Arahan pengunduran tentera AS dari Syria ditanda tangan
WASHINGTON: Arahan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Syria sudah ditandatangani, kata pasukan keselamatan semalam selepas Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Turki bersetuju menghalang lompang kuasa susulan tindakan kontroversi berkenaan.
Pengumuman pengunduran tentera AS di negara dilanda perang saudara itu di mana mereka dihantar untuk membantu pertempuran multinasional menentang militan Daesh, turut mengejutkan rakan kongsi global dan ahli politik negara terbabit.
"Arahan pengunduran untuk Syria sudah ditandatangani," kata jurucakap tentera AS apabila ditanya mengenai arahan itu tanpa memberi butiran lanjut.
Turki adalah sekutu jarang yang memuji keputusan pantas Trump berkaitan Syria, negara di mana ia kini lebih bebas menyasar pejuang Kurdis sekutu AS yang memainkan peranan utama dalam perang menentang Daesh namun dianggap pengganas oleh Ankara.
Trump dan Presiden Recep Tayyip Erdogan bercakap menerusi telefon semalam dan 'bersetuju memastikan kerjasama antara dua negara, tentera, diplomatik dan pihak berkuasa bagi mengelak lompang kuasa berpunca daripada pengunduran dan fasa peralihan di Syria' kata Turki dalam satu kenyataan.
Lewat semalam, Trump menulis tweet, Erdogan memberi jaminan, baki pejuang Daesh di Syria akan dihapuskan.
"Presiden @RT_Erdogan dari Turki memaklumkan saya, beliau akan menghapuskan mana-mana baki pejuang ISIS (Daesh) di Syria," kata Trump dalam tweet tengah malam semalam.
Mengulangi komen pujian terhadap Erdogan, Trump berkata, Presiden Turki itu 'adalah lelaki yang boleh melakukannya.'
"Tentera kita akan pulang!" kata Trump yang beberapa jam sebelumnya berkata, beliau dan Erdogan, membincangkan isu Daesh, pembabitan bersama di Syria serta kerjasama terancang tentera AS dari kawasan itu.
Ahli politik AS, termasuk partinya sendiri, Republikan dan sekutu antarabangsa bimbang, pengunduran kira-kira 2,000 askar terbabit masih terlalu awal dan mungkin mencetuskan huru-hara yang sudah memusnahkan rantau terbabit. -AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan