KUALA LUMPUR, 14 Nov – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) mengulangi pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dikekalkan memandangkan penyebaran maklumat mudah dilakukan pada masa kini menerusi media sosial.
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata akta yang tegas seperti Akta Hasutan diperlukan bagi mengekang penyebaran maklumat yang boleh menggugat keharmonian kaum, khususnya di sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
"Akta Hasutan diperlukan hari ini dan juga pada masa depan, kerana kita tidak mahu ada golongan yang mencerca agama, sultan atau memutarbelitkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan buku bertajuk '100 Wira Negara' hasil nukilannya di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Komandan MTD Kolonel Wan Ghazali Wan Din.
Berhubung buku 100 Wira Negara, Abdul Aziz berkata, Mubarak dalam perancangan untuk menerbitkan rancangan animasi berbentuk dokumentari wira-wira yang terkandung dalam buku itu selepas kejayaan menerbitkan dokumentari untuk siaran televisyen sebanyak 13 episod tahun ini.
Rancangan animasi penting untuk menarik minat kanak-kanak supaya mereka tidak lupa akan kewujudan tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara dari zaman sebelum kemerdekaan, katanya.
"Pemahaman menerusi watak animasi juga lebih mudah dan lebih menarik untuk ditonton kanak-kanak," katanya dan menambah pihaknya sedang meneliti syarikat yang boleh merealisasikan rancangan itu untuk diterbitkan tahun hadapan.
Buku 100 Wira Negara merupakan pengiktirafan kepada ikon dalam pelbagai bidang yang memberi impak kepada negara, termasuk lima bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut ditonjolkan dalam buku itu ialah tokoh pendidikan Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Tan Sri Arshad Ayub, Dr Aminuddin Baki; tokoh ekonomi Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; tokoh sukan Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Nicol Ann David, Tan Sri Dr M. Jegathesan serta seniman agung negara Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Sudirman Arshad.
Buku setebal 300 halaman itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan sehingga kini sebanyak 15,000 naskhah buku itu diedarkan ke sekolah dan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara.
Orang awam yang berminat boleh membelinya pada harga RM50 senaskhah melalui laman web www.mubarakmalaysia.gov.my.
http://www.umno-online.my/?p=118218Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.