Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

26 September 2012

Utusan Malaysia : Makruh Ziarah Kubur Nabi : Imam Malik


Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20120925/ba_01/Salam-ke-atas-Nabi#.UGJSYpYrX3U.facebook


ARKIB : 25/09/2012



Salam ke atas Nabi

IMAM Darul Hijrah Malik bin Anas merupakan orang yang paling kuat dan tegas dalam memuliakan Nabi SAW. Beliau tidak pernah memakai kasut dan menunggang kenderaan tunggangan ketika berjalan di Madinah al Munawwarah, juga tidak pernah melepaskan hajatnya di situ kerana menghormati, mengagungkan dan memuliakan bumi yang pernah dipijaki Rasulullah SAW.

Beliau pernah berpesan kepada Amir al Mukminin al Mahdi ketika kedatangannya ke Madinah: "Sesungguhnya sekarang ini kamu sedang memasuki Madinah. Kaum yang kamu lalui di kiri dan kanan kamu itu adalah anak-anak kaum Muhajirin dan Ansar, maka ucapkanlah salam kepada mereka. Sesungguhnya tiada satu kaum di muka bumi ini yang lebih baik daripada penduduk Madinah dan tiada bumi yang lebih baik daripada Madinah (kecuali Mekah di sisi Jumhur). Baginda bertanya kepadanya, "Bagaimana kamu boleh berkata seperti ini, wahai Abu Abdullah?" Beliau menjawab, "Sesungguhnya tidak diketahui (secara pasti) kubur seorang Nabi pun pada hari ini di atas muka bumi ini melainkan kubur Muhammad SAW. Maka orang yang terdapat di sisi mereka kubur Muhammad SAW ini sepatutnya diketahui kelebihannya."




Di antara sikap yang menunjukkan kesungguhannya memuliakan Madinah ialah beliau tidak suka orang berkata: "Kami telah menziarahi kubur Nabi SAW." Beliau seolah-olah mahu orang berkata, "Kami telah menziarahi Nabi SAW" secara langsung tanpa ada lafaz kubur, kerana kubur itu adalah tempat yang ditinggalkan berdalilkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Dirikanlah solat di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu jadikannya (seperti) kubur-kubur (tempat yang ditinggalkan)."

Di dalam kitab Fath al Bari, al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani menyatakan pendapatnya dengan berkata: "Perkataan kubur ini dianggap makruh oleh Malik kerana adabnya terhadap Rasulullah SAW, bukan makruh pada asal perbuatan ziarah, kerana ia adalah sebaik-baik amalan dan semulia-mulia ibadah yang menyampaikan seseorang kepada Allah. Pensyariatannya adalah perkara yang telah diputuskan dengan ijmak ulama tanpa ada sebarang perbezaan pendapat."

Imam Abu Imran pula berkata: "Imam Malik memakruhkan perkataan 'Tawaf Ziarah' dan 'Kami menziarahi kubur Nabi SAW' kerana perkataan tersebut juga digunakan oleh manusia sesama mereka. Bahkan, secara umumnya, ia mengandungi penyamaan antara Nabi SAW dengan manusia biasa. Beliau lebih suka dikhususkan kepada Baginda SAW dengan mengucapkan, "Kami mengucap salam ke atas Nabi SAW."

Hindari syirik
Amalan ziarah merupakan sesuatu yang digalakkan, manakala bermusafir untuk menziarahi kubur Nabi SAW adalah satu kemestian, selain penduduk Madinah untuk menyampaikan mereka ke destinasinya. Allah SWT juga telah memakbulkan doa Baginda SAW dengan menghindarkan umat Islam yang datang menziarahinya daripada melakukan perbuatan syirik. Sejauh mana sekalipun rasa kasih yang membuak-membuak terhadap Baginda SAW ketika mereka menziarahinya, Allah SWT tetap memelihara akidah mereka daripada terjerumus ke lembah syirik.

Buktinya tidak ada walau seorang pun dalam satu zaman yang menyembah Nabi SAW selepas menziarahinya. Semua itu dipetik berdasarkan doa Nabi SAW: "Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan kubur saya sebagai berhala yang disembah selepas kewafatan saya, amat dahsyatlah kemurkaan Allah ke atas kaum yang menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat sujud."

Imam Malik menghalang penyandaran lafaz ini (ziarah) kepada kubur Nabi SAW. Ulama berkata bahawa jika yang dimaksudkan itu ialah makruh melakukan ziarah, nescaya Imam Malik akan berkata, "Saya tidak menyukai (menghukum makruh) seseorang menziarahi kubur Nabi SAW." Tetapi beliau berkata, "Saya tidak menyukai (menghukum makruh) seseorang itu berkata menziarahi kubur Nabi" yang menunjukkan kepada maksud makruh menggunakan lafaz ini sahaja.

Al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' (4/485) menyatakan: "Bagi orang yang menziarahi itu mendapat pahala berziarah dan pahala berselawat, sedangkan orang yang berselawat di serata negara yang lain hanya mendapat pahala berselawat. Barang siapa yang berselawat ke atas Baginda SAW sekali, Allah akan berselawat ke atas orang itu 10 kali. Akan tetapi, barang siapa yang menziarahi Baginda SAW tetapi tidak mengikut adab ziarah atau bersujud ke kuburnya ataupun melakukan perbuatan yang tidak disyariatkan, maka dia telah melakukan kebaikan dan kejahatan.
Semestinya orang ini diberi tunjuk ajar dengan lemah-lembut kerana Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih. Demi Allah! Tidak mungkin berlaku ke atas seorang Muslim bersesak-sesak, menjerit-jerit, mencium dinding dan menangis melainkan dia seorang yang cintakan Allah dan Rasul-Nya. Cintanya ini adalah neraca dan pembeza antara ahli syurga dan ahli neraka.

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate