMA dan Akta Hasutan sangat kena pada masanya, tetapi pada masa sama aspek keadilan turut melindungi hak hak individu yang disyaki terlibat.
12. Dr Mahathir tidak pernah menghadapi kecaman dan kritikan alam siber pada zamannya. Adakah beliau sudah bersedia kali ini untuk menghadapi segala fitnah dan pembohongan siber yang dilakukan PH ketika sebelum PRU14?
13. Ancaman kali ini lebih besar. Dengan terdedahnya Malaysia dan rakyatnya kepada anasir asing, terutama golongan muda, mereka lebih teruja untuk mencuba pendekatan yang digunakan di Barat dan banyak negara lain, di sini untuk mengkucar-kacirkan keadaan.
14. UMNO percaya kerajaan juga akan membatalkan POTA, iaitu Prevention of Terrorism Act 2015, yang memagari negara daripada sebarang kegiatan berunsurkan keganasan ala DAESH dan militan lain.
15. Apakah Dr Mahathir berbuat demikian semata-matauntuk memelihara kepentingan politiknya, atau demi mengambil hati pengundi PH?
16. Jika inilah hasratnya, maka UMNO menasihatkan rakyat supaya bersedia dari sekarang untuk melihat wujudnya ketidakstabilan di dalam negara dengan berkembangnya semula kegiatan subversif seperti yang pernah dialami selepas merdeka, di mana ISA terpaksa digubal.
17. Kerajaan terdahulu tidak pernah memikirkan keuntungan politik dalam menggubal setiap undang-undang yang difikirkan perlu untuk menjaga kepentingan setiap warganegara, malah sedia menggunakan pendekatan tidak populis ini demi ketenteraman awam.
18. Jika kerajaan memikirkan pemansuhan akta berkenaan akan lebih menstabil dan menenteramkan menstabilkan negara, maka
dihapuskan akta yang bukan saja masih digunapakai oleh negara jiran, malah kebanyakan kuasa besar dan negara yang menjadi kiblat PH.
19. Apa yang pasti, UMNO dan BN tidak mahu dipersalahkan jika pemansuhannya akan menjadikan Malaysia sebagai 'negara koboi'.
20. Atau mungkin Dr Mahathir merasakan SOSMA dan pelbagai akta anti-keganasan yang digubal pada zaman kerajaan terdahulu "tidak cukup kuat" dan beliau berasakan perlu ada akta yang lebih "keras" bagi mengekang teguran-teguran yang dilemparkan kepadanya, walapun di lidahnya menyebut, beliau terbuka menerima teguran.
21. Apakah ini bermakna ISA akan dikembalikan? Sama sama kita perhatikan.
Ahmad Zahid Hamidi
Kuala Lumpur
23 Julai 2018
Dihantar daripada iPhone saya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.