Aksi penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad
Aksi penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad diasak pemain Arbil FC, Sula Matovu, malam tadi.
KOTA BHARU – Cabaran Kelantan dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 berakhir apabila tewas menerusi agregat 6-2 kepada Arbil FC dalam saingan suku akhir kedua yang berlangsung malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, hasrat Kelantan untuk memburu sekurang-kurangnya empat gol gagal terlaksana setelah sekadar terikat seri 1-1 dengan juara Liga Premier Iraq itu.

Meskipun tersingkir, namun pujian harus diberikan kepada anak buah Bojan Hodak yang mempamerkan aksi cemerlang apabila dilihat berjaya menyaingi kehebatan pasukan dari Asia Barat itu dalam perlawanan yang disaksikan hampir 7,000 penyokong tempatan.

Terima kasih kepada penyerang import sensasi, Mohamad Ghaddar yang muncul selaku penyelamat apabila sepakan penaltinya pada penghujung masa kecederaan memastikan setidak-tidaknya The Red Warriors terus mengekalkan rekod tanpa kalah beraksi gelanggang keramat itu sepanjang musim ini.

Pasukan pelawat yang turun tanpa tekanan memulakan asakan awal ketika permainan baru memasuki minit pertama menerusi percubaan jarak jauh Amjed Radhi namun terkena palang gol Kelantan.

Kelantan yang turun dengan misi hidup mati bagaimana pun kembali melancarkan serangan menerusi rembatan Indra Putra Mahayuddin pada jarak 25 meter namun melewati pintu gol Arbil FC pada minit kesembilan perlawanan.

Selang tiga minit kemudian, giliran bek kental, Obinna Nwaneri pula menguji kecekapan penjaga gawang Arbil FC, Jalal Hassan Hachim namun tandukan beliau berpunca sepakan percuma Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi sedikit melewati pintu gol.

Pasukan pelawat yang menewaskan Kelantan 5-1 dalam saingan suku akhir pertama minggu lalu nyaris memperolehi gol pendahuluan mereka namun rembatan Saad Abdulameer Luaibi pula menerjah jaring sisi pintu gol Kelantan pada minit ke-18 perlawanan.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-23 perlawanan menerusi Muhammad Afiq Azmi. Namun penyerang pinjaman dari Kuala Lumpur itu gagal menolak masuk hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha apabila berjaya berjaya disepak keluar Ahmed
Ibrahim di depan pintu golnya.

Empat minit berselang, skuad bimbingan Bojan Hodak sekali lagi menggigit jari apabila rembatan padu pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad hasil umpanan Muhammad Afiq singgah di bucu palang gol Arbil FC.
Pasukan Arbil FC yang tenggelam dengan asakan bertali-arus pemain tuan rumah bagaimanapun turut berpeluang untuk mendahului, namun rembatan jarak jauh Ketua Pasukannya, Halkard Mulla Mohammad Taher terus ke dakapan Khairul Fahmi pada minit ke-34
perlawanan.

Kerja keras anak didik Nizar Mahrous akhirnya membuahkan hasil juga tiga minit kemudian. Berpunca serangan balas pantas, penyerang import mereka, Sula Matuvo melepasi kekangan Mafry Balang di dalam kotak penalti sebelum merembat kencang ke penjuru kanan gawang Kelantan untuk gol pembukaan perlawanan malam tadi.

Ketinggalan 0-1, menyaksikan Kelantan terus dihimpit tekanan dan usaha mereka untuk menyamakan kedudukan terus buntu apabila sepakan lencong Mafry hanya sedikit tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Tiga minit babak kedua bersambung, Kelantan dikejutkan dengan asakan pasukan pelawat menerusi Sula Matuvo yang berjaya melepasi benteng pertahanan, namun rembatan Amjed Radhi dikeluarkan oleh S Subramaniam.

Namun selepas itu pasukan tuan rumah kembali mendominasi perlawanan. Dua peluang terbaik hadir pada minit ke-50 dan minit ke-53 perlawanan menerusi tandukan Nwaneri dan Indra Putra namun tersasar serta diselamatkan Jalal Hassan di gawangnya.

Percaturan Hodak menggantikan Muhammad Afiq dengan Mohamad Ghaddar pada minit ke-61 perlawanan ternyata mengubah corak permainan Kelantan. Malah kelincahan penyerang kebangsaan Lubnan itu berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.

Hasilnya, Kelantan berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 perlawanan apabila umpanan lambung S Subramaniam tepat kepada Indra Putra, namun bekas pemain kebangsaan itu memilih merembat tinggi di depan pintu gol Arbil FC.

Keghairahan Kelantan memburu gol penyamaan bagaimanapun hampir dihukum pasukan pelawat menerusi serangan pantas oleh Halkard Mulla mujur tampanan pemain gantian, Mustafa Kareem berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi pada minit ke-76 perlawanan.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan mencetus gerakan menarik satu dua bersama Mohamad Ghaddar namun rembatan deras pemain import itu gagal menewaskan penjaga gol Arbil FC.

Tempoh 10 minit terakhir ternyata milik mutlak Kelantan. Tiga percubaan terbaik masing-masing menerusi Mohamad Ghaddar dan Mafry pada minit ke-81,83 dan 84 perlawanan bagaimanapun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Arbil FC itu.

Namun tindakan pemain pertahanan Arbil FC, Ahmed Ibrahim menjatuhkan Mohamad Ghaddar mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan dalam masa kecederaan.

Mohamad Ghaddar tenang merembat masuk ke penjuru kanan bagi mengikat keputusan seri namun gol tersebut sudah terlalu lewat untuk membawa Kelantan ke saingan separuh akhir setelah tersingkir menerusi agregat 6-2 dalam kempen Piala AFC ini.