Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan delegasi Hamas yang diketuai Ketua Perhubungan Politik Hamas, Mohamamad Naser (kiri) pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Pergerakan Hamas hari ini mengemukakan permohonan kepada Malaysia untuk membawa isu keganasan terhadap rakyat Palestin oleh Israel ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Permintaan tersebut disampaikan Ketua Perhubungan Politik Hamas, Mohammad Naser ketika pertemuan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada lawatannya ke Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, permintaan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memandangkan Malaysia selama ini mempunyai pendirian menyokong rakyat Palestin yang teraniaya atas dasar perikemanusiaan.
"UMNO berasa hubungan politik bukan hanya dengan Hamas tetapi juga Fatah dan hasil pertemuan sama sebelum ini akhirnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pergi ke Gaza.
"Dalam pertemuan ini, Hamas meminta Malaysia yang terpilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB supaya membawa isu penderitaan Palestin ke dalam mesyuarat," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu.
Menurut Ahmad Zahid, parti tersebut turut menghargai bantuan yang disampaikan rakyat Malaysia kepada Palestin melalui Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan memohon agar bantuan berkenaan diteruskan.
"Sekiranya Israel melabel Hamas sebagai pergerakan pengganas, maka bagi Malaysia, bantuan itu disalurkan atas perasaan perikemanusiaan yang perlu diberi keutamaan," jelasnya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Mohammad turut mengharapkan bantuan daripada Malaysia supaya jumlah pelajar Palestin yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di sini dapat ditambah.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.