Pejabat Perdana Menteri
1. Sejak Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.
2. Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik kita dalam dekad ini.
3. Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah mengatakan bahawa matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.
4. Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.
5. Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.
6. Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting:
a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.
b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.
c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.
7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.
8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.
9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.
10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini.
11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.
12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.
sumber : http://www.pmo.gov.my/
rakyat dihulukan
BalasPadampencapaian untuk menteri,
kurangkan subsidi gula adalah sesuatu yang baik kerana gula tidak baik untuk kesihatan..kata menteri umno,,
bayar APCO-israel adalah lebih baik
bagi membangun ekonomi negara...
Salam bro,
BalasPadamMaaf lari tajuk sket,
Minta tolong kepada bloggers kawasan Sabak Bernam/Kuala Selangor.
Besok 18/07/2010 pukul 10.00 - DS Khir Toyo akan berada di Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap Sg Besar,Sabak Bernam untuk berbincang menentukan nasib dan masa depan pelajar-pelajar Melayu yang diarahkan pindah keluar dari situ.
IKYS merupakan Institut Kemahiran yang menampung pelajar-pelajar Melayu tercicir yang ingin meneruskan pendidikan dibidang kemahiran. IKYS menerima semua pelajar walaupun mereka tidak mempunyai sijil, tidak menghabiskan persekolahan menengah mereka atas sebab tidak mampu atau disiplin.
Diharap bloggers yang berhampiran dapat membuat liputan di sana termasuk video.
harapan si bingai