Tahir Musa
Golongan peminta sedekah dari Taman Rahmat

MARANG – Seorang penghuni rumah kebajikan Taman Rahmat di sini, mengumpul wang tunai RM15,000 di bawah katil selain mempunyai simpanan RM60,000 dalam tiga akaun bank berasingan, dipercayai hasil kegiatan meminta sedekah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Penghuni Taman Rahmat, Tahir Musa berkata, perkara itu terbongkar apabila penghuni cacat penglihatan itu meninggal dunia lebih sebulan lalu sebelum waris si mati menemui sejumlah wang tunai dan buku akaun bank miliknya.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya tidak mengejutkan kerana kegiatan meminta sedekah membabitkan segelintir penghuni rumah perlindungan itu tidak pernah selesai, walaupun tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka dari semasa ke semasa.

"Mereka bijak cari 'lubuk' seperti di pusat bandar raya dan pasar malam di setiap daerah dan mereka sanggup ke mana sahaja dengan apa cara sekalipun selain menggunakan sepenuhnya kecacatan fizikal mereka untuk menagih simpati.

"Saya dimaklumkan sendiri mengenai perkara itu oleh mereka yang terlibat dan sehingga kini terdapat seramai 12 penghuni Taman Rahmat masih terlibat dalam kegiatan meminta sedekah walaupun mereka menerima bantuan bulanan daripada kerajaan," katanya.

Ditanya sejak bila penghuni yang berjaya mengumpul sejumlah wang begitu banyak terlibat dalam kegiatan itu, katanya, kegiatan meminta sedekah membabitkan penghuni Taman Rahmat sudah bermula sejak 10 tahun lalu.  


Baca lanjut di sini

http://www.sinarharian.com.my/semasa/fokus-rahsia-pengemis-terbongkar-selepas-meninggal-1.92559?localLinksEnabled=false