SHAH ALAM: Pengurus Besar Yayasan Selangor (YS), Ilham Marzuki mengakui melakukan kesilapan kerana meluluskan peruntukan RM1.4 juta untuk kegiatan tidak berfaedah serta tiada kaitan dengan fungsi yayasan itu sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan. Antara kegiatan adalah jamuan makan perdana sebanyak RM270,750, pertandingan memancing RM179,000, cenderamata RM52,900 dan majlis berbuka puasa RM396,370. Dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), semalam, beliau bagaimanapun enggan dipersalahkan sepenuhnya kerana keputusan itu turut dipersetujui pengurusan tertinggi YS yang bermesyuarat setiap minggu.
“Kita ada mesyuarat mingguan dan perkara ini tidak akan berlaku jika saya dinasihatkan dengan perkara yang betul. Kalau dalam mesyuarat, saya jangkakan mereka yang akan nasihatkan dalam sebarang perkara yang akan dibuat.
“Jika sebelum ini mesyuarat tertinggi YS sebulan sekali, tetapi selepas saya masuk, ia dibuat setiap minggu. Kalau ada pilihan, memang saya fikir perkara ini tidak perlu dan akui ia adalah perbelanjaan tidak munasabah,” katanya kepada jawatankuasa SELCAT yang dipengerusikan oleh Datuk Teng Chang Khim, di Bilik Gerakan Dewan Annex, di sini semalam
Ketika ditanya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang juga anggota SELCAT ada perbelanjaan yang selesai dibayar kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan, Ilham berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dan menganggapnya satu amalan tidak sihat kerana melanggar peraturan kewangan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Sepatutnya saya kaji dulu setiap acara yang diadakan termasuk merakam gambar untuk memastikan ia dilaksanakan dan mematuhi seperti yang YS kehendaki,” katanya.
Sementara itu, Chang Khim ketika merumuskan perkara berkenaan, berkata semua perbelanjaan langsung tiada kaitan dengan peranan serta fungsi YS.
“YS sepatutnya memberi tumpuan mengenai pembangunan pendidikan negeri. Mengambil contoh majlis korban perdana, adalah lebih layak ia diadakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku jabatan agama Islam di negeri ini,” katanya yang mencadangkan yayasan itu ditukar status sebagai badan berkanun, bukan sebuah syarikat berdaftar seperti sekarang.
Tahun lalu, kerajaan Selangor mempertahankan Ilham walaupun yayasan itu mengalami defisit RM7.41 juta selepas audit dalaman oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, bermula 29 November 2009 hingga 1 Disember 2010. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Lembaga Pengarah YS berpendapat Ilham perlu diberi peluang kerana baru menjawat jawatan itu pada 2010 dan tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan apa yang berlaku.
Menurut laporan audit itu, perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan ulang tahun ke-40 YS mencecah RM996,472, selain ada perbelanjaan yang selesai dibayar kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.
Audit turut berpendapat tadbir urus korporat di YS tidak memuaskan termasuk lantikan Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar yang dikatakan bukan pilihan utama panel temu duga, manakala seorang lagi sudah mendapat notis muflis.
sumber : http://www.kritis-online.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan