Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 Februari 2015

Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 - @Zahid_Hamidi #dszh

Baiki tahap Malaysia

Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007

THOMAS CHONG  |  24 Februari 2015 2:08 AM
 AHMAD ZAHID HAMIDI (tengah) menerima kunjungan  Maria Grazia Giammarinaro di Putrajaya, semalam. Tur

AHMAD ZAHID HAMIDI (tengah) menerima kunjungan Maria Grazia Giammarinaro di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

 

PUTRAJAYA 23 Feb. - Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada sidang Dewan Rakyat bulan depan akan membantu menambah baik kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain mengukuhkan penguatkuasaan, pindaan itu juga memastikan Malaysia dapat mengambil tindakan berkesan selari dengan amalan-amalan terbaik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Pindaan yang dijadual dilakukan dalam sesi Dewan Rakyat akan datang adalah selari dengan peranan Malaysia sebagai negara anggota Konvensyen Menentang Jenayah Terancang Transnasional serta Protokol Mencegah, Menentang dan Menghukum Pemerdagangan Orang Khususnya Wanita dan Kanak-Kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pemerdagangan Wanita dan Kanak-Kanak, Maria Grazia Giammarinaro di sini hari ini.

Jabatan Negara AS pada tahun lalu meletakkan Malaysia di Tahap 3 dalam laporan pemerdagangan orang iaitu lebih rendah berbanding Tahap 2 pada tahun sebelumnya.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia mempunyai komitmen yang tinggi untuk memerangi jenayah pemerdagangan manusia dengan sebanyak 1,925 mangsa telah diselamatkan sejak 2008 dan diberikan Perintah Perlindungan (PO).

Beliau berkata, sebanyak 4,788 orang mangsa pula diberi Perintah Perlindungan Interim (IPO) manakala 1,058 orang telah ditahan dalam 752 kes yang berjaya dikesan pihak berkuasa.

"Selain menguatkuasakan undang-undang, kerajaan juga bekerjasama dengan negara jiran bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tapak untuk menyeludup manusia ke negara ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, empat jawatankuasa tertinggi yang dianggotai wakil daripada enam kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah ditubuhkan untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Giammarinaro telah membangkitkan isu pemutihan pelarian supaya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dibenarkan bekerja di negara ini.

"Undang-undang kita bagaimanapun tidak mengizinkan pelarian bekerja. Kita akan terus mengadakan rundingan supaya perkara ini diperinci secara teknikal," katanya.


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate