Pertemuan Zahid Dan Tun, Perlihatkan UMNO Matang Dan Berjiwa Besar – Annuar
Wan Hafiz HamzahKUALA LUMPUR, 8 Jun – Kunjungan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Pejabat Perdana Menteri pagi tadi memperlihatkan UMNO merupakan sebuah parti yang matang dan berjiwa besar, biarpun UMNO kini menjadi pembangkang untuk pertama kalinya setelah 61 tahun memegang tampuk pemerintahan negara, demikian menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Annuar, biarpun kunjungan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi namun beliau meluahkan rasa syukur dan menyokong kunjungan itu.
"Dalam UMNO kini berperanan sebagai pembangkang yang membina dan bertanggunjawab, amat perlu Datuk Seri Zahid dan parti ini menunjukkan sikap matang dan berjiwa besar.
"Lagi pun kita juga harus menghormati institusi Perdana Menteri, malah siapa individu yang memegang jawatan itu juga. Hormat itu juga menandakan UMNO hormat pada suara rakyat.
"Apatah lagi, ini merupakan bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan hari ini Datuk Seri Zahid juga akan berlepas menunaikan ibadat umrah. Maka bermaaf-maafanlah sesama kita sempena hari Ramadan yang mulia ini," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, biarpun timbulnya pelbagai reaksi daripada pertemuan tersebut, namun baginya pertemuan itu tidak semestinya ada apa-apa yang tersirat di sebaliknya.
"Dan kalau ada sekali pun, tidak semestinya tidak baik. Apa yang pasti UMNO mesti menerima hakikat kita kalah.
"Kita kini pembangkang, dan kita mesti bersiap memainkan peranan kita sebagai pembangkang secara tegas, berani, bijaksana dan bertanggungjawab.
Rakyat memerlukan suara pembangkang juga untuk menjadi pengimbang dan untuj menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan," tegasnya.
Sementara itu, Annuar berkata, UMNO sebagai satu wadah politik tetap luhur dan murni untuk terus tetap di dalam perjuangan asal sewaktu parti ini mula-mula ditubuhkan.
"Kotoran jika ada adalah kelemahan individu dan mungkin juga organisasi. Kelemahan boleh dan mesti diperbaiki.
"Tidak salah sesama insan, kita memohon maaf. Malah UMNO juga harus memohon kemaafan rakyat atas apa jua kelemahannya. Kembali kita kepada 'basic' dan asas perjuangan.
"Bangkitlah UMNO dengan keazaman dan keyakinan baru. Berjuang terus berjuang hingga ke penghujung hayat dan selagi hayat di kandung badan," tegasnya.-MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan