Pengikut Blog Panglima

23 Julai 2013

Lebih mudah jika tiga parti Cina gabung - Dr. M

Lebih mudah jika tiga parti Cina gabung - Dr. M

ALOR SETAR 22 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya penggabungan Gerakan, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menjadi satu parti baharu mampu menarik semula sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, penggabungan itu memudahkan gerak kerja untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada parti yang didominasi kaum Cina dalam BN berbanding dibuat secara berasingan.

"Penggabungan itu tidak mengapa, kita boleh tengok kerana parti Melayu pun satu sahaja dalam BN. Saya fikir kalau boleh dia bersatu senanglah sikit, kalau tidak, masing-masing tarik sokongan," katanya ketika ditemui pemberita ketika membeli-belah di Pekan Rabu di sini hari ini.

Kelmarin, Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, parti itu, MCA dan SUPP akan mengadakan perbincangan rasmi tentang pembentukan satu parti baharu yang berasaskan kaum Cina.

Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu menjurus kepada kepentingan mewujudkan satu entiti parti kaum Cina menggabungkan kesemua parti Cina dalam BN.

Dr. Mahathir berkata, tiada siapa mengatakan kaum Cina tidak boleh menyokong BN tetapi fahaman mereka perlu diperbetulkan agar tidak terpengaruh dengan pendapat bersifat negatif terhadap parti itu.

Bekas Pengerusi BN itu memberikan contoh, ketika mula menjadi Perdana Menteri pada 1981, wujud kesangsian terutama masyarakat Cina terhadapnya tetapi beliau kemudian mendapat sokongan padu kaum berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

"Saya ingat boleh dapat balik (sokongan kaum Cina). Saya dulu orang yang dibenci oleh orang Cina kerana dianggap sebagai ultra Melayu.

"Pada 1981 bila saya menjadi Perdana Menteri mereka tidak sokong tetapi pada PRU 1999 sokongan orang Cina melebihi orang Melayu, sebab itu saya dapat majoriti dua pertiga. Jadi tidak boleh nak kata orang Cina tidak boleh sokong, yang tinggal lagi fahaman mereka itu," ujar beliau.

Tambahnya, orang Melayu yang menguasai politik dan kaum Cina dalam bidang ekonomi mesti bekerjasama jika mahu membangunkan negara.


© Utusan Melayu (M) Bhd 
Catat Ulasan