Permintaan tersebut disampaikan Ketua Perhubungan Politik Hamas, Mohammad Naser ketika pertemuan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada lawatannya ke Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, permintaan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memandangkan Malaysia selama ini mempunyai pendirian menyokong rakyat Palestin yang teraniaya atas dasar perikemanusiaan.


"UMNO berasa hubungan politik bukan hanya dengan Hamas tetapi juga Fatah dan hasil pertemuan sama sebelum ini akhirnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pergi ke Gaza.

"Dalam pertemuan ini, Hamas meminta Malaysia yang terpilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Ke­selamatan PBB supaya membawa isu penderitaan Palestin ke dalam mesyuarat," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu.


Menurut Ahmad Zahid, parti tersebut turut menghargai bantuan yang disampaikan rakyat Malaysia kepada Palestin melalui Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan memohon agar bantuan ber­kenaan diteruskan.


"Sekiranya Israel melabel Hamas sebagai pergerakan pen­g­ganas, maka bagi Malaysia, bantuan itu disalurkan atas perasaan perikemanusiaan yang perlu diberi keutamaan," jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Mohammad turut mengharapkan bantuan daripada Malaysia supaya jumlah pelajar Palestin yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di sini dapat ditambah.