Pengikut Blog Panglima

09 Februari 2014

Kenyataan MDN Zahid_Hamidi Jamin Tidak Akan Campur Tangan Polis @PDRMsia Kuatkuasa Undang-Undang

Sinar Harian 20 Mei 2013


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang campur tangan politik untuk polis menguatkuasakan undang-undang sedia ada demi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.

Beliau berkata kementeriannya bersetuju untuk tidak akan campur tangan dalam mana-mana tugas polis terutama dalam soal menguatkuasakan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada mereka.

"Oleh yang demikian apa yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami tidak akan campur tangan, kami akan menyerahkan sepenuhnya penguatkuasaan undang-undang yang diperuntukkan dan akta-akta yang terdapat dalam bidang kuasa PDRM untuk mereka jalankan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pertama ke Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahmad Zahid juga berkata sebarang tindakan serta penguatkuasaan undang-undang oleh PDRM yang tidak bertentangan dengan akta-akta yang sedia ada tidak wajar  dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Kita boleh berbeza pendapat (politik) dan kami sentiasa meraikan perbezaan pendapat, tetapi dalam soal undang-undang negara seharusnya tidak ada perbezaan pendapat kerana undang-undang itu sendiri diputuskan oleh kita sebagai 'lawmakers' (pembuat undang-undang)," katanya.

Dalam pada itu, KDN turut memberi penekanan kepada polis dalam menjalin kerjasama antara agensi penguatkuasaan tersebut dengan Kementerian Komunikasi dan  Multimedia terutama dalam menangani perubahan serta gelombang media sosial yang dilihat boleh menggugat kestabilan negara.

Beliau berkata pihaknya sedia maklum dengan arus perubahan media sosial yang mungkin boleh memberikan pelbagai implikasi kepada keselamatan negara, oleh yang demikian persiapan awal dari sudut tindakan yang melibatkan dunia siber ini perlu dipertingkatkan oleh PDRM.

Ditanya pemberita berhubung pelaksanaan aku janji Barisan Nasional dalam mempertingkatkan keselamatan negara, beliau berkata aku janji tersebut kini sedang dijalankan dan akan diteruskan. - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-antarabangsa/penguatkuasaan-undang-undang-tiada-campur-tangan-politik-1.162093
Catat Ulasan