Zahid yakin pemimpin UMNO kuat harungi dugaan
3 NOV: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen parti itu yang bertindak meninggalkan UMNO di saat parti itu sedang diuji pada masa ini.
Sambil menyifatkan pemimpin terbabit sebagai tidak mempunyai daya tahan diri dan penakut, Ahmad Zahid berkata, individu berkenaan selama ini hanya menggunakan wadah perjuangan UMNO untuk kepentingan diri semata-mata.
"Ketika parti sedang dipatahkan serta dilemahkan dari dalam dan luar, ada dalam kalangan mereka yang takut diugut, telah meninggalkan parti. Hendak takut apa (disiasat), jika itu kebenaran, duduk di dalam UMNO, berani kerana benar. Apabila UMNO diduga, mereka lari selamatkan diri.
"Jangan gunakan UMNO untuk kepentingan sendiri. Dahulu orang hormat pemimpin ini namun sekarang rasa hormat itu sudah hilang dengan tindakan seperti itu (keluar UMNO).
"Pemimpin yang dihormati adalah mereka yang istiqamah dalam perjuangan selain bersama dalam keadaan susah dan senang," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Perak hari ini.
Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.
Sementara itu, Ahmad Zahid percaya pemimpin dan Ahli Parlimen parti itu mempunyai semangat dan daya tahan diri yang tinggi meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu bagi mengajak mereka meninggalkan UMNO.
"Allah SWT turunkan ujian kepada kita sama ada kita istiqamah atau tidak. Kita diuji baru lima bulan tetapi ada dalam kalangan kita yang sudah tidak tahan (meninggalkan UMNO)," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan tidak akan bercuti daripada menjadi presiden meskipun menerima cadangan daripada Pemuda UMNO untuk berbuat demikian baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin UMNO supaya tidak ikut menari dengan gendang yang dimainkan pihak lawan yang bertujuan melemahkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.