Pengikut Blog Panglima

08 November 2015

Gambar-Gambar Perasmian #ZikirPerdana 2015 Semalam di #Putrajaya

Perasmian Majlis Zikir Perdana 2015 dan Persatuan Tarekat Muktabar Malaysia @ PERTAMA oleh Menteri Wilayah Persekutuan Dato Seri Tengku Adnan Mansor mewakili TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi disaksikan Menteri di JPM DS Jamil Khir Baharom semalam di Masjid Putra, Putrajaya.

Turut hadir KP Jakim Dato Othman Mustapha.

Berita Utusan Malaysia :

Susun atur kumpulan tarekat

HAKIMI ISMAIL
08 November 2015 12:52 AM

PUTRAJAYA 7 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru setiap kumpulan tarekat di Malaysia disusun atur supaya bukan sahaja menepati hak ilmu tetapi lebih dinamik serta progresif dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan agama.

Ahmad Zahid berkata, setiap pejabat agama di setiap negeri juga perlu mencontohi Jabatan Mufti Negeri Sembilan dalam mewujudkan Jalsah Tarekat Sufiyyah yang bertanggungjawab mewujudkan enakmen tarekat untuk mengawal dan memantau aktiviti kumpulan tersebut.

Beliau berkata, pada 11 September lalu, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) telah didaftarkan secara rasmi sebagai pertubuhan yang sah di bawah Akta Pertubuhan 1966, ini merupakan sejarah bagi nama tarekat apabila telah berjaya membentuk satu badan organisasi yang sah di bawah undang-undang negara.

"Saya juga berharap Pertama dapat bersama-sama membantu dan bekerjasama dalam menangani fahaman yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti syiah, sekularisme, liberalisme dan lain-lain dengan meningkatkan cinta kepada Allah dan Rasul serta berpegang teguh dengan salah satu daripada empat Mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

"Kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi memben­dung fahaman yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengekalkan keharmonian dalam negara," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Zikir Perdana 2015 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga merupakan Ahli Parlimen Putrajaya.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Yang Dipertua Pertama, Datuk Ashari Ibrahim.

Ahmad Zahid merangkap Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat Malaysia terkenal dengan adab tatasusila yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang, namun hari demi hari budaya adab di negara ini terutama golongan Melayu semakin menurun akibat pengaruh budaya luar.

"Malahan menjadi kebimbangan bagi saya terhadap gejala-gejala sosial seperti penagihan dadah, keruntuhan akhlak dan moral, pembuangan anak, zina dan sebagainya yang melanda dalam masyarakat kita sekarang ini.

"Oleh itu, saya menyarankan agar semua pihak termasuk Pertama dapat bersama menyumbang tenaga dalam membendung isu-isu ini, saya difahamkan terdapat pelbagai golongan yang ada di dalam pertubuhan ini seperti guru pondok dan madrasah, pensyarah, ahli perniagaan dan lain-lain lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mendoakan agar Pertama dapat membuat pembaharuan dan pembetulan dalam memainkan peranan positif ke arah membina insan madani sekaligus mewujudkan satu institusi yang tersohor di dalam pembangunan dakwah dan kerohanian di negara ini.

Zikir Perdana 2015 yang dianjurkan oleh Pertama dan Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (Budi) itu mendapat sambutan yang menggalakkan, terdahulu pada sebelah pagi pertubuhan tersebut turut menganjurkan Simposium Tarekat Tasawuf.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/susun-atur-kumpulan-tarekat-1.155851#sthash.LsqFqdfI.dpuf

Catat Ulasan